God of War yang dikeluarkan pada tahun 2018 merupakan permulaan baharu bagi siri yang bermula sejak lebih 17 tahun yang lepas. Ia bukan sahaja memperkenalkan tatamain baharu untuk siri ini, akan tetapi juga membawa Kratos iaitu watak utama baginya menjadi satu watak yang pada pendapat saya jauh lebih baik. Di samping itu, ia juga telah membawa penceritaan kepada sesuatu yang lebih ‘manusia’ walaupun kita masih bercakap mengenai tuhan.
Sebagai permainan susulan, God of War: Ragnarok mempunyai satu tanggungjawab yang sangat berat untuk meneruskan apa yang di bawa oleh permainan pertama, dan pada masa sama memberikan sesuatu yang baharu atau lebih menarik untuk menjadikan ia permainan susulan yang berkesan dan saya boleh katakan Ragnarok berjaya melakukannya dengan sangat cemerlang, bahkan saya boleh katakan God of War: Ragnarok lebih baik berbanding God of War (2018) dari segala aspek dan sudut.
Ia masih lagi satu permainan susulan yang selamat, tidak mengubah tatamain ataupun penceritaan dengan keterlaluan akan tetapi menyertakan penambahan yang berkesan. Ini secara langsung menjadikan Ragnarok permainan yang pemain akan rasa sama seperti God of War (2018) akan tetapi pada masa sama akan merasakan bagaimana lebih baiknya permainan ini, dengan kebanyakan penambahan adalah membantu untuk menjadikan permainan ini lebih baik. Perkara ini jelas diperlihatkan melalui penceritaan, tatamain dan juga grafik.
Ragnarok berlaku 3 tahun selepas pengakhiran untuk permainan pertama, akan tetapi di dalam 3 tahun ini sudah banyak perubahan yang berlaku terutama mengenai perwatakan Atreus yang mula merasakan dirinya mempunyai ‘tugasan’ yang penting di dalam menentukan nasib Midgard, dan juga memulakan serta mengakhiri ‘Ragnarok’. Perkara inilah yang membuatkan Atreus ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pentingnya dia sebagai Loki.
Seperti permainan pertama, Kratos pula yang sudah melalui pelbagai tragedi apabila melibatkan diri dengan perihal ketuhanan serta ramalan merasakan ia adalah bukan perkara yang perlu difokuskan oleh Atreus, sebaliknya dia hanya ingin memastikan Atreus di dalam keadaan yang selamat. Perbezaan pandangan mengenai perkara ini secara langsungnya mencipta sedikit keretakan di dalam perhubungan mereka berdua.
Perkara ini menjadi sesuatu yang penting di dalam penceritaan kerana ia mengembangkan lagi watak Kratos dan juga Atrues, dan secara amnya ia dilakukan dengan baik, walaupun saya merasakan ia mungkin boleh dikurangkan. Saya merasakan perkara ini mengambil mungkin lebih separuh permainan yang saya rasakan lebih baik jika ia dikurangkan dan memberi peluang untuk perhubungan di antara mereka berdua mempunyai arah baharu kerana ia terasa terlalu sama dengan permainan sebelum ini.
Namun, ini tidak bermaksud yang Ragnarok tidak memberi peluang untuk penceritaan lain, kerana terdapat banyak watak-watak lain, dan juga bahagian lain bagi perwatakan Kratos dan Atreus yang diberikan ruang untuk berkembang. Tidak kira watak yang telah tiba daripada permainan lepas ataupun watak baharu yang baru membuat penampilan di dalam permainan ini, setiap daripada mereka mempunyai perwatakan tersendiri dan memberi lapisan baharu kepada penceritaan menjadikan ia penceritaan yang sangat berkualiti.
Meluangkan masa tidak kira melalui penceritaan utama ataupun sampinga, ataupun sekadar mendengar perbualan harian mereka adalah perkara yang sangat menyeronokkan, terdapat banyak perkara yang akan dikongsi untuk memberi lebih pengenalan mengenai lore di dalam permainan ini. Selain itu, Ragnarok juga mempunyai banyak sesuatu yang saya boleh katakan sebagai momen yang epik. Tidak kira pengakhiran sesuatu perlawanan, ataupun permulaan sesuatu pergaduhan, persahabatan ataupun memasuki kawasan baharu, permainan ini dipenuhi dengan bahagian-bahagian yang membuatkan secara sekadar mengatakan ‘wow’.
Penceritaan di dalam permainan ini juga berkesan kerana seperti permainan pertama ia memfokuskan kepada bahagian kemanusiaan untuk watak-watak yang dianggap sebagai tuhan di dalam dunia ini. Jika melihat kepada mengapa mitos-mitos Yunani ataupun Norse diceritakan bukanlah semata-mata untuk memperlihatkan kekuatan mereka, tetapi untuk digunakan sebagai pengajaran kepada manusia, dan bagi saya Ragnarok melakukan perkara ini dengan baik sekali.
Bagi tatamain, saya akan menyentuh dua bahagian yang paling penting di dalam permainan ini iaitu pengembaraan dan juga pertempuran. Bagi pengembaraan ia masih lagi mengekalkan konsep semi-dunia terbuka yang dibawa daripada permainan pertama dan seperti permainan pertama, saya juga merasakan yang konsep dunia terbuka yang digunakan oleh permainan ini adalah konsep yang terbaik untuk mengimbangkan kawasan yang luas dengan aktiviti yang boleh dilakukan.
Kebanyakan permainan dunia terbuka sekarang sama ada terlalu mengejar untuk menghasilkan dunia yang luas tetapi kosong, ataupun mengejar untuk menyertakan banyak aktiviti tetapi tidak menarik. Ragnarok menawarkan kawasan yang mencukupi untuk memberi pengalaman mengembara yang baik dan juga menyertakan aktiviti-aktiviti yang menarik dan tidak terasa bosan melakukannya walaupun sudah meluangkan masa yang lama.
Antara penambahan baik yang disertakan adalah collectible “Eyes of Odin”, jika sebelum ini mencari burung-burung ini adalah sekadar untuk mendapatkan trofi sahaja, akan tetapi sekarang saya boleh dapatkan ganjaran termasuk juga perisai mengikut jumlah saya jumpai, oleh itu ia tidak lagi terasa kosong ataupun sekadar pengisian peta sahaja.
Untuk menghabiskan penceritaan utama, saya boleh katakan pemain akan mengambil lebih kurang 30 jam, tetapi jika ingin melakukan kesemua misi sampingan dan juga mengumpul semua collectible, ia mungkin akan mencecah sehingga 70 jam, dan ia adalah 70 jam yang akan terisi dengan perkara-perkara yang menarik. Saya sudah menghabiskan permainan ini, dan melakukan sebilangan misi sampingan dan telah mencatat 40 jam masa bermain, dan saya bercadang untuk meneruskan lagi sesi permainan sehinggalah melihat kesemua yang ditawarkan kerana permainan ini tidak terasa sekadar mengisi untuk memperlihatkan ‘banyak kandungan’ akan tetapi setiap pengisian dilakukan dengan teliti.
Jika membuka peta di dalam Ragnarok, ia adalah ‘kosong’ dengan hanya terdapat beberapa marker sahaja yang memperlihatkan misi utama ataupun misi sampingan, akan tetapi apabila saya mengembara di kawasan tersebut, saya akan mula menjumpai pelbagai chest ataupun collectible, dan pengalaman untuk menemui semua ini adalah menyeronokkan. Ada masa juga ia akan memerlukan saya menyelesaikan tekaria ringkas untuk mendapatkan barangan di kawasan tersebut. Jika risau terlepas, peta tidak akan menyertakan marker akan tetapi akan menyenaraikan perkara yang boleh dijumpai di kawasan tersebut.
Bagi pertempuran pula, saya boleh katakan ia bukan bahagian terbaik bagi permainan ini untuk God of War (2018) dan walaupun telah menyertakan pelbagai penambahan yang menjadikan pengalaman pertempuran lebih baik dan lebih menyeronokkan akan tetapi saya masih merasakan ia bukan perkara yang ‘terbaik’ di dalam permainan ini. Pertempuran secara ringkasnya banyak memfokuskan kepada mengelak, menggunakan perisai dan juga melakukan kombo untuk melakukan serangan yang terkuat.
Saya tidak mempunyai kiraan yang tepat, tetapi saya merasakan variasi penjahat di dalam Ragnarok adalah lebih banyak berbanding permainan sebelum ini yang menjadikan pertempuran terasa lebih pelbagai dan tidak terasa sama sahaja. Bagi pertempuran-pertempuran bos pula, setiap daripada mereka akan mempunyai serangan, kekuatan dan juga kelemahan tersendiri.
Pertempuran kali ini juga lebih mementingkan untuk menggunakan Atreus dengan lebih berkesan, dia sekarang mempunyai dua jenis panah yang berbeza iaitu Runic yang akan menguatkan serangan elemen ais ataupun api, dan juga Sonic yang akan memperlahankan pergerakan. Selain itu, Atreus juga mempunyai serangan tambahan yang akan membantu di dalam mengawal keadaan yang mungkin akan menjadi terlampau kelam kabut. Kratos juga diberikan beberapa pilihan serangan yang berbeza mengikut senjata yang digunakan, ia akan mempunyai cooldown, dan pemain boleh cari lebih banyak pilihan dengan mengembara. Ini termasuk juga Rage yang kini dikembangkan untuk menjadi lebih banyak pilihan sama ada seperti biasa membolehkan untuk Kratos melakukan serangan yang berterusan ataupun menyembuh nyawa.
Rungutan utama mengenai pertempuran di dalam Ragnarok, ini adalah rungutan peribadi saya dan tidak semestinya perkara yang tidak baik untuk semua, saya merasakan serangan yang dilakukan oleh Kratos adalah terlalu lemah terutama kita tahu siapa dirinya yang sebenar, manakala serangan daripada penjahat adalah sangat kuat, anda melakukan kesalahan sekali dua ia akan terus dihukum dan saya akan mati. Ini adalah bermain dengan kadar kesukaran sederhana, saya tidak pasti bagaimana untuk dua lagi tahap yang lebih sukar.
Sesetengah penjahat mempunyai kombo yang melakukan serangan 2 ataupun 3 kali secara berterusan, jika anda terlepas untuk mengelak ataupun menggunakan perisai bagi serangan pertama, ia akan menjadi sangat sukar untuk mengelak 2 atau 3 serangan yang seterusnya dan ini ada masa boleh membunuh saya walaupun mempunyai nyawa yang penuh. Bagi saya ia adalah sangat menjengkelkan, ini ditambah lagi dengan ada masa animasi serangan langkau beberapa bingkai yang membuatkan saya sukar untuk mengelak ataupun mengeluarkan perisai. Contohnya penjahat melakukan serangan ke belah kanan, apabila saya bergerak ke kira, serangan itu tiba-tiba menukar arah yang bagi saya agak mustahil jika mengikut animasi sebenar.
Namun, masalah yang saya hadapi dengan pertempuran ini tidak lah menjadikan permainan bermasalah, kerana secara keseluruhannya, ia masih lagi satu pengalaman yang baik terutama dengan pelbagai kombo serta senjata, dan juga bekerjasama dengan Atreus kini ditambah lagi memberi pertempuran yang rancak dan menarik. Persekitaran juga kini mempunyai pelbagai benda yang boleh dilakukan untuk membantu serangan seperti membaling batu. Satu lagi perkara yang menjadikan pengalaman bertempur lebih baik adalah pergerakan terasa lebih lancar, dengan Kratos boleh bergerak dengan laju, dan boleh menggunakan Blades of Chaos untuk mencapai kawasan yang tinggi. Jika keadaan menjadi sedikit bercelaru, mencari kawasan baharu adalah pilihan yang baik.
Terdapat juga satu bahagian yang serba sedikit akan menjadikan pertempuran sedikit berbeza. Ia masih mengekalkan kebanyakan elemen daripada pertempuran yang berbeza tetapi dengan cara yang berlainan. Saya tidak akan mengatakan secara lanjut kerana bagi saya ia adalah bahagian yang menjadi sedikit kejutan kepada saya akan tetapi saya boleh katakan yang ia menjadikan sesi permainan sedikit berbeza dan menyertakan satu lapisan yang baharu.
Bagi grafik, Santa Monica Studios meneruskan lagi rekaan dunia yang sangat epik untuk Ragnarok, kawasan yang sebelum ini sudah tiba kelihatan berbeza kerana keadaan yang berlaku selepas 3 tahun dan ia memberikan pengalaman baharu untuk mengembara terutama di Midgard, berbanding menggunakan perahu, kini menggunakan slid. Selain itu, terdapat beberapa lagi ‘realm’ lain yang pemain boleh mengembara ada yang sudah tiba sebelum ini dan ada juga kawasan baharu yang akan membawa persekitaran yang berbeza.
Memasuki dunia-dunia ini, bersama dengan pengalaman pengembaraan yang saya nyatakan di atas menjadikan ia adalah bahagian terbaik untuk Ragnarok. Setiap realm mempunyai perkara tersendiri, lore berlainan yang akan sentiasa membuatkan saya ingin tahu mengenai sejarah yang berlaku di kawasan tersebut.
Saya bermain Ragnarok di PlayStation 5 dan ia mempunyai dua pilihan grafik iaitu Favor Performance dan Favor Quality. Favor Performance akan menyasarkan resolusi dari 1440p sehingga 2160p dengan kadar kelancaran adalah 60FPS, kadar kelancaran boleh ditambah menggunakan High Frame Rate (HFR) yang akan tidak menghadkan FPS tetapi dengan resolusi setakat 1440p sahaja. Manakala Favor Quality adalah secara 4K penuh dengan kadar kelancaran dihadkan kepada 30FPS, ia juga menyokong HFR yang akan merendahkan resolusi kepada 1800-2160p tetapi kadar kelancaran dihadkan kepada 40FPS, pemain juga boleh menggunakan VRR jika mempunyai paparan yang menyokongnya untuk FPS tanpa had, tetapi secara puratanya setakat 40FPS sahaja.
Saya telah mencuba kesemua pilihan dan merasakan Favor Performance + HFR adalah pilihan terbaik, terutama kerana saya menggunakan monitor yang mempunyai resolusi HD Penuh sahaja, tetapi menyokong kadar segar semula sehingga 165Hz, dan saya boleh katakan ia kelihatan sangat cantik dan berkualiti dengan kadar kelancaran saya merasakan sering melebihi 60FPS menjadikan sesi permainan yang lebih lancar. Ragnarok juga dikeluarkan untuk PlayStation 4, akan tetapi saya tidak dapat mengujinya tetapi antara kekurangan utama yang akan tiba adalah ia menyasarkan 30FPS sahaja untuk mana-mana pilihan tetapan.
Akhir kata, God of War: Ragnarok adalah permainan yang di kesemua bahagian adalah lebih baik berbanding God of War (2018). Jika anda menyukainya, saya boleh katakan anda tidak perlu membaca ulasan ini, dan terus mendapatkannya. Santa Monica Studio mengetahui apa kekuatan permainan pertama, dan mereka memfokuskan kepada perkara tersebut mengembangkan lagi ini termasuklah penceritaan, tatamain dan juga grafik.
Rungutan peribadi saya ada dua iaitu penceritaan mungkin terlalu lama memfokuskan kepada “perbezaan” pendapat di antara Kratos dan Atreus yang bagi saya boleh dikembangkan kepada perkara yang berlainan yang lebih menarik. Seterusnya adalah pertempuran yang bagi saya ada masa terasa menjengkelkan berbanding mencabar ataupun menyeronokkan.
Namun, secara keseluruhannya God of War: Ragnarok adalah permainan aksi pengembaraan yang menghampiri kesempurnaan dengan pengalaman bermain tidak kira sekadar 30 jam sahaja ataupun sehingga 70 jam ia masih lagi memberikan pengalaman yang sangat baik dengan setiap bahagian di dalam permainan ini adalah mengagumkan. Semasa artikel pandang pertama saya mengatakan yang ia berpotensi untuk menjadi lebih epik, saya boleh katakan yang benar, God of War: Ragnarok satu permainan yang lebih epik.
Penafian: Kod ulasan God of War: Ragnarok untuk PS5 disediakan oleh SIE untuk tujuan ulasan ini. Ia akan dilancarkan secara rasmi pada 9 November 2022.