EA bersama dengan pembangun Criterion Games telah mengumumkan permainan seterusnya bagi siri lumba kereta terkenal Need for Speed iaitu Need for Speed Unbound hari ini. NFS Unbound akan dilancarkan untuk PlayStation 5, Xbox Series dan PC pada 2 Disember 2022.

Treler untuknya boleh ditonton di bawah.

Di dalam permainan ini, pemain akan menjadi seorang pemandu yang bergaduh dengan rakannya apabila berlaku kecurian di kedai membaiki kereta. Bagi mendapatkan semula kereta yang dicuri, pemain melibatkan diri dengan perlumbaan di bandar Lakoshore yang menjadi lokasi utama untuk permainan ini.

Tema bagi NFS Unbound adalah kereta yang kelihatan sangat realistik tetapi kaya dengan gaya visual seni jalanan, grafiti akan menjadi perkara utama di dalam permainan ini. Permainan ini akan dimainkan dengan resolusi 4K dan kadar kelancaran 60FPS di semua platform.

Berikut adalah antara perkara-perkara yang akan tiba di dalam permainan ini;

  • Visual seni jalanan akan menjadi hiasan utama untuk permainan ini dengan pemain boleh mendapatkan, menggunakan pelbagai kosmetik dan juga efek bunyi seperti Burst Nitrous, yang akan memberi gaya tersendiri kepada pemain.
  • Sistem polis akan kembali, dengan lebih banyak perlumbaan dilakukan, lebih Heat terhadap pemain. Terdapat mekanik baharu untuk melarikan diri daripada polis.
  • Muzik runut yang pelbagai daripada pelbagai genre termasuk juga A$AP Rocky yang juga menjadi penyanyi untuk treler di atas.
  • A$AP Rocky juga akan disertakan di dalam permainan sebagai ketua ‘Takeover Scene’ iaitu antara mod di dalam permainan ini.

Sesi pra-tempahan kini dibuka di PS Store, Xbox Store, Steam, Epic Games Store dan juga Origin/EA App. Setiap pra-tempahan akan mendapat barangan kosmetik, $150 ribu duit di dalam permainan dan pelbagai lagi.

Sohor Kini