Wizards of the Coast adalah pemilik kepada satu permainan tabletop terkenal iaitu Dungeon & Dragons dan juga permainan kad utama iaitu Magic: The Gathering. Oleh itu, tidak mengejutkan jika mereka ingin mengembangkan IP mereka ke industri permainan video.
Namun, buat masa ini, perancangan mereka tersebut kurang berjaya apabila Bloomberg telah melaporkan yang mereka telah membatalkan sekurang-kurangnya 5 projek permainan video mereka selepas perubahan strategi di dalam industri ini.
Berdasarkan kenyataan yang diberikan oleh Wizards sendiri, mereka masih lagi komited dengan permainan video digital tetapi telah membuat perubahan kepada portfolio jangka panjang dengan ingin memfokuskan kepada permainan yang dapat mengembangkan IP mereka yang sedia ada.
Perubahan strategi ini dikatakan akan menyebabkan kurang daripada 15 pekerja terpaksa mencari jawatan baharu di dalam syarikat. Namun, Bloomberg mengatakan yang keputusan ini juga akan memberi kesan kepada studio indie yang terlibat dengan projek permainan bersama Wizards seperti Otherside Entertainment dan Hidden Path Entertainment.
Permainan seterusnya berdasarkan Dungeon & Dragons adalah Baldur’s Gate 3 yang sedang dibangunkan oleh Larian Studios.