F1 Manager 2022 telah dilancarkan pada bulan Ogos lepas, dan sebelum tamatnya tahun ini lagi, Frontier Development iaitu pembangun bagi permainan tersebut telah mengumumkan yang kemaskini seterusnya yang akan tiba, akan menjadi kemaskini utama terakhir bagi permainan tersebut.

Selepas ini, kemaskini akan tiba secara kecilan sahaja dan tidak akan mengubah tatamain bagi permainan tersebut. Mereka juga mengatakan yang ini adalah kerana pasukan pembangunan kini beralih usaha mereka untuk pembangunan permainan seterusnya.

Seperti yang dijangkakan, pengumuman ini tidak diterima dengan baik oleh pemain-pemain yang meninggalkan komen di Reddit mengatakan permainan tersebut masih mempunyai pelbagai masalah dan tatamain tidak menarik untuk jangka masa yang lama.

Permainan yang dikeluarkan secara tahunan adalah perkara yang biasa, contohnya Football Manager, FIFA ataupun mana-mana permainan Call of Duty, akan tetapi hanya mengeluarkan sokongan utama untuk 2 bulan adalah satu jangka masa yang sangat singkat dengan permainan masih akan dimainkan untuk berbulan-bulan lagi di masa hadapan.

Pengumuman ini juga mungkin akan menyukarkan lagi penjualan tambahan di masa hadapan dengan pemain-pemain mungkin hanya akan menantikan permainan seterusnya atau tidak lagi berminat.

F1 Manager 2022 sudah dikeluarkan untuk PlayStation, Xbox dan PC.

Sumber: VGC

Sohor Kini