Skip to main content

Kita tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk menutup tirai tahun 2022 dan memasuki 2023, pada tahun ini boleh dikatakan yang ia adalah tahun yang baik untuk pemain dengan terdapat pelbagai permainan menarik yang dikeluarkan bukan sahaja untuk PlayStation 5 ataupun Xbox Series akan tetapi permainan masih lagi dikeluarkan untuk PlayStation 4 dan juga Xbox One.

Di dalam segmen Penutup 2022, hari ini kami akan kongsikan 10 Permainan Terbaik untuk tahun ini, dan senarai ini adalah berdasarkan permainan-permainan yang kami keluarkan ulasan di Aksiz. Oleh itu, terdapat permainan-permainan yang baik lain tidak disenaraikan kerana kami tidak mencubanya sendiri dan bukan bermaksud yang permainan-permainan tersebut kurang baik, contohnya adalah Elden Ring.

Tanpa lengahkan masa lagi, berikut adalah 10 Permainan Terbaik 2022;

1. God of War Ragnarok

Platform: PlayStation 4, PlayStation 5

Santa Monica Studio bukan sahaja berjaya menghasilkan satu permainan susulan yang berjaya untuk permulaan baharu God of War, akan tetapi mereka juga berjaya untuk menambah-baik segala aspek permainan ini dari segi penceritaan sehinggalah tatamain. Oleh itu, tidak mengejutkan apabila ia adalah satu-satunya permainan yang mendapat markah penuh

Baca: Ulasan God of War: Ragnarok – Permainan Epik Penuh Jiwa

2. Horizon Forbidden West

Platform: PlayStation 4, PlayStation 5

Satu lagi permainan eksklusif untuk PlayStation dan juga satu lagi permainan susulan untuk IP yang diminati ramai. Horizon Forbidden West oleh Guerilla Games ini berjaya menghasilkan permainan yang mempunyai tatamain yang lebih menyeronokkan. Namun, ia sedikit mengecewakan dari segi penceritaan kerana ia cuba menjadi lebih rumit tetapi kurang menarik.

Baca: Ulasan Horizon Forbidden West – Berat Lagi Bahu Memikul

3. Marvel Snap

Platform: iOS, Android, PC

Boleh dikatakan sebagai satu kejutan untuk tahun adalah permainan sulung oleh Second Dinner yang merupakan studio ditubuhkan oleh bekas pengarah Hearthstone, Ben Brode iaitu Marvel Snap. Permainan kad digital untuk peranti pintar dan PC ini menggunakan watak-watak adiwira dan juga penjahat Marvel dengan baik sekali untuk memberikan sesi permainan yang cepat, tetapi menyeronokkan. Namun, ekonomi dan juga pembelian di dalam aplikasi adalah sangat mahal.

Baca: Ulasan Marvel Snap – Permainan Kad Marvel Yang Ringkas Dan Seronok

4. A Plague Tale: Requiem

Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC, Nintendo Switch (Cloud)

Asobo Studio kembali dengan permainan baharu untuk A Plague Tale iaitu Requiem yang merupakan permainan susulan terus untuk A Plague Tale: Innocence yang dikeluarkan pada tahun 2019. Ia merupakan permainan yang kami baru sahaja habiskan dan tidak sempat untuk mengeluarkan ulasan penuh lagi. Namun, kami boleh katakan ia adalah permainan yang mempunyai penceritaan menarik dengan grafik sangat berkualiti akan tetapi tatamain terasa berulang dan ada masa membosankan.

5. Marvel’s Midnight Suns

Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC

Satu lagi permainan Marvel di dalam senarai ini, dan kali ini ia adalah Marvel’s Midnight Suns oleh Firaxis Games dan 2K. Firaxis Games terkenal dengan siri XCOM cuba membawa konsep yang sama tetapi menggunakan watak-watak Marvel. Seperti Marvel Snap ia adalah pembawaan yang menarik, walaupun mempunyai perbezaan yang ketara dengan XCOM akan tetapi peminat untuk permainan tersebut masih lagi boleh menghargai permainan ini. Permainan ini mempunyai masalah dari segi penulisan dan juga prestasi yang kurang memuasakn.

Baca: Ulasan Marvel’s Midnight Suns – Permainan Strategi Yang Berkualiti, Mengecewakan Di Bahagian Lain

6. Rollerdrome

Platfrom: PlayStation 4, PlayStation 5, PC

Roll7 membawa satu permainan yang sangat berlainan melalui Rollerdrome berbanding permainan-permainan mereka sebelum ini. Walaupun masih mengekalkan tema sukan melalui penggunaan kasut lereng akan tetapi ia menyertakan shooter. Permainan ini memfokuskan kepada pelbagai cara untuk pemain menyelesaikan sesuatu peringkat dan ia terasa seperti satu tekaria yang semakin sukar di setiap bahagian. Ia adalah menarik walaupun ada masa, sesuatu peringkat terasa menjengkelkan.

Baca: Ulasan Rollerdrome – Shooter Yang Semua Patut Cuba

7. Gran Turismo 7

Platform: PlayStation 4, PlayStation 5

Sebagai satu permainan simulasi lumba kereta, Gran Turismo sekali lagi berjaya membawa era baharu untuk siri Gran Turismo dengan kualiti grafik yang baik, pilihan kereta serta litar yang pelbagai dan terus bertambah. Selain itu ia juga menawarkan pelbagai mod dan hiasan dimainkan atau digunakan. Sedikit masalah untuknya adalah menu yang sedikit mengelirukan.

Baca: Ulasan Gran Turismo 7 – Permainan Simulasi Lumba Kereta Yang Mendalam

8. Stray

Platfrom: PlayStation 4, PlayStation 5, PC

BlueTwelve Studio dan Annapurna Interactive membawa sesuatu yang mungkin ramai inginkan iaitu permainan video yang membolehkan pemain untuk menjadi seekor kucing. Selain kecomelan kucing tersebut, Stray juga adalah satu permainan pengembaraan yang menarik dengan pelbagai tekaria atau halangan yang perlu diselesaikan. Ia mungkin sedikit mengecewakan dari segi pengisian penceritaan dan juga tatamain.

Baca: Ulasan Stray – Tekan ‘O’ Untuk Meow

9. OlliOlli World

Platform: PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, Nintendo Switch, PC

Satu lagi permainan oleh Roll7 dan kali ini ia adalah permainan yang memberi nama kepada Roll7 iaitu OlliOlli, namun permainan ini menawarkan dunia papan selaju yang lebih menarik dengan setiap peringkat dihasilkan dengan teliti. Ia juga menyertakan pelbagai barangan kosmetik untuk menghias watak menjadi lebih unik. Walaupun sistem kawalan adalah ringkas akan tetapi masih mencabar untuk melakukan kombo dan menyelesaikan sesuatu peringkat.

Baca: Ulasan OlliOlli World – Ringkas, Rumit Dan Diantaranya

10. The King of Fighters XV

Platform: PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox Series, PC

Sebagai yang tidak biasa dengan permainan perlawanan, The King of Fighters XV oleh SNK adalah sangat mesra untuk permainan baharu tetapi masih mendalam untuk peminat. Ia juga menyertakan perwatakan yang pelbagai, grafik baik dan juga sesi permainan dalam talian yang memuaskan. Sedikit mengecewakan adalah mod penceritaan yang terhad dan juga kurangnya mod untuk sesi solo.

Baca: Ulasan The King of Fighters XV – Mudah Untuk Belajar, Sukar Untuk Mahir

Lain-Lain

Selain 10 permainan di atas, kami juga ingin menyatakan beberapa lagi permainan antaranya adalah Marvel’s Spider-Man: Miles Morales, Marvel’s Spider-Man Remastered, Uncharted: Legacy of Thieves yang merupakan permainan lama tetapi baru sahaja dikeluarkan untuk PC. Begitu juga dengan The Last of Us Part I yang secara mudahnya untuk memasuki senarai di atas, akan tetapi kami tidak menyertakannya kerana ia adalah versi penambah-baikkan.

Terdapat juga permainan-permainan yang secara umumnya adalah permainan yang menerima sambutan yang baik, akan tetapi kami tidak berkesempatan untuk mencubanya secara penuh bagi menyertakan di dalam senarai di atas. Antara permainan tersebut adalah Elden Ring, Vampire Survivors, Xenoblade Chronicles 3, Overwatch 2, Splatoon 3, Triangle Strategy, dan juga Sifu.

Melihat kepada senarai ini, sekali lagi kita boleh katakan yang tahun 2022 adalah tahun yang dipenuhi dengan pelbagai jenis permainan. Andai kata ada yang mengatakan permainan-permainan sekarang sama sahaja, mereka mungkin tidak melihat kepada penawaran permainan-permainan yang tidak terkenal.

Leave a Reply