Siapa kenal Jason Voorhees? Bagi yang tidak kenal, beliau adalah pembunuh bersiri dalam francais filem Friday The 13th. Kali terakhir beliau muncul adalah dalam filem tahun 2009, dan sehingga hari ini tiada lagi filem baharu.
Menurut Deadline, Peacock akan hadir dengan siri TV prekuel Crystal Lake memfokuskan kisah silam Jason. Butiran siri TV ini tidak didedahkan, tetapi pencipta siri ini berkongsi di Twitter “Mother Knows Best” – antara ayat terkenal dalam filem yang disebut oleh ibu Jason memberi petanda siri ini turut akan memfokuskan kepada watak ini.
Pencipta dan penulis adalah Bryan Fuller yang terkenal sebagai pencipta dan penulis siri TV Hannibal dan Star Trek: Discovery. Victor Miller antara penulis asal francais filem turut akan terlibat sebagai penerbit eksekutif. Siri ini akan dihasilkan bersama dengan studio A24 yang terkenal dengan banyak filem seram.
Ini adalah kali pertama sebuah IP Friday The 13th akan kembali selepas bertahun pengarah filem asal iaitu Sean Cunningham dan Victor Miller bergaduh mendapatkan hak filem. Cunningham menang hak Jason versi dewasa dengan topeng hoki, sementara Miller tidak boleh menggunakan Jason versi dewasa atau menyertakan apa-apa watak pembunuh memakai topeng hoki.
Cunningham turut merancang untuk hadir dengan filem ke-13 Friday The 13th, namun masih tidak pasti bagaimana ia akan diteruskan. Sama-sama kita nantikan.