Ulasan She Said – Keberanian Menjatuhkan Satu Gergasi

Pada tahun 2017, The New York Times telah mengeluarkan satu artikel berjudul “Harvey Weinstein Paid Off Sexual Harassment Accusers for Decades”, artikel ini telah memberikan satu kesan yang besar di dalam industri perfileman Hollywood, membawa Harvey Weinstein ke mahkamah dan juga bermulanya gerakan #metoo yang menjadi sauh untuk mangsa-mangsa gangguan seksual berkongsi dan bercakap mengenainya.

Filem She Said memfokuskan kepada bagaimana dua pemberita yang menjadi penulis utama untuk artikel tersebut iaitu Jodi Kantor lakonan Zoe Kazan dan Megan Twohey lakanon Carey Mulligan. Ia juga melibatkan beberapa orang mangsa yang dilakonkan kecuali Ashley Judd yang menjadi dirinya sendiri. Filem ini dihasilkan berdasarkan buku She Said: Breaking the Sexual Harassment Story That Helped Ignite a Movement yang ditulis oleh Jodi Kantor dan Megan Twohey.

Filem ini boleh dikatakan sebagai satu filem investigative journalism yang sama dengan filem seperti Spotlight dan juga Dark Waters walaupun ia lebih kepada guaman. Namun pada asasnya, ia berkongsi konsep filem yang sama dan saya boleh katakan sangat menyukainya akan tetapi ia mempunyai masalah susunan dan juga struktur filem yang mungkin membuatkan filem ini sedikit membosankan ataupun mendatar untuk sesetengah penonton.

Perkara yang baik di dalam filem ini bagi saya adalah lakonan untuk setiap watak terutama Zoe Kazan dan Carey Mulligan yang membawa watak mereka dengan sangat baik sekali. Penyampaian serta emosi yang cuba diselitkan menjadi, dan memudahkan saya untuk mempunyai empati terhadap apa yang mereka hadapi.

Saya juga menyukai kerana filem ini bukan sahaja cuba memperlihatkan dari sudut pemberita itu sendiri, akan tetapi juga membawa emosi serta keadaan mangsa dengan bertanggungjawab, filem ini memberi ruang untuk saya merasakan yang dihadapi oleh mangsa dan bukan daripada kaca mata pemberita sahaja.

Namun, ini juga telah mencipta sedikit masalah di dalam struktur filem ini. Oleh kerana ia melibatkan dua pemberita yang secara sendirinya mempunyai peranan dan juga kisah, di tambah lagi dengan kisah-kisah mangsa, membuatkan saya merasakan mereka cuba menyampaikan terlalu banyak perkara pada satu masa menjadikan penyampaian terasa sedikit bercelaru dan ada masa sukar untuk mengikuti.

Ini ditambah lagi, filem ini juga kurang berjaya untuk mencipta satu perasaan thrill mengenai siasatan yang dilakukan, ini pada pendapat saya kembali kepada masalah struktur untuk filem ini. Jika ia lebih diringkaskan, saya merasakan akan lebih mudah untuk mengikuti apa yang berlaku dan juga memberi lebih perasaan thrill untuk penonton.

Masalah ini juga akan menjadi lebih jelas jika anda tidak mengetahui secara lanjut mengenai kes-kes ini, kerana bagi saya filem ini dihasilkan khusus untuk tontonan bagi yang sudah sama ada mengetahui mengenai laporan ini, ataupun mengenai Harvey Weinstein secara amnya. Jika tidak mungkin akan mengambil sedikit masa untuk mula tertarik dengan filem ini.

Selain rungutan ini, saya tidak mempunyai masalah lain dan masih menyukai filem ini dan merasakan mesej yang cuba disampaikan dari filem ini disampaikan dengan baik. Antara perkara yang paling menarik saya boleh katakan untuk filem ini adalah bagaimana ia bermula dengan satu kes yang berlainan, dan laporan oleh mereka bukan sahaja tidak membawa kesan yang positif tetapi memberi kesan yang berat kepada mangsa.

Menjadikan perkara tersebut sebagai backdrop, filem ini cuba menjawab pertanyaan ramai mengenai mengapa mangsa-mangsa untuk gangguan seksual terutama dari orang-orang gergasi di dalam industri seperti Harvey Weinstein tidak berkongsi dengan lebih awal ataupun tidak pergi ke pihak yang berkait, dan saya boleh katakan filem ini telah melakukan satu kerja yang sangat baik di dalam penyampaiannya.

Akhir kata, She Said adalah satu filem yang baik jika anda meminati genre investigative journalism ataupun yang ingin lebih tahu mengenai perkara yang berkait. Ia adalah filem yang dilakonkan dengan baik, penyampaian yang menitik beratkan bukan sahaja dari kaca mata pemberita tetapi juga daripada mangsa untuk memberi saya perasaan empati dan filem ini berjaya melakukannya.

Saya mempunyai sedikit masalah dengan cara filem ini disusun dan juga struktur untuknya secara am kerana ia telah menjadikan filem ini sedikit bercelaru dan kurang memberi perasaan yang thrill bagi penonton yang ingin sekadar menonton untuk ‘hiburan’ semata-mata. Namun, ia masih lagi satu filem yang baik dan jika ia adalah genre yang anda suka saya sangat mencadangkannya walaupun ia tidaklah sebaik filem lain seperti Spotlight.

Penafian: Tayangan untuk She Said disediakan oleh United International Pictures. She Said akan mula ditayangkan di Malaysia pada 24 November 2022.

She Said
She Said adalah satu filem investigative journalism yang sangat baik dengan kisah pemberita dan mangsa disampaikan dengan menarik tetapi mempunyai masalah susunan dan struktur.
Positif
Lakonan Baik Dari Semua Watak
Mengetengahkan Pemberita Dan Juga Mangsa
Negatif
Susunan dan Struktur Filem Kurang Kemas
8

Sohor Kini