Pelancaran God of War Ragnarok, yang boleh dikatakan sebagai permainan dinanti-nanti untuk tahun ini bermula dengan langkah kiri. Ia bermula dengan ada yang mendapat permainan awal untuk tujuan ulasan telah mengeluarkan tangkap layar, secara sengaja ataupun tidak yang menjadi spoiler awal untuk permainan tersebut.
Masalah bertambah lagi apabila ada pengedar permainan yang telah menjual permainan tersebut lebih awal berbanding tarikh pelancaran iaitu 9 November ini. Oleh itu, tidak mengejutkan apabila lebih banyak video dan tangkap layar yang dikongsikan.
Kami sendiri sudah mencuba permainan ini yang anda boleh baca melalui pandang pertama; Pandang Pertama God of War Ragnarok – Berpotensi Menjadi Lebih Epik dan merasakan permainan ini mempunyai potensi untuk menjadi lebih baik bukan sahaja daripada tatamain tetapi juga penceritaan.
Oleh itu, agak mengecewakan jika beberapa adegan yang sepatutnya menjadi kejutan tertiris dan merosakkan pengalaman bermain.
God of War Ragnarok akan dikeluarkan pada 9 November untuk PlayStation 4 dan PlayStation 5.