Pada awal tahun ini, saya sudah mengeluarkan ulasan untuk Uncharted: Legacy of Thieves Collection yang dikeluarkan untuk PlayStation 5. Di dalam ulasan tersebut saya mengatakan yang ia adalah versi terbaik untuk dimainkan bagi berkas yang menyertakan dua permainan iaitu Uncharted 4: A Thief’s End dan Uncharted: The Lost Legacy. Beberapa bulan kemudian, koleksi ini juga akhirnya dikeluarkan untuk PC yang secara langsungnya membawa buat pertama kali siri Uncharted ke platform selain PlayStation. Ia mungkin satu penantian yang lama tetapi saya boleh katakan ia masih lagi satu permainan yang sangat baik untuk dimainkan di PC sekarang.
Kebanyakan bahagian di dalam permainan ini, saya boleh katakan sama sahaja dengan ulasan yang saya keluarkan untuk versi PlayStation 5 kerana ia tidak membawa sebarang perubahan, antaranya adalah penceritaan dan juga keseluruhan tatamain untuknya. Saya akan ceritakan secara ringkas di dalam ulasan ini, dan jika anda ingin membaca pendapat penuh saya untuknya, boleh merujuk kepada ulasan saya bagi versi PlayStation 5 – Ulasan Uncharted: Legacy of Thieves Collection – Pengalaman Terbaik Untuk Penutup Siri.
Uncharted 4: A Thief’s End memfokuskan kepada watak utama untuk siri ini iaitu Nathan Drake, yang kali ini membawa kepada pengembaraan, yang mungkin adalah terakhir untuknya. Walaupun ia adalah permainan keempat, akan tetapi bagi yang ingin main permainan ini buat pertama kali, pemain tidak akan mempunyai sebarang masalah untuk mengikuti penceritaan. Mungkin perhubungan beberapa watak tidak akan diketahui dengan mendalam, tetapi ia tidak memainkan peranan yang besar di dalam penceritaan bahkan fokus utama adalah perhubungan di antara Nathan Drake dan abangnya Samuel Drake yang buat pertama kali diperkenalkan di dalam siri ini.
Selain itu, fokus utama penceritaan juga adalah mengenai pencarian harta karun lanun Henry Avery, yang memberi ruang kepada permainan untuk memperlihatkan pelbagai kawasan menarik, rekaan epik dan juga penceritaan silam yang menarik. Gabungan dengan perwatakan, serta perhubungan yang baik memberikan satu penceritaan yang sangat sempurna dan jika anda mengikut siri ini dari awal, ia juga memberi penutup yang memuaskan.
Bagi Uncharted: The Lost Legacy, ia tidak melibatkan Nathan Drake sebaliknya memfokuskan kepada dua watak lain iaitu Chloe Frazer dan Nadine Ross. Mereka bukanlah watan baharu, tetapi sudah dipekenalkan di dalam permainan Uncharted sebelum ini, dengan Nadine Ross diperkenalkan ketika Uncharted 4: A Thief’s End. Dari segi penceritaan, ia membawa kualiti yang sama dengan A Thief’s End, dengan sekadar ia lebih padat dan pendek. Kedua-dua permainan boleh dihabiskan dalam masa 20 jam sahaja dengan majoriti adalah Uncharted 4, ia boleh dikatakan satu permainan pendek akan tetapi dengan kualiti penyampaian disediakan, ia sangat memuaskan.
Manakala bagi tatamain pula, kedua-dua permainan memfokuskan kepada aksi pengembaraan, dengan Nathan Drake bersama dengan Chloe Frazer, dua watak yang dikawal oleh pemain perlu melalui pelbagai kawasan dengan bertempur dengan penjahat, menyelesaikan tekaria dan juga menggunakan kebolehan mendaki seperti Assassin’s Creed ataupun Tomb Raider. Kesemua ini tidak banyak berbeza di antara PlayStation 5 ataupun PC, kecuali penggunaan alat kawalan papan kekunci dan tetikus.
Bagi versi PC, saya sepenuhnya bermain menggunakan papan kekunci dan tetikus, dan ia boleh dimainkan dengan baik, akan tetapi secara amnya saya merasakan yang permainan ini dibina untuk dikawal menggunakan alat kawalan. Walaupun membidik menjadi lebih mudah menggunakan tetikus, akan tetapi dengan cara senjata dan juga serangan dihasilkan, menggunakan tetikus tidak memberikan kelebihan seperti yang saya harapkan.
Pertempuran masih lagi terasa mendatar dengan berselindung masih lagi memainkan peranan penting. Saya mencuba untuk menukar gaya permainan, agar lebih bersesuaian dengan penggunaan tetikus, seperti melakukan serangan secara terus berbanding menyelinap, namun akhirnya terpaksa juga bermain dengan lebih selamat kerana mekanik permainan ini lebih memfokuskan kepada gaya permainan tersebut. Oleh itu, bermain di PC tidak sangat memberi nilai tambah kepada pengalaman bermain dari segi penceritaan dan juga tatamain.
Kelebihan utama untuk PC sudah semestinya adalah pelbagai tetapan grafik yang boleh diubah dan saya boleh katakan ia tidak memerlukan spesifikasi PC yang terlalu tinggi untuk boleh dimainkan dengan baik. Semasa bermain permainan ini saya menggunakan laptop yang mempunyai spesifikasi seperti berikut;
- CPU: Intel Core i5
- GPU: NVIDIA GeForce RTX 3060
- RAM: 16GB
Dengan bermain resolusi 1080p saya dapat menggunakan kebanyakan tetapan secara tertinggi iaitu Ultra, dan mendapat kadar kelancarakan dalam lingkungan 60-70FPS dan ada masa ia jatuh lebih rendah daripada 50FPS. Namun, saya boleh menggunakan tetapan yang sama, tetapi membuka DLSS Quality, dan mendapat peningkatan kadar kelancaran pada 80-90FPS, tanpa memberikan kesan kepada kualiti keseluruhan yang jelas. Jika anda menggunakan kad grafik AMD, ia juga menyokong FSR 2.
Menggunakan tetapan ini, saya boleh bermain dengan baik, hanya ada beberapa kawasan sahaja yang sangat memberi kesan kepada kadar kelancaran ini terutamanya kawasan yang sibuk seperti di dalam hutang ditambah lagi dengan letupan ataupun tembakan dari penjahat. Ia juga menyokong paparan ultra-lebar, akan tetapi tidak untuk adegan di dalam permainan, oleh itu ada masa ia nampak janggal. Selain daripada itu, ia boleh dimainkan dengan baik untuk paparan ultra-lebar, walaupun saya merasakan ia tidak memberi kelebihan yang ketara terutama kerana aksi lebih memfokuskan kepada bahagian tengah permainan.
Walaupun begitu, ia masih lagi memberikan pengalaman bermain yang sangat berbeza kerana Uncharted adalah satu permainan yang cantik dengan persekitaran, semasa mengembara ia nampak sangat menawan. Dengan anda boleh melihat lebih banyak kawasan persekitaran, walaupun ia tidak lah membantu secara amnya untuk pemain bertempur ataupun mengembara.
Bercakap mengenai grafik, seperti yang saya katakan di dalam ulasan untuk versi PS5, rekaan dunia Uncharted boleh dikatakan tiada tandingannya. Mereka menghasilkan satu dunia yang sangat menakjubkan dengan setiap rekaan mempunyai penceritaan tersendiri. Menjadikan setiap masa saya memasuki kawasan baharu, saya sentiasa teruja walaupun sudah beberapa kali bermain permainan ini.
Akhir kata, jika ada satu permainan yang benar-benar menggambarkan genre permainan aksi pengembaraan, Uncharted adalah permainan yang tepat, Uncharted 4: A Thief’s End dan Uncharted: The Lost Legacy sebagai permainan terbaru untuk siri ini, adalah permainan terbaik untuk anda mengalaminya. Jika anda sudah bermain, sekurang-kurangnya versi PS5 sebelum ini, saya tidak merasakan yang versi PC ini akan memberi nilai tambah selain daripada sokongan paparan ultra-lebar.
Jika kali terakhir anda bermain versi PlayStation 4 dan tidak mempunyai PlayStation 5, versi PC sudah semestinya untuk anda kerana seperti versi PS5, ia memberikan prestasi yang lebih baik yang menjadikan pengalaman bermain lebih berkualiti. Tambahan lagi jika anda tidak pernah bermain siri Uncharted, koleksi permainan adalah wajib, terutama jika anda meminati genre aksi pengembaraan.
Penafian: Kod permainan Uncharted: Legacy of Thieves Collection untuk Steam disediakan oleh SIE bagi tujuan ulasan ini.