Bersama dengan beberapa IP lain oleh Ubisoft seperti Far Cry, Watch Dogs dan Tom Clancy’s, Assassin’s Creed adalah antara yang penting jika tidak paling penting di dalam studio penerbitan permainan video dari Perancis tersebut. Malangnya, sejak beberapa tahun yang lepas, walaupun terus menerima permainan Assassin’s Creed yang baharu akan tetapi ia tidak lagi mempunyai sebarang magis dan sekadar dimainkan oleh peminat-peminat yang ingin terus bermain walaupun mereka tidak mempunyai masa yang baik bermain.

Assassin’s Creed yang pada awalnya adalah permainan yang membawa konsep menarik bukan sahaja dari segi tatamain, seperti menyelinap dan juga parkour, akan tetapi juga melalui penceritaan yang sangat unit. Menggunakan DNA untuk melihat kisah silam nenek moyang seseorang, ditambah lagi dengan perang di antara Templar dan Assassin, kesemua perkara ini yang menjadikan Assassin’s Creed adalah antara IP yang saya sering nantikan untuk mereka hadir dengan sesuatu yang baharu.

Setakat ini, Assassin’s Creed telah mempunyai 12 permainan di dalam siri utama dengan permainan terakhir adalah Valhalla dan permainan seterusnya dijangka tiba pada tahun 2023 iaitu Assassin’s Creed Mirage. Selain itu, ia juga mempunyai sekurang-kurangnya 10 permainan sampingan termasuk juga permainan untuk peranti pintar. Kesemua ini hadir dalam masa 13 tahun sahaja, walaupun satu masa yang lama tetapi ia masih terasa mempunyai sangat banyak permainan.

Di dalam permainan-permainan tersebut, saya boleh katakan hanya ada beberapa sahaja yang boleh dikatakan sebagai satu permainan yang baik, mungkin beberapa permainan awal, dan juga Assassin’s Creed Origins yang nampak seperti satu permulaan baharu untuk siri ini, akan tetapi selepasnya ia kembali menjadi sekadar satu lagi permainan dunia terbuka oleh Ubisoft. Walaupun kecewa dengan tatamain yang kurang menarik dan tidak banyak perubahan, saya masih lagi cuba mencapai 100% untuk setiap permainan Assassin’s Creed sehinggalah Valhalla yang sehingga sekarang saya sekadar mencapai separuh sahaja penceritaan kerana merasakan ia terlalu bosan dan tidak lagi berbaloi untuk saya luangkan masa.

Melalui Assassin’s Creed Mirage mereka cuba membawa kembali siri ini seperti permainan asal dengan memfokuskan kepada “assassin”, namun pada pendapat saya, jika Ubisoft ingin mengembalikan minat pemain terhadap IP ini, mereka perlu melihat kejayaan God of War oleh Santa Monica Studios, saya merujuk kepada God of War yang dikeluarkan pada tahun 2018 dan juga God of War Ragnarok yang baru sahaja dikeluarkan.

Memfokuskan Penceritaan

Melalui God of War (2018), Santa Monica Studio bukan sahaja mengubah bagaimana permainan ini dimainkan, akan tetapi turut mengubah struktur penceritaan dan juga perwatakan. Melalui perubahan ini, ia membawa pengalaman yang segar dan boleh diterima oleh bukan sahaja peminat siri tersebut tetapi juga oleh pemain-pemain baharu yang memberikan kejayaan kepada permainan tersebut bukan sahaja melalui jualan tetapi juga dengan memenangi pelbagai anugerah.

Seperti God of War, Assassin’s Creed mempunyai pelbagai elemen latar masa dan latar tempat yang menarik, dengan pelbagai elemen boleh dikembangkan. God of War telah membawa mitos Norse dengan baik sekali, mungkin yang terbaik di dalam dunia pop culture, bahkan jauh lebih baik dengan apa yang cuba disampaikan oleh gergasi dunia hiburan iaitu Disney melalui filem-filem di bawah MCU terutamanya Thor. Ubisoft boleh memberi penekanan yang lebih di dalam mengembangkan perkara ini, tidak kira zaman ataupun abad yang dipilih. Tidak dinafikan, Ubisoft adalah antara yang terbaik di dalam mencipta dunia, akan tetapi ia akan menjadi lebih baik jika diberi lebih fokus dan tidak perlu menjadi terlalu luas dan terasa kosong.

Perubahan Tatamain

God of War (2018) memenangi Permainan Terbarik Tahun 2018 di The Game Awards, manakala God of War Ragnarok ter-calon sebagai salah satu calon di dalam kategori tersebut, dan ia juga menjadi permainan terlaris untuk siri ini. Oleh itu, penukaran yang ketara untuk sesuatu permainan ataupun IP yang sudah lama, tidak semestinya perkara yang tidak baik akan tetapi jika ia dilakukan dengan baik, ia akan memberikan pengalaman baharu kepada pemain yang akan dihargai oleh pemain lama dan juga pemain baharu.

God of War juga telah mengubah sistem pertempuran menjadikan ia lebih menarik, saya tidak ingat bila kali terakhir saya benar-benar menyukai pertempuran yang disertakan di dalam Assassin’s Creed, tidak kira tahap kesukaran apa, ataupun menggunakan senjata apa, kesemuanya terasa sama dan tidak mengambil masa yang lama untuk terasa bosan. Assassin’s Creed mempunyai intipati yang mencukupi di dalam sistem pertempuran untuk menjadikan ia lebih menarik, dan sekali lagi mereka perlu memberi penekanan yang lebih dan tidak cuba untuk menjadikan ia sekadar asas sahaja seperti satu permainan MMORPG yang juga menarik.

Ambil Masa

Assassin’s Creed pada awalnya dikeluarkan setiap tahun selepas Assassin’s Creed II, sehinggalah Assassin’s Creed Syndicate yang dikeluarkan pada tahun 2015 di mana mereka berehat selama dua tahun dan mengeluarkan Assassin’s Creed Origins yang dikeluarkan pada tahun 2017. Permainan itu dianggap, sebagai permulaan baharu tetapi setahun kemudian mereka kembali mengeluarkan Odyssey, dan mengambil 2 tahun untuk mengeluarkan Valhalla. Manakala God of War, mengambil masa 4 tahun untuk mengeluarkan Ragnarok, dengan lebihan masa inilah saya merasakan mengapa mereka boleh menjadikan ia satu permainan yang lebih baik dan lebih berjaya.

Ubisoft seharusnya mengambil lebih masa untuk membangunkan sesuatu permainan dan memastikan ia adalah permainan yang menarik semasa dikeluarkan. Kita sudah melihat pelbagai permainan Ubisoft yang gagal, dan mereka sering mengatakan sebab yang sama, permainan kurang menarik dan tidak mendapat perhatian daripada pemain. Namun, mereka terus mengeluarkan permainan-permainan sebegitu.

Mengapa Ubisoft Tidak Akan Melakukannya

Tiga perkara di atas adalah beberapa sahaja perkara yang Ubisoft boleh belajar dari God of War, akan tetapi saya mempunyai perasaan yang mereka tidak akan melakukannya dengan satu sebab yang besar, kejayaan yang dicapai oleh God of War, bukan satu kejayaan untuk Ubisoft. Walaupun God of War satu permainan yang berjaya, akan tetapi ia tidak membawa ‘duit’ kepada Sony Interactive Entertainment sepertimana siri Assassin’s Creed menjana pendapatan untuk Ubisoft. Dengan pelbagai pembelian di dalam permainan dan juga DLC berbayar, mereka terus membuat keuntungan walaupun permainan yang kurang berkualiti.

Ini kita boleh lihat kepada Valhalla yang menjana lebih $1 bilion yang menjadikan ia permainan paling banyak menjana pendapatan di dalam siri Assassin’s Creed. Ini adalah melalui permainan yang tidak boleh dianggap sebagai Permainan Terbaik Tahun Ini, akan tetapi masih lagi menjana sebanyak itu. Oleh itu, Ubisoft mungkin mengatakan, mengapa mereka perlu berubah jika ia masih berjaya?

Ubisoft juga mempunyai prinsip yang berbeza di dalam menghasilkan permainan video, berbanding hadir dengan permainan yang mempunyai penceritaan yang mendalam, mereka lebih mementingkan untuk hadir dengan permainan yang mempunyai banyak perkara yang boleh dilakukan, serta memerlukan pemain untuk kembali dan kembali bermain. Manakala permainan seperti God of War selepas 40-50 jam, tiada lagi perkara yang boleh dilakukan.

Oleh itu, walaupun Assassin’s Creed perlu mendapat perubahan yang besar, dan bagi saya God of War adalah rujukan terbaik untuk mereka, akan tetapi dengan penilaian kejayaan untuk sesuatu permainan adalah berbeza di antara Ubisoft dan juga studio seperti Santa Monica Studio ia mungkin sesuatu yang tidak terlintas oleh Ubisoft. Mereka menjanjikan sesuatu yang berlainan dengan Mirage, oleh itu kita boleh sama-sama nantikan dan berharap IP ini kembali ke landasan yang betul untuk ia mencapai potensi yang sebenar.

Sohor Kini