Seperti diumumkan pada bulan Julai lepas, PlayStation akhirnya melancarkan PlayStation Stars iaitu program kesetiaan yang membolehkan pemain untuk mengumpul Stars yang kemudiannya boleh digunakan untuk menebus pelbagai barangan seperti “digital collectible”, permainan penuh dan juga tambah nilai untuk PS Store.

Anda boleh memasuki program ini dengan melayari laman PlayStation Stars ataupun melalui aplikasi PlayStation di iOS dan juga Android. Ia akan menggunakan akaun PlayStation Store tetapi perlu menyertai sebelum dapat mula mengumpul Stars.

Antara cara untuk mengumpul mata kesetiaan ini adalah dengan melakukan pelbagai kempen seperti “Monthly Check-in” yang sekadar memerlukan ahli PlayStation Stars untuk bermain apa-apa permainan di konsol PlayStation. Selain itu, terdapat juga cabaran untuk memenangi kejohanan, mendapatkan trofi tertentu bahkan menjadi yang pertama mendapat trofi platinum.

Antara perkara yang boleh ditebus menggunakan Stars ini adalah permainan penuh, seperti Cult of the Lamb yang ditawarkan dengan 6,250 stars. Digital collectible “Pink Monkey Diorama” dengan 200 stars dan juga tambah nilai RM90 dengan 2,250 stars.

Selain mengumpul Stars, terdapat juga tahap PlayStation Stars yang mempunyai 4 tahap, meningkatkan tahap ini akan memberikan pengguna barangan-barangan collectible.

Sohor Kini