PlayStation Studios bersama dengan pembangun Santa Monica Studio ketika State of Play yang berlangsung pada awal pagi ini telah berkongsi treler baharu untuk God of War Ragnarok. Anda boleh tonton treler tersebut di bawah.
Treler tersebut memperlihatkan perhubungan di antara Kratos dan Atreus terus berduri, dengan Atreus ingin mencari lanjut mengenai tilikan yang berkait dengan “Loki”. Manakala Kratos masih lagi cuba melarikan diri dari kisah silam dan pada masa sama memastikan keselamatan Kratos. Keadaan menjadi lebih bercelaru apabila mereka juga menjadi perhatian tuhan-tuhan di Asgard selepas kejadian di permainan yang lepas.
Selain itu, PlayStation juga telah mengumumkan yang mereka akan hadir dengan DualSense rekaan khas berdasarkan God of War Ragnarok. Alat kawalan ini akan ditawarkan bersama dengan pelancaran permainan ini tetapi boleh di pra-tempah bermula pada 27 September 2022.
God of War Ragnarok akan dikeluarkan pada 9 November 2022 untuk PlayStation 4 dan PlayStation 5. Sesi pra-tempahan untuknya sudah dibuka dengan ia ditawarkan dengan harga RM249 untuk PS4, RM299 untuk PS5, RM339 untuk kedua-dua versi dan pelbagai lagi barangan di dalam permainan.