Filem pertama untuk Enola Holmes telah melakukan satu kerja yang sangat baik bagi mempekenalkan Millie Bobby Brown sebagai Enola Holmes dan pada masa mencipta satu asas yang mencukupi untuk wataknya dikembangkan lagi, dan melalui Enola Holmes 2, mereka berjaya melakukannya. Penceritaan diteruskan dengan Enola Holmes kini bersedia untuk mengikut jejak langkah abangnya dengan menjadi penyiasat, akan tetapi dia mula menyedari yang keinginan dan minat semata-mata tidak mencukupi.
Oleh kerana dirinya yang masih muda, tidak mempunyai banyak pengalaman dan juga merupakan seorang wanita, dia sukar untuk mendapat kerja dan akhirnya terpaksa berhenti impiannya untuk menjadi penyiasat, akan tetapi tiba-tiba datang satu kes daripada seorang kanak-kanak yang ingin Enola Holmes untuk mencari kakanya yang hilang.
Maka bermula penyiasatan untuk kes kedua bagi Enola Holmes dan seperti filem pertama satu kes biasa telah menjadi satu kes yang lebih rumit, begitu juga di dalam Enola Holmes 2. Namun, kali ini ia menjadi sesuatu yang mempunyai konspirasi yang lebih mendalam dan bagi saya lebih menarik. Selain Enola Holmes, Sherlock Holmes lakonan Henry Cavill juga lebih banyak membuat penampilan di dalam siri ini, ia adalah satu penambahan yang baik tanpa menjejaskan fokus utama untuk filem ini iaitu Enola Holmes.
Penyampaian di dalam filem ini telah dilakukan dengan sangat baik, ia sering menggunakan suntingan adegan yang cepat dengan mengambil beberapa saat sahaja untuk ia menukar kedudukan kamera ataupun menukar adegan, termasuk juga menukar kepada flashback, penukaran yang sentiasa dilakukan adalah sangat berkesan untuk memberi perasaan yang cemas ataupun aksi yang cepat walaupun pada asasnya ia adalah satu adegan biasa sahaja. Jika sesuatu adegan menjadi ‘panjang’ ia juga akan diselit dengan sesuatu di luar jangkaan ataupun Enola akan bercakap dengan penonton.
Cara filem ini melakukan perkara tersebut membuatkan saya sentiasa terasa ‘berinteraksi’ dengan filem ini dan walaupun mencecah 2 jam, filem ini tidak terasa panjang dengan pelbagai adegan menarik di bantu lagi dengan suntingan menarik seperti saya katakan di atas. Saya juga boleh katakan yang misteri yang disampaikan juga menarik, terutama dengan pengenalan satu watak yang sudah semestinya akan dikenali bagi peminat Sherlock Holmes walaupun penyampaian untuk watak tersebut sedikit berbeza.
Bercakap mengenai watak baharu, Enola Holmes 2 juga mempekenalkan beberapa watak baharu yang memainkan peranan penting di dalam penceritaan ini, setiap watak disampaikan dengan baik antaranya adalah Grail yang dilakonkan oleh David Thewlis dan Louis Partridge juga kembali sebagai Tewkesbury dengan Grail memainkan watak jahat utama dan Tewkesbury pula sekali lagi menjadi teman kepada Enola Holmes secara sengaja ataupun tidak.
Satu rungutan yang saya boleh katakan adalah bagaimana pengakhiran disampaikan, saya merasakan bahagian akhir filem ini bagaikan satu bahagian yang sangat janggal dengan bahagian-bahagian lain di dalam filem. Saya faham dengan mesej dan juga apa yang ingin dilakukan, akan tetapi merasakan ia boleh dilakukan dengan cara yang lebih baik, untuk menjadikan ia lebih menarik seperti bahagian lain di dalam filem ini. Tambahan itu, usaha penyiasatan mereka juga berakhir dengan sekadar laporan di dalam surat khabar yang bagi saya sangat mengecewakan.
Saya sangat menyukai filem ini dari awal sehinggalah kebanyakan bahagian, akan tetapi di bahagian akhir ia terasa sedikit membosankan dan berbanding filem pertama yang membuatkan saya ternanti-nanti filem seterusnya, pengakhiran filem ini tidak memberi perasaan yang sama.
Akhir kata, Enola Holmes 2 adalah filem yang lebih baik dan juga lebih menarik berbanding filem pertama, ia mempunyai perwatakan yang lebih menyerlah dengan misteri penceritaan yang lebih mendalam. Watak-watak baharu yang dipekenalkan juga membawa perwatakan mereka dengan baik, ini ditambah lagi dengan suntingan yang baik dilakukan untuk memastikan tiada satu adegan menjadi terlalu panjang ia satu tontonan yang menyeronokkan.
Namun, pengakhiran untuk filem ini sedikit mengecewakan dengan ia dilakukan dengan cara yang sangat janggal berbanding bahagian-bahagian lain di dalam filem ini. Ia dilakukan untuk menyampaikan satu mesej dan juga membawa satu kejadian yang penting akan tetapi saya merasakan ia boleh dilakukan dengan cara yang lebih berkesan dan baik.
Secara keseluruhannya, ia masih lagi satu filem yang baik dan seronok untuk ditonton dan saya tidak mempunyai masalah untuk mengesyorkannya kepada semua.