N7 Day yang disambut pada 7 November adalah hari sambutan untuk pemain Mass Effect. N7 merupakan kumpulan di dalam ketenteraan Systems Alliance di dalam permainan tersebut yang boleh dikatakan sebagai tentera terbaik dan ia juga adalah singkatan untuk November 7 yang membawa kepada sambutan ini.
Bersempena dengan N7 Day untuk tahun ini, Bioware telah berkongsi satu penulisan di blog yang melibatkan pembangun-pembangun yang sedang membangunkan permainan baharu untuk Mass Effect seperti diumumkan sebelum ini.
Namun, buat masa ini mereka tidak dapat berkongsi lanjut lagi dan tidak sabar untuk melakukannya pada suatu hari nanti. Mereka ada berkongsi karya konsep untuknya yang memperlihatkan satu pelabuhan di angkasa.
Kandungan yang anda boleh dapatkan dalam masa terdekat pula hadir melalui kerjasama dengan Maxis melalui permainan The Sims 4 yang baru-baru ini telah menjadi permainan percuma untuk dimainkan. Pada 17 November, permainan tersebut akan menerima pelbagai pakaian berdasarkan Mass Effect.
Pemain juga boleh dapatkan pelbagai barangan baharu berdasarkan Mass Effect dari BioWare Gear, Dark horse, Sanshee, dan Volante Design. Anda boleh layari laman-laman tersebut untuk mengetahui lebih lanjut.