Skip to main content

Marvel’s Spider-Man: Miles Morales merupakan permainan kedua Insomniac Games bagi adiwira Marvel ini, walaupun ia adalah permainan kedua akan tetapi Miles Morales boleh dianggap sebagai permainan tambahan, dengan Marvel’s Spider-Man 2 yang akan dikeluarkan pada tahun depan, adalah permainan susulan yang sebenar.

Manakala Miles Morales lebih kepada permainan untuk menjadi pengenalan kepada Spider-man kedua di New York. Secara amnya, ia mempunyai tatamain yang sama tetapi berbanding menggunakan Peter Parker pemain akan bermain sebagai Miles Morales yang pada akhir permainan pertama diperlihatkan yang dia juga mendapat kuasa.

Marvel’s Spider-man: Miles Morales dikeluarkan pada 12 November 2020 bersama dengan pelancaran PlayStation 5. Saya telah mengeluarkan ulasan untuknya pada bulan yang sama tetapi ia dimainkan di PlayStation 4 Pro. Oleh itu, versi PC ini paling ketaranya membawa kelainan dari segi pilihan grafik oleh itu fokus utama sudah semestinya adalah grafik dan juga prestasi dengan bahagian-bahagian lain tidak mempunyai sebarang perbezaan dengan ulasan saya sebelum ini.

Satu Port Yang Baik

Marvel’s Spider-Man: Miles Morales seperti Marvel’s Spider-Man Remastered dibawakan oleh Nixxes Software ke PC dan membawa tetapan grafik dan prestasi yang lebih kurang jika tidak lebih baik, yang seperti saya katakan untuk ulasan sebelum ini, ia adalah satu port yang baik begitu juga untuk Miles Morales kali ini.

Jika anda sudah mencuba permainan yang pertama tersebut dan tidak mempunyai sebarang masalah, Miles Morales juga tidak akan mempunyai sebarang masalah selagi mana PC anda mempunyai spesifikasi yang sekurang-kurangnya sama dengan spesifikasi minimal ataupun yang dicadangkan.

Ia juga membawa perkara yang sama untuk tetapan grafik di mana saya diberikan pelbagai pilihan untuk mencari tetapan yang terbaik, dan melalui PC spesifikasi berikut;

  • CPU: AMD Ryzen 5 3600 (3.66Ghz)
  • GPU: NVIDIA GeForce RTX 2060 (6 GB)
  • RAM: 16 GB

Saya boleh menggunakan tetapan High dan tidak menggunakan DLSS untuk mendapat kadar kelancaran 60FPS tanpa sebarang masalah dengan resolusi 1080p dan tidak menggunakan Ray Tracing. Ada masa yang ia akan lebih rendah berbanding 60FPS, terutama semasa mengembara di bandar ataupun semasa keadaan cuaca buruk seperti bersalji, namun secara amnya ia memberikan tetapan yang memuaskan. Jika sekadar inginkan kadar kelancaran 30FPS ke atas, Very High boleh digunakan ataupun High + Ray Tracing.

Jika anda mempunyai paparan ultra-lebar, permainan ini juga menyokongnya dan seperti yang saya katakan di dalam ulasan untuk Spider-Man Remastered, permainan ini tidak sangat memerlukan ultra-lebar kerana cara permainan lebih memfokuskan kepada di tengah-tengah paparan dengan kawasan tepi adalah persekitaran sahaja.

Dengan kali terakhir saya bermain permainan ini di PlayStation 4 Pro dan tidak pernah mencuba versi PlayStation 5, bermain versi PC adalah satu pengalaman yang baharu dengan sesi permainan lebih lancar, grafik lebih cantik dan saya boleh katakan walaupun sekadar tetapan High sahaja ia adalah antara permainan dunia terbuka yang tercantik ada di PC. Tambahan lagi jika anda mempunyai PC spesifikasi yang lebih tinggi.

Manakala untuk kawalan pula, saya masih lagi merasakan yang kawalan menggunakan alat kawalan adalah lebih baik berbanding menggunakan papan kekunci dan tetikus. Dengan Steam menyokong DualSense, ia adalah alat kawalan terbaik untuk permainan ini kerana pelbagai fungsi yang disokongnya seperti picu penyesuai dan juga getaran haptik.

Penceritaan Yang Lebih Ringkas

Jika anda bermain permainan pertama, anda sudah semestinya mengetahui bagaimana Miles Morales menjadi Spider-man, jika tidak saya mencadangkan anda bermain terlebih dahulu Marvel’s Spider-man tetapi permainan ini juga menyertakan ringkasan penceritaan Miles Morales daripada permainan tersebut, oleh kerana ia memfokuskan Miles Morales sahaja ia tidak akan membeberkan mengenai penceritaan keseluruhan.

Selepas mendapat bantuan daripada Peter Parker untuk belajar menjadi Spider-man, Peter Parker terpaksa ke luar negara meninggalkan Miles Morales sebagai satu-satunya Spider-man di New York. Walaupun warga New York sudah mengenali beliau tetapi tidak menjadi sebutan seperti Peter Parker. Di dalam permainan ini, itu lah antara fokus penceritaan iaitu Miles Morales cuba mendapat tempat sebagai adiwira di bandar tersebut.

Selain itu, meneruskan tema daripada permainan pertama ia juga menyentuh mengenai kekeluargaan, persahabatan dan sudah semestinya sebagai satu permainan adiwira, niat jahat oleh sesetengah pihak. Saya boleh katakan yang, mereka memilih jalan yang selamat untuk penceritaan. Saya pasti jika anda bermain-nya anda akan mengatakan “oh macam filem ni”, “oh macam permainan ni”, “oh macam komik ni”, dengan kata lain ia tidak membawa sesuatu baharu.

Oleh kerana itu, segala selok belok penceritaan akan mudah dijangka oleh pemain. Namun, saya tidak merasakan ia satu masalah, bahkan permainan ini juga bagaikan menyedari mengenai perkara tersebut, dan tidak cuba untuk menjadikan sesuatu perkara sebagai misteri. Sebaliknya yang lebih penting adalah penyampaian bagi penceritaan tersebut dan ia dilakukan dengan baik dan seperti permainan pertama saya sangat menyukainya. Ia memberi segala impak emosi kepada saya, dan setiap watak saya dapat mempunyai perhubungan.

Bercakap mengenai watak, setiap watak yang hadir memainkan peranan mereka dengan baik, dan selain Peter Parker, kebanyakan watak bersama Miles Morales adalah watak baharu dan setiap daripada mereka membawa personaliti tersendiri. Menambahkan lagi watak-watak menarik bagi siri permainan ini. Sedikit mengecewakan adalah kebanyakan plot berkait dengan ‘kebetulan’ yang bagi saya bukanlah penulisan malas, namun masih lagi penulisan yang mudah.

Saya juga mengharapkan ada lebih banyak masa ditumpukan kepada perkembangan Miles Morales, akan tetapi oleh kerana pelbagai perkara yang berlaku di dalam permainan ini serta penceritaan yang pendek, sedikit ruang sahaja yang diberikan namun ia masih lagi efektif, dan membantu untuk mengangkat watak beliau sebagai persediaan untuk permainan seterusnya.

Miles Morales, Spider-man yang lebih bergaya

Miles Morales adalah Spider-man yang baharu, akan tetapi beliau mempunyai kuasa yang tidak semestinya lebih berkuasa tetapi sudah semestinya lebih bergaya. Jika anda menonton beberapa video acah untuk permainan ini, Miles Morales mempunyai kuasa bio-eletrik yang dipanggil sebagai Venom.

Jika Peter Parker mempunyai “Focus Meter” untuk melakukan kebolehan termasuk juga finisher dan menyembuh, Miles Morales pula mempunyai “Venom Meter” yang boleh digunakan untuk melakukan serangan Venom dan menyembuh, tetapi finisher kini adalah berdasarkan kombo dan tidak lagi menggunakan meter tersebut.

Terdapat 5 pergerakan Venom yang akan menggunakan Venom Meter iaitu Venom Punch satu tumbukan yang kuat yang boleh menghancurkan perisai ia juga akan stunt penjahat, seterusnya adalah Venom Smash, yang akan melakukan AoE damage, Venom Jump untuk melompat lebih tinggi, Venom Dash untuk menyerang dengan pergerakan pantas. Kesemua serangan ini juga akan menjangkitkan penjahat dengan venom, yang menjadikan penjahat tersebut mengambil damage yang lebih tinggi.

Kebolehan-kebolehan ini juga boleh dipertingkatkan lagi menggunakan skill point. Selebihnya, bentuk pertempuran masih lagi sama dengan permainan sebelum ini. Anda akan bertempur dengan ramai penjahat, dan fokus utama adalah untuk mengawal crowd. Kuasa Venom, sangat memfokuskan kepada kawalan crowd, ini menjadikan pertempuran sedikit lebih mudah berbanding permainan sebelum ini untuk tahap kesukaran biasa, namun ia masih mencabar dan menyeronokkan terutama kerana penjahat mempunyai pelbagai senjata berlainan.

Stealth juga sekali lagi menjadi fokus, ini ditambah lagi dengan Miles Morales mempunyai kebolehan untuk menjadi halimunan, ia menjadikan stealth lebih mudah, walaupun kemudian penjahat akan mempunyai cara untuk menjejak tetapi tidak cukup untuk menghalang daripada ia kebolehan yang terlalu berkuasa.

Selain itu, pergerakan asas seperti mengelak serta bertempur juga diberikan sentuhan berbeza yang menjadikan Miles Morales terasa berlainan dengan Peter Parker. Saya boleh katakan pergerakan Miles lebih bergaya.

Manakala penggunaan gajet pula lebih terhad kerana ia mempunyai 4 gajet sahaja iaitu web-shooter, holo-dron (mengeluarkan hologram robot untuk membantu anda bertempur), Bom Elektrik dan Bom Graviti, mungkin kerana Miles Morales adalah Spider-man baharu, dan juga kebolehan Venom sudah cukup berkuasa tanpa sangat memerlukan bantuan gajet.

Dunia Terbuka Masih Tidak Menarik

Marvel’s Spider-Man: Miles Morales masih lagi mengekalkan bentuk dunia terbuka daripada permainan pertama, tetapi dengan menyertakan beberapa aktiviti yang berlainan. Selain itu, ia juga menjadi lebih ringkas,jika sebelum ini pemain akan diberikan pelbagai token berbeza untuk digunakan bagi meningkatkan tahap gajet dan juga mendapatkan kostum, di dalam Miles Morales terdapat satu sahaja token iaitu Activity Token, tidak kira aktiviti apa yang dilakukan.

Ia adalah perubahan yang baik, terutama kerana saya masih tidak menyukai aktiviti yang mengisi dunia terbuka, menggunakan satu sahaja token sekurang-kurangnya tidak memaksa saya untuk melakukan aktiviti yang tidak digemari. Selain misi sampingan, serta aktiviti jenayah, terdapat juga aktiviti mengumpul collectible seperti mencari ‘time capsule’, mencari ‘bunyi’, kembali juga adalah menyerang kubu lawan.

Melakukan kesemua aktiviti ini akan membuka misi sampingan tambahan dan sesetengah daripadanya juga akan menyah-kunci kostum. Satu-satunya perkara yang membuatkan saya ingin melakukan aktiviti-aktiviti ini adalah kerana sistem pertempuran yang menarik, aktiviti ini akan memberikan alasan untuk melakukannya.

Oleh kerana misi utama penceritaan pendek sahaja, di mana ia akan mengambil lebih kurang 8 jam untuk dihabiskan, anda perlu melakukan kesemua aktiviti ini jika ingin menambah lagi jumlah masa sesi permainan yang saya boleh anggarkan memerlukan 2-3 jam untuk melakukan segalanya.

Sama ada anda perlu melakukan aktiviti ini untuk mempertingkatkan tahap? Bagi saya sendiri, saya sekadar melakukan beberapa sahaja aktiviti dan ia sudah cukup untuk meningkatkan tahap hampir kesemua gajet, dan mendapatkan satu-dua kostum tambahan.

Rumusan

Marvel’s Spider-Man: Miles Morales untuk kebanyakan aspek merupakan satu permainan yang lebih baik berbanding dengan permainan utama Marvel’s Spider-man, akan tetapi dari segi kandungan ia adalah penambahan sahaja dan bukan satu permainan susulan penuh. Namun, sebagai persediaan untuk Marvel’s Spider-Man 2, dan juga jika anda menyukai permainan sebelum ini, Miles Morales adalah permainan yang sangat baik dan dengan versi PC juga satu port yang baik ia kini boleh didapatkan di lebih banyak platform.

Penafian: Marvel’s Spider-man: Miles Morales (PC) disediakan oleh SIES untuk tujuan ulasan ini.

Marvel's Spider-Man: Miles Morales (PC)
Marvel's Spider-Man: Miles Morales untuk PC adalah satu port yang baik bagi permainan tambahan di dalam siri ini. Ia membawa Spider-man baharu iaitu Miles Morales yang mempunyai tatamain lebih menarik tetapi masih lagi di dalam permainan dunia terbuka yang terhad.
Positif
Port PC Yang Baik
Miles Morales Adalah Spider-Man Yang Lebih Menarik
Negatif
Pengisian Dunia Terbuka Terhad
Penceritaan Terlalu Ringkas
8

Leave a Reply