Sensor Tower telah mengeluarkan anggaran yang sejak dilancarkan pada 2 tahun lepas, Genshin Impact telah menjana sebanyak $3 bilion secara global (~RM13.94 bilion) di iOS dan juga Android.

Daripada jumlah tersebut, $973 juta adalah dari pengguna di China iaitu 30.7%, diikuti Jepun 23.7% dan Amerika Syarikat 19.7%. Data juga mengatakan yang walaupun ia adalah permainan terkenal secara global akan tetapi 70% pendapatan adalah dari pengguna di Asia.

Manakala mengikut gedung permainan pula, App Store adalah penyumbang tertinggi dengan 65.7% berbanding Play Store akan tetapi ia adalah disebabkan Sensor Tower tidak mengambil kira perbelanjaan pengguna Android di China kerana mereka tidak menggunakan Play Store.

Genshin Impact sebelum ini mengambil 171 hari sahaja untuk menjana $1 bilion yang pertama, dan 195 hari tambahan untuk $1 bilion seterusnya dan 185 hari untuk $1 bilion yang ketiga. Jumlah ini juga hanya mengambil kira pembelian melalui telefon pintar, dan tidak mengambil kira jumlah di PlayStation dan PC.

Genshin Impact sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, PC, iOS dan Android. Ia adalah permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi.

Sohor Kini