A Plague Tale: Requiem adalah permainan kedua di dalam siri A Plague Tale yang dibangunkan oleh Asobo Studio dan diterbitkan oleh Focus Home Interactive. Ia dikeluarkan pada tahun bulan Oktober tahun lepas untuk PlayStation 5 Xbox Series dan PC. Ia merupakan sebahagian daripada permainan terbaik untuk tahun 2022 tetapi hari ini baru saya berkesempatan untuk menulis ulasan penuh untuknya.
Saya menyukai permainan pertama iaitu A Plague Tale: Innocence yang dikeluarkan pada tahun 2019, dan saya boleh terus katakan yang Requiem adalah satu permainan yang lebih baik dari pelbagai aspek berbanding permainan pertama tersebut, ini termasuklah dari penceritaan, tatamain dan juga grafik.
Penceritaan meneruskan lagi kisah keluarga de Rune iaitu Amicia sekali lagi menjadi watak yang akan dikawal oleh pemain, adiknya Hugo de Rune yang mempunyai Macula iaitu satu penyakit yang membolehkan dia mengawal dan juga menarik tikus, ibu kepada mereka berdua iaitu Beatrice juga kembali di dalam permainan ini bersama dengan Lucas anak didik kepada Beatrice.
Requiem berlaku 6 bulan selepas kejadian di dalam permainan pertama dan Hugo masih berpenyakit dan usaha The Order untuk mengubatinya hanya membawa lebih banyak kecelakaan berbanding merawat. Tidak lagi ingin melihat Hugo di bawah The Order, Amicia bersama dengan Hugo melarikan diri untuk ke satu pulau yang berdasarkan mimpi Hugo mempunyai kolam yang boleh merawat Macula.
Penceritaan kali ini adalah lebih menarik, walaupun masih ada beberapa penulisan yang pelik seperti permainan pertama, tetapi secara keseluruhannya ia mempunyai lebih banyak cabang plot penceritaan yang memberi perasaan misteri kepada penceritaan. Perhubungan di antara Amicia dan Hugo juga dikembangkan lagi dan perkembangan watak mereka berdua dilakukan dengan sangat baik, ini ditambah lagi dengan kehadiran Lucas yang membawa perwatakan yang lebih tenang.
Mister mengenai penyakit Macula, dan juga misteri mengenai mimpi Hugo juga disampaikan dengan baik, ia adalah satu penceritaan yang panjang tetapi tidak terasa terlalu meleret dan setiap bahagian sentiasa ada sesuatu yang menarik saya untuk tertarik dengan penceritaan yang ingin disampaikan. Ini termasuklah perkara baharu mengenai The Order ataupun pengenalan kepada watak-watak yang berlainan.
Tatamain juga dikembangkan lagi walaupun masih mengekalkan kebanyakan perkara dari permainan pertama. Menyelinap masih lagi penting, akan tetapi Amicia kini mempunyai pelbagai peralatan yang boleh untuk melakukan serangan terus seperti pisau, panah dan katapel yang mempunyai pelbagai ‘peluru’ yang berbeza, selain itu, jika tertangkap semasa menyelinap ia tidak akan terus berakhir sebaliknya masih mempunyai peluang untuk melarikan diri.
Oleh itu, melalui sesuatu kawasan tidak akan terasa terlalu perlahan dan juga berulang seperti permainan pertama kerana Amicia kini mempunyai lebih banyak cara untuk melawan ataupun melarikan diri. Amicia juga boleh meningkatkan tahap sesuatu kemahiran sama ada menyelinap dan juga bertempur. Aksesori yang digunakan juga boleh ditambah kebolehannya dengan mengumpul barangan tertentu di dalam permainan.
Secara peribadi saya mempunyai masalah mengenai arah tuju sesuatu kawasan. Ia kebiasaan akan dinyatakan semasa dialog sebelum memasuki sesuatu kawasan, tetapi kerana kawasan yang disediakan adalah luas, satu lagi perkara positif, akan tetapi ada masa saya akan sesat dan ia sangat menjengkelkan terutama permainan ini tidak mempunyai penanda arah tuju.
Tekaria di dalam permainan ini masih lagi dilakukan dengan baik seperti permainan pertama, walaupun pada asasnya kebanyakan tekaria berkongsi konsep yang sama akan tetapi ia masih terasa unik yang berjaya menyelesaikan sesuatu tekaria memberikan kepuasan.
Dari segi grafik pula, ia adalah antara permainan dengan grafik terbaik pada tahun lepas, dan sudah semestinya jauh lebih baik berbanding permainan pertama. Rekaan watak, wajah mereka sangat teliti menjadikan ia bagaikan satu filem animasi yang baik. Rekaan persekitaran juga dilakukan dengan menawan terutama apabila memasuki kawasan hutan ataupun di pekan-pekan kecil yang mempunyai rekaan yang unik.
Dengan permainan ini sering menggunakan jumlah tikus yang banyak pada satu masa, ia masih nampak kurang realistik, dengan tikus ada masa melompat tidak tentu arah akan tetapi secara amnya ia masih boleh dipercayai. Ini adalah berdasarkan pengalaman saya bermain di Xbox Series X, saya juga mencuba Requiem di PC dan boleh dikatakan ia mempunyai masalah kelancaran yang lebih ketara di PC berbanding Xbox, oleh kerana itu saya lebih banyak bermain di Xbox.
Akhir kata, A Plague Tale: Requiem adalah satu permainan yang lebih baik daripada permainan pertama, jika anda menyukai permainan pertama jadi yang kedua ini adalah wajib dicuba. Jika anda tidak menyukai permainan pertama, mungkin kerana tatamain yang perlahan, Requiem telah ditambah-baik di bahagian tersebut tetapi ia masih akan terasa perlahan walaupun Amicia kini boleh melakukan pelbagai jenis serangan berbeza.
Penceritaan juga ditambah-baik berbanding permainan pertama, dengan ia lebih mendalam serta dipenuhi dengan misteri. Perhubungan di antara Amicia dan Hugo dikembangkan lagi dan menjadi ia lebih menarik dan saya boleh katakan Amicia adalah antara watak kakak terbaik yang pernah tiba di dalam permainan video. Manakala grafik pula lebih cantik walaupun mempunyai sedikit masalah kelancaran terutama jika bermain di PC.
Bagi yang tidak pernah mencuba permainan ini, anda boleh langkau permainan pertama dan terus bermain permainan ini, akan tetapi saya cadangkan untuk membaca atau tonton video mengenai ringkasan penceritaan dari permainan pertama terlebih dahulu kerana ia adalah susulan yang terus.