Skip to main content

Saya sebelum ini telah kongsikan mengenai pandang pertama untuk iPhone 14 Pro Max, dan bersama dengan peranti tersebut, Apple juga melancarkan iPhone 14 dan iPhone 14 Plus, ia adalah pilihan yang lebih murah berbanding penawaran siri iPhone 14 Pro dengan perbezaan utama adalah panel paparan, kamera dan juga cip pemprosesan.

Jika anda ingin membaca lanjut mengenai pelancaran iPhone 14 dan iPhone 14 Pro anda boleh baca di pautan berikut;

Walaupun iPhone 14 dan iPhone 14 Plus boleh dikatakan sebagai penawaran iPhone 14 yang lebih murah, akan tetapi dari segi prestasi, terutamanya permainan video, ia masih lagi mempunyai potensi prestasi yang sangat baik. Seperti biasa, prestasi penuh dan juga pengalaman penuh bermain permainan mudah alih akan tiba kemudian, melalui artikel ini saya akan kongsikan pandang pertama menggunakan iPhone 14 Plus buat beberapa hari.

Bagi iPhone 14 Plus ini saya mencuba varian dengan storan 512GB berwarna Purple yang ditawarkan dengan harga RM6,199. Ia juga hadir dengan 2 pilihan storan lain iaitu 128GB dengan harga RM4,699 dan 256GB dengan harga RM5,199. Manakala pilihan warna pula, selain Purple, ia hadir dengan warna Blue, Midnight, Starlight dan juga (Product)RED.

Apa Di Dalam Kotak

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk Apple mencapai neutraliti karbon menjelang tahun 2030, sejak beberapa generasi yang lepas, Apple tidak menyertakan banyak barangan di dalam kotak bersama dengan peranti. Begitu juga untuk iPhone 14 Plus dengan ia hanya menyertakan peranti itu sendiri bersama dengan kabel dengan sambungan USB-C ke Lightning.

Dengan ia menggunakan USB-C, tidak disertakan pengecas di dalam kotak, bukanlah satu masalah besar untuk saya kerana saya sudah memilikinya daripada peranti lain. Selain itu, ada risalah mengenai perkara asas penggunaan iPhone 14 Plus, pelekat logo Apple dan juga pin pembuka SIM. Saya juga menggunakan kerangka Silikon rasmi Apple, berwarna Lilac yang ditawarkan dengan harga RM219.

Spesifikasi

Seperti iPhone 14 Pro Max, iPhone 14 Plus hadir dengan skrin bersaiz 6.7-inci menggunakan panel Super Retina XDR Display akan tetapi dengan dua kelainan iaitu ia tidak menyertakan ProMotion untuk menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz, dan juga Always-on Display. Bagi resolusi pula ia menggunakan resolusi 2778 x 1284 dengan ketumpatan pixel lebih kurang 458ppi.

Semasa saya mencubanya, saya boleh katakan selain iPhone 14 Pro Max terasa lebih lancar semasa penggunaan umum kerana sokongan kadar segar semula yang lebih tinggi, ketiadaan ProMotion tidak memberi kesan yang besar untuk penggunaan yang lain. Saya mencuba beberapa permainan seperti Genshin Impact dan League of Legends: Wild Rift yang kedua-duanya menyokong 120FPS di iPhone 14 Pro Max, saya tidak merasa sebarang kekurangan yang ketara di antara dua peranti ini.

Sesi permainan masih lagi lancar, terutama kerana ia menggunakan cip pemprosesan Apple A15 Bionic, iaitu cip yang sama digunakan oleh iPhone 13 Pro Max yang dikeluarkan pada tahun lepas, yang bagi saya masih menawarkan prestasi yang cukup baik untuk hampir kesemua permainan yang saya cuba, dan perkara yang sama saya boleh katakan untuk iPhone 14 Plus ini.

Bagi bateri, ia menggunakan bateri 4323 mAh iaitu saiz yang sama digunakan oleh iPhone 14 Pro Max, oleh itu ketahanan bateri adalah lebih kurang dengan saya boleh menggunakan sepanjang hari, dan ada masa bertahan sehingga keesokan hari, jika penggunaan kurang untuk bermain permainan mudah alih ataupun menonton kandungan media. Ditambah dengan iPhone 14 Plus tidak menyokong fungsi Always-on-Display (AOD), ia akan memberikan ketahanan bateri yang lebih berbanding iPhone 14 Pro Max yang menggunakan fungsi tersebut.

Rekaan

iPhone 14 Plus masih lagi menggunakan takuk seperti siri iPhone yang sebelum ini, dengan Dynamic Island hanya terhad kepada siri iPhone 14 Pro. Oleh itu, dengan saya sebelum ini menggunakan iPhone 12 Pro Max sebagai telefon utama, penggunaan tidak mempunyai perbezaan yang ketara dan saya masih selesa menggunakan.’

Walaupun menggunakan saiz bateri yang sama, oleh kerana iPhone 14 Plus menggunakan kerangka aluminum berbanding stainless steel, menjadikan ia lebih ringan iaitu 203 gram sahaja berbanding 240 gram untuk iPhone 14 Pro Max dan bagi saya bagi penggunaan satu tangan adalah lebih selesa kerana ia lebih ringan, walaupun secara amnya perbezaan tidaklah ketara.

Selain itu, rekaan lain membawa kualiti yang sama dengan peranti iPhone sebelum ini, ia terasa kemas dan berkualiti untuk dipegang, butang kuasa di bahagian kanan, serta butang kuasa di bahagian kiri termasuk juga suis notifikasi, kesemuanya dihasilkan dengan baik untuk memudahkan penggunaan sebelah ataupun dua belah tangan.

Rumusan

Walaupun tidak membawa kebanyakan perkara baharu yang diperkenalkan di iPhone 14 Pro, iPhone 14 Plus termasuk juga iPhone 14 masih lagi menawarkan prestasi yang baik, dengan menggunakan cip yang sudah cukup baik walaupun berusia setahun lebih, peranti ini masih lagi pilihan yang baik. Tambahan lagi fungsi-fungsi seperti Dynamic Island dan juga Always-on Display bukan sesuatu yang diperlukan lagi.

Oleh itu, saya boleh katakan yang iPhone 14 Plus bagi yang inginkan saiz skrin yang besar, ataupun iPhone 14 untuk saiz skrin yang lebih kecil masih merupakan pilihan yang baik untuk yang ingin menaik taraf iPhone mereka ataupun mencuba buat pertama kali menggunakan ekosistem ini.

Leave a Reply