Konsol generasi terkini oleh Sony iaitu PlayStation 5 telah memasuki tahun kedua mereka pada bulan November. Sepertimana kami lakukan pada tahun lepas, sebagai penutup untuk tahun ini, kami juga akan menyediakan kad laporan untuk tahun 2022 bagi konsol tersebut.
Kad laporan ini di bahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu Stok, Permainan, Teknologi dan Komuniti, di mana, setiap bahagian ini akan saya akan berikan skor sendiri dari A ke D mengikut status bahagian tersebut untuk tahun ini. Dengan beberapa bahagian tidak membawa perubahan besar berbanding tahun yang lepas, ia mungkin akan mempunyai skor yang sama.
Keadaan industri pada tahun 2022 boleh dikatakan lebih baik berbanding pada tahun 2021. Pandemik Covid-19 tidak lagi menjadi penghalang utama dengan kebanyakan negara tidak terlalu mengawal dengan ketat dan mula memasuki endemik. Ini secara langsungnya memberikan keupayaan yang lebih kepada Sony Interactive Entertainment untuk mula mengeluarkan konsol mereka dengan lebih baik.
Namun, kita masih tidak boleh katakan yang PlayStation 5 adalah mudah untuk didapati, sebaliknya kebanyakan pembeli masih lagi perlu bergantung harap kepada “loteri” ataupun melalui senarai menunggu di pengedar-pengedar rasmi. Tidak banyak kedai, secara fizikal ataupun secara dalam talian yang sentiasa mempunyai stok untuk pembelian pada bila-bila masa kecuali yang menjualnya dengan harga yang lebih tinggi.
Meneruskan dari tahun 2021, boleh dikatakan setiap bulan stok baharu akan ditawarkan jumlah yang lebih tinggi, ada masa beberapa pengedar rasmi yang mempunyai stok untuk walk-in walaupun pada pemerhatian kami ia tidak akan berkekalan lama dan akan dibeli dalam masa kurang daripada seminggu. Walaupun begitu, ia masih satu perkembangan yang positif dan kami merasakan tahun 2023 akan menjadi jauh lebih baik, terutama dengan China juga mula mengambil langkah yang kurang drastik di dalam pengawalan Covid-19.
Mungkin sesuatu yang ramai tidak sedari kerana permintaan yang tinggi, tahun ini juga memperlihatkan PlayStation 5 dinaikkan harga sehingga RM200 dengan PlayStation 5 ditawarkan dengan harga RM2,499 berbanding RM2,299 dan PlayStyation 5 Digital Edition dengan harga RM2,069 berbanding RM1,899. Walaupun kenaikan harga ini, permintaan untuknya tidak terjejas.
PlayStation 5 sekali lagi mempunyai tahun yang baik, seperti yang dilakukan untuk beberapa tahun yang lepas, mereka sentiasa mempunyai dua atau tiga permainan blockbuster yang dikeluarkan secara eksklusif terutama dari studio di bawah PlayStation Studios. Antara permainan yang dikeluarkan pada tahun ini adalah God of War Ragnarok yang telah memenangi pelbagai anugerah ketika The Game Awards 2022 termasuk juga antara calon untuk kategori permainan terbaik tahun ini.
Pada tahun ini, SIE juga telah memperkenalkan pakej langganan baharu untuk PlayStation Plus, iaitu Essential, Extra dan juga Deluxe. Selain permainan percuma setiap bulan yang ditawarkan, pelanggan untuk Extra dan Deluxe juga akan mendapat katalog permainan yang membolehkan pelanggan untuk bermain permainan tanpa melakukan pembelian dan mereka juga tidak perlu melakukan penebusan, sebaliknya selagi ia ditawarkan dan mempunyai langganan ia boleh dimainkan.
Ia mungkin bukan satu jawapan yang terus oleh PlayStation berbanding Xbox Game Pass akan tetapi ia masih lagi penawaran tambahan yang baik dan sudah semestinya memberi pilihan kepada pemain yang mungkin jarang bermain permainan sebelum ini, ataupun PlayStation 5 adalah konsol pertama mereka.
Antara perkara yang mengejutkan berbanding jangkaan awal saya adalah teknologi yang hadir melalui DualSense, pada awalnya saya merasakan ia akan menjadi fungsi yang hanya diguna pakai oleh permainan-permainan oleh PlayStation sendiri sahaja, akan tetapi ia tampaknya diguna pakai oleh kebanyakan permainan walaupun secara ringkas sahaja bagi tahun ini.
Sudah semestinya permainan dari PlayStation Studios menggunakan dengan lebih menyeluruh akan tetapi berdasarkan apa yang diperlihatkan buat masa ini, DualSense mempunyai potensi untuk menjadi satu alat kawalan yang akan memberikan pengalaman bermain yang lebih baik.
Teknologi utama yang saya sangat suka mengenai konsol generasi terkini sudah semestinya adalah penggunaan SSD, saya sudah tidak lagi mempunyai sebarang rungutan mengenai skrin pemuatan yang terlalu lama. Bahkan, apabila saya bermain permainan di Nintendo Switch contohnya, ia terasa sangat menjengkelkan lebih lagi berbanding sebelum ini.
Bagi grafik pula, ia adalah seperti dijangkakan akan tetapi kebanyakan permainan masih lagi dibangunkan bukan sahaja untuk PS5 tetapi juga untuk konsol generasi sebelum. Ke hadapan, dengan pembangun beralih ke konsol generasi terkini sahaja, kita mungkin akan dapat melihat peningkatan grafik yang lebih jelas.
Seperti permasalahan kekeliruan naik taraf, PlayStation 5 juga mempunyai masalah dari segi kelangsungan sesi permainan dari PS4 ke PS5, kebanyakan permainan boleh menggunakan kemajuan yang sama akan tetapi ia sedikit leceh di mana pemain perlu memasang terlebih dahulu versi PS4, membuat pemindahan dan memasang pula versi PS5. Ia adalah langkah-langkah yang tidaklah rumit tetapi jika permainan yang mempunyai saiz pemasangan yang besar, ia akan menjadi perkara menjengkelkan.
Bermula dari PlayStation 3, dan diperkuatkan lagi dengan kehadiran PlayStation 4, komuniti PlayStation dengan senangnya boleh dikatakan sebagai komuniti terbesar di kalangan pemain. Tidak kira di laman media sosial yang mana, ia adalah mudah untuk mencari pendapat, pertolongan dan juga sekadar berhubung dengan pemain-pemain lain yang mempunyai konsol yang sama.
Ini secara langsung memudahkan pemain untuk membeli permainan, termasuk juga permainan terpakai kerana terdapat ramai pemain yang akan menyediakannya. Ini ditambah lagi, Sony dan PlayStation mempunyai sokongan rasmi di Malaysia dan ia memudahkan urusan jual beli dan juga menyelesaikan isu waranti. Ia diteruskan lagi untuk PlayStation 5, walaupun masih ramai yang tidak berpuas hati kerana masih sukar untuk mendapatkan konsol akan tetapi yang sudah ada sudah cukup untuk memeriahkan komuniti ini.
Dengan kesan pandemik Covid-19 berkurangan, PlayStation juga telah menganjurkan acara bersama peminat seperti Pameran Khas God of War Ragnarok yang dianjurkan sebelum ini. Memberi peluang kepada peminat untuk melihat pelbagai karya berdasarkan permainan tersebut.
Komuniti permainan dalam talian untuk PlayStation 5 juga kian bertambah baik terutama dengan stok untuk konsol tersebut lebih kerap ditawarkan. Mencari pemain-pemain di konsol yang sama tidak menjadi masalah, seperti contoh yang saya gunakan pada kad laporan lepas iaitu permainan FIFA, dengan tahun ini adalah FIFA 23, walaupun ia kini menyokong fungsi rentas platform, saya masih lagi menutupnya dan sekadar bermain dengan pemain-pemain di PS5 sahaja tanpa sebarang masalah ataupun queue yang terlalu lama.
Berbanding tahun lepas, dua penambah-baikkan utama untuk PlayStation 5 bagi tahun ini adalah Kebolehdapatan dan juga Permainan dengan stok untuknya telah makin bertambah-baik walaupun ia masih bukan sesuatu yang kita katakan sebagai mudah untuk diperoleh, namun ia lebih mudah berbanding sebelum-sebelum ini dengan tahun depan mempunyai potensi untuk menjadi tahun yang PlayStation 5 akhirnya tidak mempunyai masalah stok lagi. Sedikit mengecewakan adalah tahun ini juga memperlihatkan harga PlayStation 5 dinaikkan tanpa penawaran model baharu, di mana penukaran mata wang dikatakan sebagai alasan utama.
Bagi permainan pula, dengan dua permainan besar ditunda pada tahun lepas, ia telah menjadikan tahun ini sebagai antara tahun terbaik untuk PlayStation 5 dengan permainan seperti God of War Ragnarok yang boleh dikatakan antara permainan terbaik tahun ini dan juga Horizon Forbidden West juga satu permainan yang boleh dipuji. Tambahan pada itu, SIE juga telah memperkenalkan pakej langganan baharu untuk PlayStation Plus yang menawarkan katalog permainan dan boleh dikatakan sebagai jawapan mereka kepada Xbox Game Pass.
Tahun 2022 boleh dikatakan sebagai satu lagi tahun yang baik untuk PlayStation 5 dengan ia mempunyai potensi untuk menjadi “matang” pada tahun depan terutama dari segi stok yang akhirnya memberi peluang kepada semua untuk merasai kelebihan konsol generasi terkini.