Riot Games hari ini telah mengumumkan yang bermula pada tahun 2023 mereka secara sendirnya akan menerbitkan League of Legends dan juga Teamfight Tactics di Asia Tenggara, buat masa sekarang kedua-dua permainan diterbitkan dengan kerjasama bersama Garena.
League of Legends dan Teamfight Tactics akan menyertai VALORANT, League of Legends: Wild Rift, dan Legends of Runeterra sebagai permainan yang diterbitkan oleh mereka sendiri.
Bagi Taiwan dan juga Vietnam, ia masih lagi akan diterbitkan oleh pihak ketiga iaitu Taiwan Mobile dan VNGGames, berkemungkinan untuk memenuhi peraturan tempatan.
Pengumuman ini adalah lanjutan daripada pengumuamn yang dilakukan pada awal tahun ini di mana mereka memperkenalkan logo baharu dan ingin memperluaskan penerbitan di Asia Pasifik termasuk juga dengan membuka pejabat tempatan di Filipina, India, Indonesia/Malaysia dan Thailand untuk menyokong perkembangan tersebut.
Pemindahan Akaun
Dengan penerbitan sendiri ini, Riot akan melancarkan pelayan sendiri untuk League of Legends dan Teamfight Tactics, dengan pelayan yang diurus oleh Garena akan ditutup bermula pada Januari 2023. Bermula pada 18 November 2022 pemain boleh mula melakukan proses untuk menyambung akaun bagi memastikan akses yang berterusan.
Walaupun telah melakukan proses penyambungan, pemain masih lagi boleh bermain di pelayan Garena sehingga ia ditutup kelak. Untuk maklumat lanjut anda boleh layari pautan berikut – Account Migration Microsite.