Nuverse bersama dengan pembangun Second Dinner telah mengumumkan yang permainan Marvel Snap akan dikeluarkan pada 18 Oktober 2022 untuk PC, iOS dan juga Android. Bagi pengguna Android, pra-pendaftaran juga telah dibuka.

Ia adalah permainan kad digital yang menggunakan watak-watak dari siri komik Marvel dan dibangunkan oleh Second Dinner iaitu studio yang ditubuhkan oleh Ben Brode, bekas pengarah Hearthstone bersama dengan beberapa bekas pembangun Blizzard.

Anda boleh tonton video pengumuman di bawah.

Di dalam Marvel Snap pemain akan membentuk satu dek yang mempunyai 12 kad watak-watak Marvel, penjahat ataupun adiwira, dan semasa pertempuran akan terdapat tiga kawasan berbeza. Pemain perlu bertempur menggunakan kad untuk ‘menjajah’ kawasan tersebut.

Setiap kawasan juga akan mempunyai kelebihan ataupun kekurangan tersendiri, contohnya ada kawasan yang tidak boleh diletakkan kad bernilai rendah, ataupun kawasan tersebut akan menghancurkan kesemua kad selepas beberapa pusingan tertentu. Pemain yang mendapat sekurang-kurangnya 2 kawasan akan memenangi perlawanan.

Anda boleh tonton video pengenalan untuk Marvel Snap oleh Ben Brode sendiri di video di bawah.

Seperti diumumkan sebelum ini, semasa pelancaran ia akan menyertakan lebih 150 kad termasuk juga watak sama tetapi dengan variasi yang berlainan. Marvel Snap akan dilancarkan sebagai permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi.

Sohor Kini