Dengan populariti Marvel terus meningkat, yang kita boleh berterima kasihkan kepada siri filem Marvel Cinematic Universe, permainan-permainan video berdasarkan Marvel juga kian bertambah bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Ia bukanlah perkara yang tidak baik, akan tetapi seperti mana-mana perkara-perkara lain, tidak semua adalah menarik dan tidak semua berjaya.
Selepas lebih 6 tahun tidak mengeluarkan sebarang permainan utama, Firaxis Games hadir dengan permainan baharu dan ia adalah berdasarkan watak-watak Marvel. Marvel’s Midnight Suns di banyak tempat mengekalkan apa yang kita tahu dan suka mengenai Firaxis Games iaitu permainan berasaskan strategi.
Semasa awal-awal Midnight Suns diumumkan, ramai yang mengatakan ia adalah XCOM tetapi watak Marvel, namun Firaxis Games menegaskan yang ia sangat berbeza dengan XCOM dan membawa pembawaan baharu untuk permainan strategi dan selepas meluangkan lebih 50 jam bermain, saya boleh katakan yang kenyataan tersebut sangatlah tepat.
Pertempuran di dalam Midnight Suns terasa seperti XCOM dengan pemain akan mempunyai satu pusingan untuk melakukan segala serangan dan pusingan seterusnya giliran penjahat. Namun, berbanding dengan setiap individu ataupun tentera mempunyai serangan tersendiri, di dalam Midnight Suns, setiap watak akan mempunyai dek untuk kad-kad kuasa.
Setiap pertempuran ataupun misi, pemain boleh membawa tiga watak yang terdiri daripada watak-watak Marvel termasuk juga Hunter yang merupakan watak rekaan khusus untuk permainan yang juga boleh dikatakan sebagai watak utama. Kad-kad yang dibawa oleh ketiga-tiga adiwira kemudiannya akan dicampur dan akan dikeluarkan secara rawak mengikut sejumlah tertentu pada sesuatu masa. Ini dengan kata lain konsep yang sering digunakan oleh mana-mana permainan kad secara tabletop ataupun digital.
Oleh itu, strategi serangan untuk setiap pusingan adalah bergantung kepada kad apa yang berada di tangan, ada masa ia sangat membantu, tetapi ada masa ia tidak memberikan kad yang anda mahu. Ini akan memberikan perasaan melakukan strategi sebaik yang mungkin dengan apa yang ada. Berbanding XCOM, strategi lebih jelas mengikut siapa yang dibawa, manakala Midnight Suns lebih sukar untuk dijangkakan.
Pada awalnya, saya kurang menyukai, kerana merasakan ia terlalu perlahan dan juga sukar untuk mengawal apa yang berlaku dan kebanyakan pertempuran berakhir dengan perasaan “nasib baik”. Namun, selepas permainan berlanjutan, dengan pelbagai kad kuasa yang diperoleh dan pelbagai watak tambahan yang boleh digunakan, ia menjadi makin mudah untuk merancang strategi tanpa terlalu bergantung kepada kad yang ada, selepas itu sesi pertempuran menjadi lebih menarik.
Seperkara lain yang berbeza dengan XCOM, pertempuran di dalam Midnight Suns berlaku di satu kawasan yang sangat kecil, dengan tiada konsep had kejauhan pergerakan, sebaliknya sesiapa sahaja boleh menyerang mana-mana penjahat, dan begitu juga penjahat juga boleh menyerang mana-mana adiwira. Tiada konsep berselindung ataupun mengurangkan kebarangkalian serangan terkena, kerana kesemua serangan yang berlaku akan berlaku dan persediaan perlu dilakukan untuk menerimanya.
Dengan kawasan yang kecil ini, strategi juga tidak akan hadir mengikut tempat pertempuran, sesuatu yang menjadi kebiasaan bagi XCOM, sebaliknya kawasan-kawasan pertempuran di dalam Midnight Suns akan mempunyai barangan”environmental” yang boleh digunakan untuk melakukan serangan tambahan terutama ketika tidak mempunyai kad yang boleh membantu semasa pusingan tersebut.
Ini menjadikan strategi utama di dalam Midnight Suns adalah melakukan serangan sebanyak yang mungkin pada satu pusingan untuk mengurangkan serangan yang akan dilakukan oleh penjahat pada pusingan seterusnya. Ia terasa strategi yang tidak mendalam seperti XCOM, tetapi walaupun bermain untuk masa yang lama saya tidak terasa bosan, namun tidak seperti XCOM, saya tidak merasakan yang permainan ini adalah sesuatu yang saya akan bermain berulang-ulang kali selepas ini, jika ada kandungan baharu sahaja saya akan kembali.
Ini adalah kerana saya merasakan tidak banyak perbezaan yang boleh memberikan saya pengalaman yang berbeza apabila bermain sekali lagi. Setiap adiwira, terutamanya Hunter, mempunyai kad-kad dengan gaya serangan berbeza tetapi saya tidak merasakan perbezaan terlalu ketara yang boleh menjadikan ia sesuatu yang baharu apabila saya kembali bermain. Satu-satunya perkara yang mungkin akan membuatkan pemain ingin bermain berulang kali adalah untuk mencuba tahap kesukaran yang berbeza, dan Midnight Suns mempunyai banyak tahap kesukaran bagi yang inginkan lebih cabaran.
Selain daripada Hunter, terdapat 12 watak berdasarkan adiwira Marvel yang disertakan iaitu Iron Man, Captain America, Wolverine, Spider-Man, Scarlet Witch, Doctor Strange, Captain Marvel, Blade, Ghost Rider, Magik, Hulk, dan Nico Minoru, setiap daripada mereka mempunyai gaya serangan tersendiri dengan ada yang lebih memfokuskan serangan dan ada yang lebih memfokuskan sokongan.
Dengan pada satu misi boleh membawa tiga watak sahaja, membawa watak-watak berlainan setiap kali melakukan misi adalah cara terbaik untuk mencuba kesemua watak-watak ini dan kebanyakan misi juga akan memaksa untuk membawa satu atau dua watak tertentu, sesetengah misi untuk penceritaan utama tidak langsung akan mempunyai pilihan. Oleh itu, adalah penting untuk membiasakan diri dengan kesemua watak yang ada agar tidak ‘terkejut’.
Selain pertempuran, seperkara lagi perkara yang sangat penting di dalam Midnight Suns adalah The Abbey. The Abbey boleh dikatakan sebagai hab untuk Midnight Suns, ia adalah seperti Avenger (ironi?) di dalam XCOM, namun berbanding satu kapal angkasa ia adalah satu kawasan yang mempunyai rumah agam yang menjadi HQ kepada mereka. Di The Abbey inilah disertakan pelbagai kawasan berbeza untuk membantu di dalam pertempuran.
Contohnya The Forge tempat untuk pemain boleh lakukan Research untuk mendapatkan lebih banyak teknologi, The Yard iaitu tempat untuk berlatih dan mempertingkatkan tahap sesuatu kad dan juga War Room yang mempunyai Mirror Table yang menjadi tempat utama untuk pemain memilih misi-misi yang ada sama ada misi sampingan ataupun misi utama.
Di dalam The Abbey, pemain boleh bergerak secara third person dan contoh terdekat yang saya boleh katakan adalah seperti di dalam Mass Effect semasa berada di dalam Normandy.
Terdapat pelbagai lagi perkara yang menyertakan sedikit pengurusan-mikro di dalam permainan ini dan kebanyakan adalah untuk menguatkan lagi adiwira-adiwira dan cara terbaik untuk mendapatkan kad-kad berbeza adalah membawa sesuatu adiwira bagi melakukan misi, dan setiap misi akan memberikan Gamma Coil yang boleh dibuka untuk mendapatkan beberapa kad secara rawak bergantung kepada adiwira yang digunakan untuk misi tersebut dan boleh memilih dua kad untuk diberikan kepada watak-watak bagi kad tersebut.
Jika anda mempunyai dua kad yang sama, ia juga boleh ditingkatkan tahap untuk menjadi versi ‘+’, akan tetapi ia adalah peningkatan sekali sahaja dengan kad-kad selebihnya boleh dihancurkan untuk mendapat material yang boleh digunakan untuk menghasilkan kad-kad lain. Selain kad serangan adiwira terdapat juga kad Item yang boleh di bawa tiga atau kurang pada awal permainan.
Selain mendapatkan kad, menguatkan ladi adiwira, The Abbey juga adalah menjadi pengisian di antara misi dengan ia menyertakan sistem Friendship di antara Hunter dengan kesemua watak-watak adiwira, ia juga adalah sistem seperti Mass Effect, namun ia dilakukan dengan kurang menarik. Aktiviti yang boleh dilakukan untuk meningkatkan perhubungan ini adalah sangat terhad.
Contohnya, saya boleh mendapatkan hadiah untuk diberikan kepada adiwira-adiwira tersebut, akan tetapi disebabkan hadiah yang boleh diberikan semasa “Hangout” sahaja yang jarang berlaku, saya mempunyai puluhan hadiah yang tidak boleh diberikan. Mencapai tahap tertinggi Friendship akan membuka cabaran khas untuk adiwira tersebut yang akan memberikan kostum khas dan juga kad serangan istimewa.
Tambahan pada itu, The Abbey juga mempunyai rahsia tersendiri yang pemain boleh teroka semasa tidak melakukan misi. Pemain boleh membuka pelbagai rahsia dan melakukan pelbagai cabaran untuk mendapat akses kepada lebih banyak kawasan yang pada awalnya terhalang. Ia adalah penambahan yang baik akan tetapi seperti sistem Friendship, saya juga merasakan ia dilakukan dengan kurang menarik dan saya tidak merasakan ia diperlukan.
Pemain juga boleh menghias bilik, ataupun menukar pemakaian setiap adiwira, akan tetapi sekali lagi ia tidak dilakukan dengan baik. Selain kostum adiwira yang terhad, baju-baju kasual yang ditawarkan juga sangat tidak menarik dan mempunyai masalah yang sama, kebanyakan pakaian adalah ketat dan nampak sangat janggal di dalam adegan. Saya boleh katakan hanya beberapa watak sahaja mempunyai pakaian yang elok, selebihnya adalah pakaian generik sahaja.
Sebagai satu permainan berasaskan Marvel, Firaxis Games juga menambah penceritaan yang lebih mendalam berbanding permainan-permainan mereka sebelum ini. Penceritaan yang disampaikan adalah baik walaupun mempunyai beberapa penulisan yang janggal. Ia mempunyai misteri, plot serta sub-plot yang mencukupi untuk menjadikan permainan sepanjang ini tidak membosankan dan juga sentiasa ada sesuatu yang dinantikan untuk diperlihatkan di bahagian yang kedepan.
Namun, bahagian-bahagian yang saya katakan janggal adalah sangat jelas terutama bahagian yang memfokuskan kepada perhubungan di antara watak. Tambahan pada itu, penceritaan juga berulang kali menggunakan perkara yang sama di dalam perkembangan penceritaan dan watak iaitu pergaduhan dalaman di antara watak-watak ini. Jika ia dilakukan dengan jumlah yang sedikit, ia mungkin akan memberikan hasil yang baik, akan tetapi saya merasakan setiap cabang penceritaan akan menggunakan perkara ini yang mengakibatkan ia terasa kurang menarik dan ada masa menyakitkan hati.
Jika ingin dibandingkan dengan permainan-permainan sebelum ini oleh Firaxis Games, Midnight Suns boleh dikatakan permainan yang mempunyai grafik terbaik terutama semasa bahagian pertempuran yang diperlihatkan dengan dekat dan setiap pergerakan adiwira mempunyai keunikan tersendiri mengikut kuasa-kuasa yang digunakan. Melihat kuasa tersebut bertukar dari kad menjadi pergerakan sangat mengasyikkan. Ia sentiasa memberi kepuasan hati semasa bermain, bahkan pergerakan seperti bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain juga dihasilkan dengan unik mengikut watak, ini juga ditambah lagi efek visual yang sangat cantik.
Cut scene permainan ini, terutama pada awal, pertengahan ataupun pengakhiran misi juga dilakukan dengan berkualiti dengan memperlihatkan aksi yang baik untuk menjadikan sesuatu misi bermula dan berakhir dengan epik.
Kualiti grafik semasa pertempuran ini malangnya tidak di bawa ke bahagian-bahagian lain permainan. The Abbey tempat yang pemain akan luangkan masa semasa tidak bertempur direka dengan sangat biasa sahaja, dengan setiap kawasan kelihatan sama, ditambah lagi dengan pakaian yang generik saya nyatakan di atas. Ini menjadi lebih kurang baik apabila ia mempunyai masalah grafik yang ketara.
Semasa saya bermain, Firaxis Games telah mengeluarkan kemaskini untuk memperbaiki beberapa isu, dan saya boleh katakan ia menjadikan permainan lebih baik berbanding pada awal saya bermain-nya, tetapi masalah FPS sentiasa jatuh dan naik masih tidak diselesaikan, walaupun saya menggunakan tetapi grafik yang medium sahaja. Dengan pengembaraan memainkan peranan yang penting di dalam permainan, saya sangat berharap prestasi keseluruhan ditambah baik lagi. Saya bermain di PC dan tidak pasti mengenai prestasi di konsol, namun saya ada mendengar yang ia mempunyai masalah yang lebih kurang walaupun mungkin sedikit lebih baik berbanding PC.
Permainan ini menyertakan transaksi mikro, akan tetapi buat masa ini ia hanya untuk menjual kostum sahaja yang saya rasakan bukanlah menarik oleh itu ia bukan perkara yang akan menjadi masalah, sekurang-kurangnya buat masa sekarang.
Akhir kata, lebih 50 jam saya luangkan masa bermain permainan ini adalah masa yang diluangkan dengan sangat baik sekali. Saya sangat menyukai permainan ini, sistem pertempuran serta konsep strategi kad yang digunakan adalah berlainan dengan XCOM tetapi masih kekal menarik walaupun bukan sesuatu yang saya akan ulang-ulang bermain. Penyampaian serta kualiti grafik semasa pertempuran juga memuaskan hati bersesuaian dengan watak adiwira yang digunakan.
Namun, agak mengecewakan bahagian lain yang sepatutnya menjadi lapisan tambahan untuk permainan seperti perhubungan di antara watak, dan juga pengembaraan dilakukan dengan sangat cetek dan tidak menjadikan ia menarik. Saya juga merasakan yang permainan ini mungkin menjadi lebih baik dan konsisten jika bahagian-bahagian ini dibuang ataupun ditukar kepada sesuatu yang lebih ringkas dan tidak menjadi terlalu penting.
Penceritaan untuk permainan ini juga menarik, dengan setiap watak disampaikan dengan baik, protagonis ataupun antagonis. Misteri serta pelbagai cabang plot juga dilakukan dengan mencukupi untuk mengisi permainan yang panjang ini. Sedikit perkara yang mengecewakan adalah ia menggunakan permasalahan yang sama berulang-ulang kali menjadikan penceritaan sedikit meleret dan tidak berkembang dengan baik.
Penafian: Kod permainan Midnight Suns untuk PC disediakan oleh 2K Asia bagi tujuan ulasan ini. Ia sudah dikeluarkan untuk PlayStation 5, Xbox Series dan PC.