M4 World Championship iaitu kejohanan terbesar untuk Mobile Legends: Bang Bang menutup tirai hari ini dengan Pusingan Akhir memperlihatkan dua pasukan Filipina bertempur iaitu Blacklist International yang merupakan juara untuk M3 dan Echo yang sebelum ini dikenali sebagai AURA Philippines.

Perlawanan terbaik empat pusingan ini memperlihatkan Echo mendominasi dengan mudah menepis cabaran Blacklist International untuk memenangi 4 pusingan tanpa balas. Dengan kejayaan ini mereka menjadi pasukan terbaik di dunia untuk Mobile Legends dan juga membawa pulang hadiah tunai $300,000.

Blacklist International yang gagal untuk menjadi pasukan pertama memenangi kejohanan ini berturut-turut, sekadar berpuas hati di tempat kedua dan membawa pulang hadiah tunai $120,000. Pasukan di tempat ketiga dan keempat pula adalah RRQ Hoshi dan ONIC Esports.

Echo melayakkan diri ke peringkat kalah mati selaku juara untuk Kumpulan C, mereka bermain dengan cemerlang di peringkat kalah mati dengan hanya kalah kepada Blacklist International di Pusingan Akhir Upper Bracket sebelum mengalahkan RRQ Hoshi di Lower Bracket untuk mendapat peluang bagi misi membalas dendam.

Dengan kejayaan ini, jelas diperlihatkan yang Filipina masih lagi menguasai Mobile Legends: Bang Bang dengan sejak dari M2 lagi pasukan Filipina mempunyai sekurang-kurangnya satu pasukan di Peringkat Akhir dan untuk M3 serta M4, kedua-dua pasukan adalah dari Filipina.

Oleh itu tidak mengejutkan apabila Moonton telah mengumumkan yang M5 akan dianjurkan di negara tersebut.

Sohor Kini