FIFA 23 adalah permainan simulasi bola sepak terakhir oleh EA yang akan menggunakan nama FIFA, selain peralihan kepada EA Sports FC pada tahun depan, FIFA 23 juga boleh dikatakan permulaan peralihan siri permainan ini ke generasi baharu, ini dari segi tatamain dan juga bagaimana fungsi rentas platform akhirnya ditawarkan dan membuang dinding halangan di antara pemain di PlayStation, Xbox dan juga PC. Namun, FIFA 23 masih lagi mempunyai banyak bahagian yang tidak disentuh, tidak digubah, tidak mempunyai penambah-baikkan yang bermakna, rungutan yang sama saya nyatakan di ulasan FIFA 22.
Walaupun ini adalah ulasan untuk FIFA 23, akan tetapi saya akan memfokuskan kepada tatamain berdasarkan mod FIFA Ultimate Team, yang saya rasakan merupakan mod 90% pemain akan meluangkan masa bermain. EA ada mengatakan perubahan yang dilakukan untuk mod-mod lain seperti Career, Pro Club dan juga Volta, akan tetapi bagi saya perubahan yang dilakukan adalah tidak banyak, dan apabila saya mencubanya, ia tidak membawa kelainan yang besar, oleh kerana EA sendiri tidak memberi fokus kepada mod-mod ini, oleh itu saya memilih untuk melakukan perkara yang sama.
FIFA Ultimate Team juga merupakan mod yang benar-benar memperlihatkan perubahan yang dibawa di dalam FIFA 23. Antaranya adalah teknologi HyperMotion2. EA memperkenalkan teknologi ini semasa FIFA 22 lagi, akan tetapi seperti saya nyatakan sebelum ini, perbezaan di antara Hypermotion dan FIFA 22 di konsol generasi lepas, tidak membawa perbezaan yang ketara selain daripada ia lebih perlahan. Jika semasa FIFA 22 saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk bermain di PS5 dan bergilir-gilir dengan versi PS4, akan tetapi bagi FIFA 23, apabila saya mencuba versi PS4,
Bagi FIFA 23, saya merasakan tatamain yang sangat berbeza, ia bukan sahaja menjadikan sesi permainan lebih perlahan akan tetapi banyak perkara yang menjadi kebiasaan sebelum ini perlu dipelajari semula. Semasa penulisan ini, saya boleh katakan yang ia adalah perubahan kearah yang baik, akan tetapi seperti biasa dari semasa ke semasa EA akan melakukan tampalan tatamain, yang serba sedikit akan mengubah keseluruhan permainan.
Buat masa ini, saya boleh katakan yang FIFA 23 lebih menggalakkan bermain dengan mencari ruang melalui passing, berbanding melakukan skill berkali-kali. Skill masih lagi penting dan efektif, akan tetapi jika dilakukan berkali-kali seperti sering dilakukan di dalam FIFA sebelum ini, pemain lawan dapat merampas bola dengan lebih mudah. Ia masih lagi mempunyai beberapa masalah seperti penukaran pemain terasa sangat tidak konsisten, penjaga gol juga saya dapat sering melakukan animasi yang aneh, yang akhirnya mengakibatkan bolos.
Saya juga boleh katakan yang AI bergerak dengan lebih baik, terutama dari segi mencari ruangan kosong dan juga memastikan tidak berlari ke kawasan offside dengan terlalu kerap. Dengan kata lain, menyerang menjadi lebih menarik, dengan lebih mudah untuk mencari ruang tanpa perlu berharap kepada skill. Namun, berbeza pula dengan pertahanan, di mana bagi kali ini, ia lebih memfokuskan bertahan secara sendiri tanpa berharap kepada AI. Ini menjadikan AI tidak menutup ruang yang baik, jika penyerang terlepas, dan anda lambat menukar pemain, boleh dikatakan tiada harapan untuk bertahan lagi.
Perubahan yang utama sudah semestinya pengenalan “AcceleRATE”, ia adalah konsep baharu yang memberikan cara larian berbeza kepada pemain. Terdapat tiga kategori iaitu Controlled, Explosive dan Lengthy. Saya menyukai dengan pengenalan perkara ini, kerana ia memainkan peranan yang penting kepada cara bermain. Jika anda mempunyai pemain yang Explosive, anda mungkin lebih gemar untuk mencari ruang dengan membawa bola, jika pemain Lenghty hantaran pantas ke depan sudah semestinya menjadi pilihan.
Namun, buat masa ini di dalam FIFA Ultimate Team, secara jelasnya Lenghty telah menjadi kegemaran ramai pemain, dan ini membuatkan saya merasakan yang ketiga-tiga kategori tidak di lakukan dengan seimbang, menjadikan cara larian selain Lengthy kurang berkesan. Dengan ketidak seimbangan ini yang menjadikan pemain-pemain yang mempunyai Lenghty akan lebih digemari menjadi lebih mahal seperti Haaland.
AcceleRATE ini juga bukan sesuatu yang tetap terhadap satu pemain, akan tetapi ia boleh bertukar mengikut stat pemain. Oleh itu ia boleh ditukar menggunakan Chemistry Style, yang boleh mengubah pemain dari Controlled menjadi Lengthy atau Explosive ataupun sebaliknya. Seperti saya katakan ia adalah perkara yang menarik akan tetapi terasa tidak seimbang di antara ketiga-tiga ini jika melihatkan keberkesanannya.
Namun, masalah mengenai AcceleRATE ini, ia tidak diperlihatkan dengan jelas di dalam permainan sama ada pemain adalah Controlled, Lengthy ataupun Explosive sebaliknya perlu merujuk laman luar seperti Futbin.
Kesemua perkara yang saya nyatakan di atas adalah terhad kepada FIFA 23 di PlayStation 5, Xbox Series dan PC sahaja, dan ia benar-benar mengubah rasa dan cara untuk bermain. Oleh kerana itu saya merasakan ini adalah siri yang benar-benar sudah beralih ke generasi baharu. EA Sports FC tahun depan berkemungkinan akan masih dikeluarkan untuk konsol generasi lepas, akan tetapi dengan jelasnya ia akan terasa sama, dengan perubahan hanya akan berlaku di konsol generasi terkini dan juga PC.
Namun, tidak semua perubahan terhad kepada konsol terkini dan PC sahaja, terdapat fungsi seperti Power Shot, yang akan membuatkan pemain mengambil lebih banyak masa untuk melakukan tendangan akan tetapi menjadikan bola bergerak lebih laju. Ia adalah menarik, akan tetapi oleh kerana mengambil masa yang lama, sehingga pertahanan akan sempat untuk bertahan. Oleh kerana itu, saya jarang menggunakannya, selain itu juga perlu di kawal dengan lebih jitu. Walaupun begitu, ia masih lagi satu penambahan yang baik.
Seterusnya adalah sistem Set Piece seperti Freekick, Corner dan juga Penalty. Bagi Freekick dan corner, ia mempunyai kawalan yang lebih baik, terutama dapat memilih tempat untuk melakukan sepakan, menjadikan anda boleh menjangkakan gerakan bola. Manakala penalti ia lebih memfokuskan kepada timing dengan gegelung berada di kaki untuk menentukan ketepatan tendangan.
Bagi perubahan yang memfokuskan kepada FIFA Ultimate Team pula adalah mereka menggunakan sistem chemistry baharu. Bagi saya, banyak bahagian ia adalah lebih baik dengan chemistry tidak lagi terlalu memfokuskan kepada kedudukan pemain, ataupun perlu berada sebelah menyebelah. Sebaliknya, chemistry boleh berhubung dengan mana-mana pemain di dalam skuad.
Ini secara langsung membolehkan lebih banyak pilihan pemain untuk dijadikan satu skuad, dan tidak perlu contohnya kesemua pemain dari Premier League ataupun La Liga. Namun, ia juga menjadi masalah kerana akan bergantung kepada mempunyai seseorang dari kelab yang sama ataupun negara yang sama.
Contohnya daripada skuad saya di atas, saya menggunakan Sancho di LW, dan mendapat tiga diamond, dengan kata lain chemistry penuh. Jika saya tukar kepada Luiz Diaz, ia menjadi 2 diamond, dan satu-satunya cara untuk mendapat 3 diamond adalah dengan memasuki seorang lagi pemain Liverpool ataupun seorang pemain Premier League. Menambah pemain Premier League menjadikan pemain-pemain dari La Liga akan kekurangan chemistry, oleh itu satu-satunya cara adalah menggunakan pemain Liverpool.
Saya merasakan dilema ini akan sentiasa dihadapi semasa membina skuad dan saya merasakan ia akan menjadi lebih baik jika Manager mempunyai kesan yang lebih besar agar dapat menggalakkan lagi pemain untuk membentuk skuad-skuad yang berbeza.
Sistem chemistry baharu ini juga hadir bersama dengan sistem posisi baharu, pemain kini mempunyai satu posisi asal, dan mungkin satu ataupun lebih posisi tambahan, dan untuk menukarnya akan menggunakan satu consumable sahaja iaitu position change. Oleh itu, tiada lagi masalah sukar untuk menukar dari ST ke CF kerana ia sering habis dijual.
EA juga menambah mod untuk bagi pemain yang lebih gemari sesi permainan luar talian untuk FUT iaitu Moments. Di dalamnya akan terdapat pelbagai objektif yang kebiasaannya mengambil masa beberapa minit sahaja untuk diselesaikan, contohnya menjaringkan gol menggunakan Mbappe. Melakukan objektif-objektif ini, pemain akan diberikan FUT Star yang boleh ditukar untuk mendapat pek ataupun kandungan bermusim seperti Ted Lasso dan Coach Beard dari siri TV Ted Lasson.
Saya sangat menyukai Moment, kerana ada masa saya tidak ingin beramin secara dalam talian, tetapi ingin bermain FIFA, oleh itu Moment memberi alasan yang baik untuk saya terus bermain. Saya cuma berharap ganjaran yang diberikan lebih berbaloi dengan apa yang ditawarkan sekarang.
Bagi mikro-transaksi yang disertakan di dalam permainan ini, ia adalah sama sahaja dengan permainan sebelum-sebelum ini. Mengikut pengalaman saya, permainan ini boleh dimainkan sepenuhnya tanpa berbelanja, akan tetapi pemain tidak boleh berharap untuk mendapat pemain-pemain baharu dan perlu melakukan pelbagai objektif yang akan memberikan pek.
Saya tidak menggalakkan untuk sesiapa berbelanja di dalam permainan ini, kerana saya berbelanja lebih RM1000 pada FIFA 22, tidak merasakan yang ia membantu untuk menjadikan permainan lebih menarik kepada saya. Sebaliknya, bermain dengan skuad yang terbaik boleh dilakukan akan menjadikan ia pengalaman yang lebih menarik.
Akhir kata, ia masih mengecewakan yang EA masih tidak memberi fokus yang sama terhadap mod-mod lain yang tidak menjana pendapatan untuk mereka seperti Career dan juga Pro Club yang tidak menerima perkara asas seperti rentas platform. Ia mengecewakan kerana, kesemua mod ini masih diberkaskan bersama dengan FUT dan pemain yang ingin bermain-nya perlu membayar harga penuh. Saya masih berharap mod FUT diasingkan dan menjadi mod percuma, manakala mod lain perlu dijual berasingan, mungkin EA akan memberikan fokus untuknya.
Manakala FUT pula melalui satu perubahan yang baik, kerana terdapat penambahan seperti moment yang memberi cara yang lebih banyak untuk pemain meluangkan masa dan cuba mendapat ganjaran tanpa perlu berbelanja. Sistem chemistry baharu juga buat masa ini adalah satu perkara yang positif walaupun ada masa ia menjadikan sedikit sukar untuk menggunakan pemain yang anda inginkan. Dengan sokongan rentas platform untuk sesi bermain dan juga pasaran, telah menjadikan ia lebih rancak.
Tatamain baharu untuk konsol generasi terkini dan juga PC juga melalui perubahan yang positif, ia terasa lebih realistik dengan tidak lagi terlalu menjadikan skill ataupun larian terlalu penting, walaupun ia masih lagi perkara yang memberi kelebihan. Masih mempunyai masalah seperti animasi penjaga gol yang aneh serta pertahanan yang kurang responsif, selain daripada itu, ia adalah perubahan yang kearah lebih baik.
Patut anda dapatkan FIFA 23 ataupun tidak? Jawapan sama saya boleh berikan, jika anda ingin meluangkan masa bermain FIFA Ultimate Team, jika tidak ada pilihan yang percuma.
Penafian: FIFA 23 Ultimate Edition disediakan oleh EA untuk tujuan ulasan ini.