Kejohanan University e-League (UEL) iaitu kejohanan esukan yang melibatkan universiti-universiti tempatan telah bermula sejak Oktober lepas, dan kemuncaknya adalah pada hujung minggu ini iaitu 10 dan 11 Disember di mana pusingan akhir akan berlangsung melibatkan empat permainan iaitu Valorant, Mobile Legends Bang Bang, FIFA 22 dan PUBG Mobile.

Pada 10 Disember, Valorant yang melibatkan pasukan Sunway Esports dari Universiti Sunway melawan dengan ISEC Sharks dari Universiti INTI. Sunway Esports sudah semestinya pasukan pilihan untuk memenangi kejohanan ini dengan mereka masih lagi mengekalkan rekod tanpa kalah, manakala ISEC Sharks kalah di Pusingan Kedua Upper Bracket tetapi berjaya melalui Lower Bracket untuk ke Peringkat Akhir.

Pada tarikh yang sama, kejohanan Mobile Legends: Bang Bang juga akan dipertandingkan yang melibatkan Taylor’s Elite dari Univeristi Taylor melawan dengan Sumaki 2.0 dari UiTM. Sumaki 2.0 sudah semestinya ingin membalas dendam terhadap Taylor’s Elite apabila pertemuan pertama mereka di Pusingan Ketiga Upper Bracket telah dimenangi oleh Taylor’s Elite yang memaksa Sumaki 2.0 untuk melalui Lower Bracket sebelum ke Peringkat Akhir ini.

Manakala pada 11 Disember pula, ia bermula dengan kejohanan FIFA 22 di antara Void Gaming Lab dan juga Kagurax7 dan kedua-dua mewakili UiTM. Void Gaming Lab sudah bertemu sebelum ini dengan Kagurax7 di Pusingan Ketiga Upper Bracket yang memperlihatkan Void Gaming Lab memenangi pusingan tersebut dan memerlukan Kagurax7 melalui Lower Bracket sebelum pertemuan sekali lagi di Peringkat Akhir ini.

Hari tersebut diteruskan dengan kejohanan untuk PUBG Mobile yang melibatkan 16 pasukan dari pelbagai Universiti. Pasukan tumpuan adalah WF7S dari UiTM, Delta Academy dan JUC dari Kolej Universiti Jesselton yang berada di tempat pertama, kedua dan ketiga semasa peringkat kelayakan.

Pusingan Akhir UEL akan disiarkan secara langsung pada hari Sabtu dan Ahad ini, pada 10 & 11 Disember 2022, melalui saluran YouTube UEL.

Untuk maklumat terkini mengenai University e-League (UEL), lawati laman Instagram, atau laman web: http://www.universityeleague.com/.

Sohor Kini