Kami sebelum ini telah melaporkan yang The Sims 4, iaitu permainan terkini bagi siri ini, yang dikeluarkan sejak 2014 lagi kini ditawarkan sebagai permainan percuma di setiap platform. Tawaran ini adalah tetap dan akan selamanya menjadi permainan percuma.
Selain itu, ketika acara perkongsian ‘Behind The Sims Summit Stream’, EA telah mengumumkan yang permainan seterusnya untuk The Sims, mungkin digelar sebagai The Sims 5 sedang dibangunkan. Buat masa ini ia dikenali sebagai ‘Project Rene’.
Mereka menegaskan yang Project Rene masih di peringkat awal pembangunan, akan tetapi memperlihatkan serba sedikit apa yang baharu. Antaranya adalah pemain bakal boleh melakukan hiasan dengan lebih mendalam dengan dapat memilih bentuk katil, warna sofa serta lebih kawalan untuk kedudukan perabot tersebut.
Selain itu, mereka juga memperlihatkan fungsi rentas platform, di mana anda boleh melakukan pengubah-suaian di telefon pintar, dan ia terus diperlihatkan di PC. Tidak disahkan lagi sama ada ia adalah aplikasi sampingan, ataupun permainan penuh yang turut boleh dimainkan di telefon pintar. Selepas melakukan rekaan tersebut, pemain juga boleh memilih untuk berkongsinya kepada pemain lain ataupun menjadikan ia koleksi peribadi.
Manakala bagi kemaskini untuk The Sims 4, mereka mengacahkan yang penambahan seterusnya akan memfokuskan kepada bayi dan maklumat lanjut akan diumumkan kemudian.
Anda boleh tonton acara penuh Behind The Sims Summit di bawah.