Skip to main content

Saya mula mengikuti mengenai perkembangan bagi Marvel Snap, ketika ia belum diumumkan secara rasmi lagi, sebaliknya saya mengikut perkembangan terbaru Ben Brode iaitu bekas Pengarah Hearthstone yang meninggalkan Hearthstone dan juga Blizzard pada tahun 2018 untuk menubuhkan studio permainan baharu iaitu Second Dinner.

Pada tahun 2019, telah diumumkan yang permainan pertama oleh Second Dinner adalah permainan kad berdasarkan Marvel dan hanya pada bulan Mei tahun ini, diumumkan yang permainan tersebut adalah Marvel Snap dan dilancarkan pada bulan ini. Setelah penantian yang lama tersebut, saya boleh katakan yang ia adalah penantian yang berbaloi kerana Marvel Snap tidak mengambil masa yang lama untuk terus menjadi permainan yang saya main setiap hari.

Jika Hearthstone menjadikan permainan kad lebih mudah untuk difahami, Marvel Snap pula menjadikan permainan kad lebih kasual. Setiap sesi permainan mengambil masa beberapa minit sahaja dengan ia terhad kepada 6 pusingan, ataupun 7 kadang-kadang, menjadikan ia permainan yang tidak memerlukan komitmen masa yang lama apabila memulakan satu sesi permainan.

Setiap sesi permainan akan terdapat tiga lane yang pemain boleh letakkan kad, setiap kad akan mempunyai Energy yang merupakan nombor berwarna biru di kad, dan Power adalah nombor berwarna oren. Energy merupakan kos yang diperlukan untuk menggunakan kad tersebut, pusingan bermula dengan mempunyai 1 energy sehingga 6 energy pada pusingan terakhir.

Power pula akan menentukan jumlah Power di sesuatu lane yang kad tersebut diturunkan, pemain yang mempunyai Power tertinggi di Lane tersebut akan menang untuk Lane tersebut dan pemain perlu memenangi 2 Lane daripada 3 untuk memenangi setiap sesi permainan.

Perkara yang menjadikan setiap sesi permainan berbeza berbanding sesi-sesi sebelum ini adalah setiap Lane tersebut akan mempunyai ‘Lokasi’ yang berbeza, dan setiap Lokasi mempunyai kata kunci yang berbeza. Sama ada yang berfungsi secara sekali sahaja ataupun berterusan. Bergantung kepada Lokasi tersebut, ia akan mengubah cara saya bermain walaupun membawa dek yang sama sebelum ini.

Bercakap mengenai dek, antara yang menjadikan permainan ini lebih kasual adalah setiap satu dek pemain boleh membawa 12 kad sahaja, dan setiap kad adalah berbeza dan tidak boleh mempunyai sebarang duplikasi. Ini menjadikan tidak memerlukan masa yang lama untuk memahami satu dek dan juga kad-kad yang digunakan.

Kebanyakan kad juga mempunyai kata kunci sendiri, dan ada yang mempunyai kelebihan untuk sekali sahaja iaitu “On Reveal” ataupun secara berterusan “Ongoing”. Bagi saya, setiap kad yang digunakan di dalam Marvel Snap mempunyai kata kunci ataupun kuasa yang mudah untuk difahami, ada yang memerlukan kombo tetapi ia tidak terlalu rumit.

Marvel Snap adalah permainan percuma untuk dimainkan dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi, akan tetapi berbanding menggunakan sistem kotak tikam, saya boleh dapatkan kad-kad baharu dengan sekadar bermain, menyelesaikan misi. Ia mempunyai Battle Pass, yang bagi saya agak mahal iaitu RM44 untuk Battle Pass yang akan tiba setiap bulan.

Cara utama untuk saya mendapatkan kad baharu adalah dengan naik taraf kad, naik taraf kad ini adalah secara kosmetik sahaja ia tidak akan mengubah fungsi atau kuasa kad tersebut. Sebaliknya bermula sebagai kad biasa, sehinggalah kad yang beranimasi dengan tahap tertinggi adalah Infinity. Setiap kali meningkatkan tahap, pemain juga akan meningkatkan tahap Collection Level yang antara akan memberi kad baharu sebagai ganjarannya.

Oleh kerana pemain tidak akan mendapat sebarang yang sama berulang kali, setiap kali mendapat kad baharu, walaupun secara rawak ia adalah kad yang pemain tidak pernah miliki, oleh itu menjadikan proses mengumpul kad lebih mudah. Namun, pemain mungkin akan mendapat variasi yang berbeza untuk satu kad yang sama contohnya gaya pixel.

Jika ingin berbelanja, terdapat dua perkara yang boleh dibeli menggunakan wang ringgit iaitu Gold dan juga Battle Pass Premium. Gold boleh digunakan untuk membeli Credits yang diperlukan untuk meningkatkan tahap kad, dan Gold juga boleh digunakan untuk membeli kad secara terus melalui tawaran yang akan ditukar-tukar setiap hari.

Namun, sejak saya mula bermain saya tidak pernah melakukan sebarang pembelian dan telah mengumpul kebanyakan kad yang menjadi ‘meta’ dan dapat membentuk 2-3 dek berbeza yang bagi saya sudah mencukupi untuk bermain.

Dari segi antaramuka dan juga animasi, saya sangat menyukainya, mempunyai sokongan 60FPS juga membantu untuk memberikan prestasi permainan yang lebih lancar. Sepanjang saya bermain, tidak pernah terjadi sebarang masalah prestasi ataupun apa-apa pepijat, oleh itu saya boleh katakan ia adalah permainan yang dihasilkan dengan baik.

Sedikit kekurangan bagi saya adalah buat masa ini hanya terdapat satu mod permainan sahaja, dan tidak mempunyai pilihan untuk bermain secara terus dengan rakan ataupun bermain tanpa menjejaskan ranking. Ranking bagi permainan ini mempunyai beberapa tahap, dan setiap tahap akan mendapat ganjaran tertentu, cara untuk mendapat markah bagi mempertingkatkan ranking adalah dengan menang.

Setiap kali menang, pemain akan mendapat 1 markah, jika yakin boleh menang, pemain juga boleh melakukan ‘Snap’ yang akan menambah jumlah markah yang menjadi rebutan, jika kedua-dua pemain melakukan Snap ia boleh meningkat sehingga 8 markah. Jika menang akan mendapat 8 markah, manakala jiga tewas akan ditolak 8 markah. Pemain juga diberikan peluang untuk Retreat dan hanya akan kekurangan separuh sahaja daripada markah tersebut.

Bagi saya konsep ini adalah menarik kerana ia menambah lapisan baharu kepada sesi permainan, ia bagaikan bermain Poker, walaupun tidak mempunyai harapan untuk menang tetapi boleh mengambil peluang melakukan Snap dengan harapan pemain lawan melakukan Retreat.

Akhir kata, Marvel Snap adalah permainan kad yang menarik walaupun ringkas, mengambil masa yang pendek sahaja untuk satu sesi permainan menjadikan ia sangat sesuai untuk dimainkan dari semasa ke semasa. Ini ditambah lagi dengan kad-kad serta dek yang boleh dihasilkan tidak terlalu rumit, ia juga menjadikan masa yang singkat untuk memahaminya tetapi pada masa masih mempunyai kedalaman sendiri untuk mencari cara bermain yang terbaik.

Ada beberapa bahagian seperti Battle Pass bagi saya terasa agak mahal terutama jika ia akan diperbaharui setiap bulan, akan tetapi sepanjang saya bermain, saya masih tidak terasa untuk melakukan sebarang pembelian dan tidak rasa ia memerlukan.

Marvel Snap sudah dikeluarkan untuk iOS, Android dan PC.

Marvel Snap
Marvel Snap adalah satu pembawaan baharu untuk permainan kad digital dan ia mempunyai banyak perkara yang menyeronokkan walaupun ringkas sahaja tatamain yang dibawa.
Positif
Sesi Permainan Yang Ringkas Dan Cepat
Animasi Dan Rekaan Kad Menarik
Mesra Untuk F2P
Negatif
Harga Battle Pass Terlalu Mahal
Hanya Satu Mod Permainan
8

Leave a Reply

Final Score