Pada bulan Jun lepas, telah diumumkan yang Troy Baker dan juga Ashley Johnson yang merupakan pelakon suara untuk watak Joel dan Ellie di dalam permainan The Last of Us akan terlibat di dalam siri aksi nyata permainan tersebut.

Melalui treler baharu yang dikongsi oleh HBO pada minggu ini, kita mungkin sudah dapat melihat watak untuk mereka. Anda boleh tonton treler tersebut di bawah.

Bagi watak Ashley Johnson, dapat dilihat pada minit 1:32 iaitu seorang wanita selepas melahirkan anak. Wanita tersebut berkemungkinan besar adalah emak kepada Ellie iaitu Anna Williams. Perkara ini juga sudah disahkan di dalam penyenaraian di IMDB dengan dia akan membuat penampilan untuk tiga episod.

Manakala watak Troy Baker pula di perlihatkan pada minit 1:53 di mana dia bersama dengan kumpulan David, iaitu kumpulan yang akan dijumpai oleh Joel dan Ellie pada bahagian akhir permainan. Buat masa ini masih tidak dapat disahkan lagi nama watak untuk Troy Baker.

Siaran untuk The Last of Us akan bermula pada 16 Januari 2023 di HBO dan HBO Go.

Sohor Kini