Just Remembering adalah salah satu filem yang ditawarkan di Festival Filem Jepun yang berlangsung bermula hari ini di cawangan-cawangan terpilih GSC, anda boleh baca lanjut mengenainya di pautan ini. Ia adalah filem arahan Daigo Matsui yang sebelum ini hadir dengan filem seperti “You, Your, Yours”, “#HandoZenryoku”, dan “Remain in Twilight”.
Filem ini memfokuskan kepada kisah percintaan di antara Teruo lakonan Sosuke Ikematsu dan Yo lakonan Sairi Itoh. Perkara yang unik mengenai filem ini adalah penceritaan disampaikan secara ke-belakang di mana filem ini akan memperlihatkan terlebih dahulu “pengakhiran”. Setiap penceritaan terjadi pada satu tarikh sahaja, tetapi pada tahun berbeza, dan tahun ini bergerak ke belakang.
Dengan kata lain, filem ini membeberkan (spoiler) terlebih dahulu mengenai apa yang berlaku sebelum memperlihatkan semula kejadian-kejadian sebelum ini. Oleh itu, sama ada penonton merasakan filem ini menarik ataupun tidak bergantung kepada persoalan “Adakah sesuatu perjalanan menarik jika anda sudah mengetahui perasaan anda mengenai destinasi yang dituju?”
Bagi saya, pada awalnya ia sedikit aneh kerana melihat sesuatu terjadi tetapi pada masa sama sudah mengetahui pengakhiran ini merasakan yang apa yang saya tonton sekarang membuang masa dan tidak lagi membawa makna kepada penceritaan, akan tetapi apabila filem diteruskan saya mula memahami apa yang cuba disampaikan dan ia juga tepat dengan judul filem ini iaitu “Just Remembering” ataupun “Sekadar Mengingati”.
Berbanding saya menonton dengan perasaan tertarik untuk mengetahui apa yang berlaku seterusnya, saya sebaliknya ingin melihat bagaimana kisah mereka berlaku sebelum ini, bagaimana mereka bertemu, bagaimana mereka bergaduh, bagaimana mereka berbaik, ia akan memberikan perasaan berbeza dengan perasaan ingin tahu jika penceritaan disampaikan secara biasa.
Ini ditambah lagi dengan lakonan yang sangat baik oleh kedua-dua watak utama iaitu Sosuke Ikematsu dan Sairi Itoh yang menyampaikan personaliti mereka dengan sangat jelas. Perhubungan di antara mereka berdua juga dilakukan dengan baik, walaupun ia satu penceritaan mengenai percintaan akan tetapi perhubungan antara dua watak ini tidaklah terlalu romantis, walaupun ada beberapa bahagian yang boleh dikatakan romantik, namun ia lebih kepada perhubungan yang lebih kasual yang membawa kepada adegan komedi.
Selain dua watak tersebut, terdapat beberapa lagi watak sampingan yang membawa personaliti tersendiri menjadikan penceritaan lebih menarik. Menariknya, watak-watak ini juga bergerak ke belakang seperti mana perhubungan di antara dua watak utama oleh itu boleh dilihat contohnya mereka bermula sebagai pekerja di pejabat, tetapi selepas berlakunya pandemik Covid-19, mereka menjadi pemandu teksi.
Filem ini juga mempunyai sinematografi yang sangat cantik, setiap babak dirakam dengan baik ditambah lagi dengan persekitaran serta bandar Jepun yang kemas menjadikan setiap adegan sedap mata memandang dan terasa segar untuk ditonton. Dengan watak Teruo merupakan seorang penari di teater, filem ini juga mengisi beberapa adegan dengan persembahan teater yang bagi saya memberi nilai tambah kepada keseluruhan penceritaan.
Akhir kata, Just Remembering adalah satu filem yang menarik akan tetapi dengan pilihan penceritaan yang bergerak ke belakang mungkin menjadi perkara yang menjadikan filem ini tidak diterima dengan baik, namun bagi saya ia memberi kelainan di dalam penyampaian kisah mereka dan memberi perasaan serta emosi yang berbeza semasa menonton. Selepas saya habis menonton filem ini, saya sekadar memasang lagu Glimpse of Us oleh Joji yang membawa pengertian dan juga perasaan yang sama. Filem ini juga dikatakan di-inspirasi-kan daripada lagu Night on the Planet oleh CreepHyp.
Penafian: Tayangan untuk Just Remembering disediakan oleh Japan Foundation bersempena dengan Festival Filem Jepun dan untuk tujuan ulasan ini.