Blizzard telah mengambil peluang penstriman oleh Xbox bagi Tokyo Game Show 2022 untuk memperlihatkan hero baharu yang akan disertakan di dalam Overwatch 2. Hero tersebut adalah Kiriko iaitu hero kelas support dan berasal dari Jepun, oleh itu tidak mengejutkan ia diperlihatkan di acara TGS 2022 ini.

Berdasarkan treler yang diperlihatkan, Kiriko mempunyai kebolehan untuk menggunakan Ofuda ataupun tangkal untuk sama ada menyembuh dan juga menguatkan serangan, sesuatu yang sudah biasa untuk kelas Support. Bagi serangan pula, Kiriko menggunakan Shuriken ataupun pisau kecil yang dilempar kepada musuh.

Buat masa ini, maklumat lanjut mengenai Kiriko tidak dikongsikan lagi, akan tetapi ia disahkan akan tiba apabila permainan dilancarkan sebagai watak di dalam Battle Pass.

Bercakap mengenai Battle Pass, Blizzard juga telah mengumumkan secara lanjut mengenai sistem battle pass yang akan disertakan di dalam permainan ini sebagai ganti kepada sistem kotak tikam. Berdasarkan kemajuan dengan bermain, pemain boleh dapatkan pelbagai barangan kosmestik melalui battle pass percuma ataupun berbayar. Hero di dalam battle pass boleh didapatkan tanpa perlu membeli battle pass berbayar.

Battle Pass akan diperbaharui setiap musim dengan satu musim akan berlangsung selama 9 minggu.

Overwatch 2 akan dikeluarkan pada 4 Oktober 2022 untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, Nintendo Switch dan PC. Ia akan menjadi permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi.

Sohor Kini