Bermain permainan Android di PC semakin menjadi popular terutama untuk permainan yang mempunyai versi mudah alih sahaja seperti Mobile Legends. Kebiasaan mereka akan menggunakan pelagak dengan yang paling popular adalah Bluestacks.
Pada Disember tahun lepas, Google telah mengumumkan yang mereka akan hadir dengan pelagak tersendiri iaitu Google Play Games dan bermula minggu ini, pelagak tersebut sudah boleh dimuat turun untuk pengguna di Malaysia.
Berbeza dengan Bluestacks di mana anda akan dapat memuat turun mana-mana permainan yang terdapat di dalam Google Play Store, aplikasi ini terhad kepada permainan-permainan yang disenaraikan sahaja.
Antara permainan yang ditawarkan adalah Arknights, Asphalt Legends 9, Genshin Impact, Mobile Legends Bang Bang dan Top Eleven.
Fungsi menarik yang ditawarkan oleh Google Play Games adalah membolehkan pemain meneruskan sesi permainan secara terus dari telefon pintar, tablet ataupun chromebook ke PC. Anda boleh memuat turun aplikasi Google Play Games di pautan ini.