God of War yang dikeluarkan pada tahun 2018 merupakan dan masih lagi antara permainan terbaik yang pernah dikeluarkan. Menghasilkan permainan susulan untuknya boleh dikatakan bukan satu perkara yang mudah, akan tetapi berdasarkan 5 jam pertama saya mencubanya, ia adalah satu permainan yang saya kenal dan suka tetapi dengan pelbagai penambahan yang menjadikan ia terasa satu permainan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Di dalam permainan ini, pemain akan mengawal Kratos dan sekali lagi perlu mengembara bersama dengan Atreus. Berbeza dengan permainan lepas di mana tujuan mereka mengembara adalah untuk menabur debu isteri kepada Kratos, tujuan God of War Ragnarok lebih memfokuskan kepada mencari jawapan mengenai perkara yang diketahui oleh mereka pada pengakhiran God of War, iaitu mengenai siapa sebenar Atreus.

Selain itu, seperti judul untuk permainan ini, ia juga berkait dengan Ragnarok yang mengikut mitos Norse, ia adalah pengakhiran kepada dunia. Oleh itu, Atreus merasakan yang ia adalah sesuatu yang mereka perlu halang ataupun melibatkan diri. Manakala, Kratos lebih kepada ingin memastikan Atreus bersedia dengan apa sahaja halangan yang akan dihadapi dan juga memastikan dia selamat semasa melakukannya.

Walaupun untuk 5 jam yang pertama, saya sudah boleh merasakan dinamik perhubungan di antara Kratos dan Atreus sedikit berbeza, walaupun baru 3 tahun sahaja masa berlalu. Berbanding memerlukan Atreus untuk mengikut tunjuk ajarnya sahaja, di dalam Ragnarok Kratos lebih terbuka untuk mendengar pendapat Atreus, dan mengikuti kehendaknya tetapi pada masa sama berada di sebelah untuk memastikan Atreus tidak terlalu teruja dengan apa yang dilakukannya dan juga memastikan dia mengawal ‘kesungguhannya’.

Saya sangat menyukai dinamik baharu ini, ia bukan sahaja membawa lapisan baharu kepada perwatakan Kratos, akan tetapi juga membantu untuk menjadikan permainan ini tidak terasa terlalu sama dengan permainan sebelum ini, walaupun pada asasnya mereka masih melakukan pengembaraan bersama. Selain itu, dari awal lagi, permainan ini juga memberi ruang untuk mengembangkan watak Mimir yang juga terus bersama dengan Kratos dan Atreus.

Selain itu, dari awal lagi, permainan ini mula memperkenalkan watak-watak baharu, dan setiap watak mempunyai penarik tersendiri, selain daripada kehadiran yang epik, ataupun mempunyai sejarah yang menjadikan watak tersebut menarik, setiap daripadanya ditulis dengan baik, sekurang-kurangnya di bahagian pengenalan ini.

Selain penceritaan, rekaan dunia juga membawa apa yang baik daripada permainan lepas, tetapi dikembangkan lagi. Bagi 5 jam pertama saya bermain, saya boleh katakan melawat 3 kawasan berbeza, termasuk juga kawasan yang sudah tiba di permainan pertama. Dua kawasan baharu ini, dihasilkan dengan baik dengan ia mempunyai keunikan tersendiri. Mengembara kawasan-kawasan ini, adalah sesuatu yang sangat menarik.

Melakukan aktiviti sampingan, seperti mencari peti untuk dipecahkan adalah sangat mengujakan kerana rekaan dunia dan peringkat yang berkualiti. Bercakap aktiviti sampingan, ia masih lagi mengekalkan kebanyakan tekaria ataupun collectible untuk mendapatkan barangan tertentu, contohnya peti yang memerlukan pemain mencari 3 rune, dan juga mencari “Eyes of Odin”.

Satu lagi perkara yang menjadikan pengembaraan, ataupun melakukan aktiviti sampingan ini menarik adalah Kratos kini bergerak dengan lebih ‘agresif’. Kratos kini boleh memanjat lebih banyak dinding, dan memasuki kawasan yang sempit, dan juga boleh menggunakan Blades of Chaos untuk memasuki kawasan yang tidak dapat diakses dengan cara biasa.

Terdapat dua tetapan grafik iaitu Favor Resolution yang menggunakan resolusi 4K penuh dan menyasarkan 30FPS, dan juga Favor Performance yang menggunakan resolusi 4K dinamik dan menyasarkan 60FPS. Terdapat juga tetapan untuk memberikan FPS yang lebih tinggi, tetapi ia masih lagi secara puratanya memberikan 30FPS ataupun 60FPS.

Bagi pertempuran di dalam Ragnarok juga masih kelihatan sama dengan permainan sebelum ini, jika saya sekadar melihat dari treler ataupun video, saya akan mengatakan ia sama sahaja seperti permainan sebelum ini, akan tetapi semasa bermain saya boleh katakan ia membawa pengalaman yang berbeza tetapi dengan cara yang baik.

Pertempuran terasa lebih lancar, dengan Kratos kini lebih tangkas bergerak dan boleh melakukan serangan yang pantas seperti melompat dari atas ke bawah dan pelbagai lagi. Penambahan-penambahan ini, walaupun sedikit sahaja akan tetapi ia menjadikan pertempuran terasa segar. Ini berkait juga dengan bagaimana Kratos boleh mengakses kawasan-kawasan yang lebih tinggi, menjadikan sesi pertempuran yang sentiasa bergerak.

Oleh kerana saya masih di peringkat awal, tidak banyak gerakan yang saya sudah dapat akses, akan tetapi antara kegemaran saya adalah apabila saya memberi kesan ais kepada penjahat menggunakan kapak Leviathan, Blade of Chaos akan melakukan serangan yang lebih kuat. Sama juga apabila saya membakar penjahat menggunakan Blade of Chaos, ia juga akan memberikan serangan yang lebih kuat menggunakan kapak Leviathan. Ini membuatkan saya sentiasa menukar-menukar senjata yang digunakan.

Kapak Leviathan dan Blade of Chaos masih-masing mempunyai 2 slot untuk Runit iaitu Light Runic Attack dan juga Heavy Runic Attack, pada peringkat awal ini, saya tidak menjumpai lagi Heavy Runic Attack, manakala untuk Light Runic Attack ia memberikan gaya serangan tambahan dan juga akan memberikan sebab untuk menukar-nukar penggunaan senjata kerana selepas melakukan serangan Runic, ia akan mengambil masa untuk digunakan sekali lagi. Terdapat juga Relic yang akan memberikan kebolehan yang pasif.

Walaupun masih di peringkat awal permainan, saya sudah diperkenalkan dengan pelbagai penjahat baharu untuk bertempur, setiap daripadanya mempunyai gerakan tersendiri dan mempunyai perkara tertentu yang menjadikan ia sukar. Namun, saya masih merasakan, ia masih terasa sekadar “bullet sponge” berbanding penjahat yang licik. Gerakan adalah mudah untuk dibaca, dan yang menjadikan sukar kerana ia mengambil masa yang lama untuk dibunuh. Ia adalah masalah yang sama saya rasakan di dalam permainan yang lepas. Ini adalah untuk kesukaran “Give Me Balance” yang merupakan kesukaran Normal, ia mungkin berbeza jika tahap kesukaran yang lebih tinggi, iaitu terdapat dua lagi “No Mercy” dan “God of War”.

Saya sudah mencuba God of War di PC dan juga di PlayStation 5 yang secara sendirinya adalah grafik yang berkualiti walaupun untuk permainan yang pertama kali dikeluarkan beberapa tahun yang lepas. Oleh itu, bagi perbezaan grafik untuk Ragnarok, ia tidak memperlihatkan perbezaan yang ketara akan tetapi sekali lagi, apabila saya bermain ia terasa lebih lancar, dan sesetengah perkara kelihatan dengan lebih berkualiti. Ia mungkin tidak membawa perbezaan yang membuatkan perlunya ‘God of War Remake’ tetapi masih mencukupi untuk membuatkan ia adalah permainan generasi terkini.

Akhir kata, walaupun saya masih di peringkat awal untuk God of War Ragnarok ini, akan tetapi ia sudah menjadikan sukar untuk saya meletak DualSense ke bawah. Penceritaan serta dunia yang sentiasa menarik saya untuk meneruskan sesi permainan, memberi gambaran awal yang permainan ini boleh mengulangi kualiti yang di bawah di dalam permainan pertama, dinamik penceritaan yang sedikit berbeza juga memberi ruang untuk ia lebih berkembang berbanding sebelum ini.

Saya masih mempunyai rungutan yang sama dengan permainan sebelum ini, iaitu penjahat terasa sukar kerana ia mengambil masa yang lama untuk dikalahkan berbanding mempunyai serangan yang licik, akan tetapi ini tidak mengurangkan keseronokan untuk bertempur yang terasa lebih lancar dengan Kratos mempunyai lebih banyak gerakan serta kombo. Masih awal untuk dirumuskan, akan tetapi ia berpotensi untuk menjadi permainan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Penafian: Kod permainan God of War Ragnarok untuk PlayStation 5 disediakan oleh SIE untuk tujuan pandang pertama dan ulasan.

Sohor Kini