Marvel Snap Akan Menerima “Battle Mode” Tidak Lama Lagi

Marvel Snap telah mengumumkan yang permainan tersebut akan menerima mod baharu iaitu “Battle Mode” yang akan memperkenalkan cara baharu untuk pemain bertempur. Melalui perkongsian di Unity Blog, mereka mengatakan yang mod tersebut akan tiba di dalam beberapa minggu lagi, buat masa ini ia diumumkan pada 31 Januari 2023.

Melalui Battle Mode ini, berbanding pemain melawan menggunakan Cube, ia akan menggunakan Nyawa iaitu kebiasaan untuk kad. Pemain akan bermula dengan 10 nyawa dan perlawanan akan berlaku untuk beberapa pusingan sehinggalah salah satu pemain kehabisan nyawa.

Mod ini juga mengekalkan sistem “Snap” dan juga “Retreat” dengan kata lain pemain boleh mempertaruhkan lebih banyak nyawa pada sesuatu pusingan dengan harapan dapat memenangi pusingan tersebut.

Sepanjang perlawanan ini, pemain hanya boleh menggunakan satu dek sahaja, oleh itu menurut Second Dinner, ini akan menjadikan pusingan-pusingan selepas pusingan pertama menjadi lebih mudah untuk dijangka dan memberi nilai tambah kepada perlawanan tersebut.

Mod ini juga membolehkan pemain untuk bermain bersama dengan rakan secara terus tanpa melalui permainan secara rawak yang menurut Second Dinner akan menggalakkan pemain untuk menganjurkan kejohanan mereka sendiri.

Second Dinner mengatakan yang satu perlawanan akan mengambil masa sehingga 20 minit, iaitu lebih lama jika ingin dibandingkan dengan mod biasa yang mengambil masa kurang daripada 5 minit.

Marvel Snap sudah dikeluarkan untuk PC, iOS dan Android. Ia adalah permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi. Pada tahun lepas, ia adalah antara permainan terbaik pilihan kami; 10 Permainan Terbaik 2022 Mengikut Ulasan Di Aksiz.

Sohor Kini