Ubisoft telah mengumumkan yang musim baharu untuk Tom Clancy’s Rainbow Six Siege iaitu “Operation Solar Raid” akan bermula pada 6 Disember 2022. Musim baharu ini antaranya akan menyertakan fungsi rentas platform dan juga rentas kemajuan bagi konsol. Selain itu, ia juga akan menerima operator dan peta baharu.
Bermulanya musim baharu ini, yang juga akan menjadi musim terakhir untuk kandungan tahun ke-7 bagi permainan tersebut, pemain boleh bermain bersama dengan rakan yang berada di keluarga konsol berbeza. Rainbow Six Siege sebelum ini telah mempunyai fungsi ini akan tetapi terhad kepada konsol dan PC serta keluarga konsol yang sama sahaja.
Operation Solar Raid akan memperkenalkan operator baharu iaitu Solis, ia merupakan operator kelas Defender dan mempunyai gajet seperti SPEC-IO Electro-Sensor yang dapat mengesan pelbagai peralatan lawan. Solis merupakan operator dengan kelajuan dan tahap nyawa yang sederhana. Dia menggunakan senjata P90 atau ITA 12L sebagai senjata utama dan SMG-11 sebagai senjata kedua.
Peta baharu juga akan diperkenalkan iaitu Nighthaven Labs yang merupakan tambahan kepada peta Nighthaven.
Ubisoft juga telah mengumumkan bakal melakukan acara kolaborasi bersama dengan Square Enix untuk membawa kandungan berdasarkan Nier Replicant yang telah ditawarkan di dalam kedai di dalam permainan.
Tom Clancy’s Rainbow Six Siege sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, dan PC.