Xbox Series Menerima Fungsi Memadam Audio Hingar

Microsoft telah mengeluarkan kemaskini sistem operasi baharu untuk Xbox Series dan ia antaranya menyertakan dua fungsi baharu untuk konsol tersebut, iaitu fungsi memadam audio hingar dan juga memasuki permainan melalui tangkapan skrin rakan.

Melalui fungsi memadam audio hingar yang akan terpasang secara lalai selepas memasang kemaskini ini, ia akan mengurangkan atau memadamkan terus bunyi-bunyi yang tidak diingini semasa di dalam bilik sembang. Antara bunyi yang dikatakan adalah bunyi menekan alat kawalan, pernafasan dan juga bunyi persekitaran rakan.

Jika atas apa-apa sebab pengguna tidak inginkan fungsi ini, ataupun ia tidak berfungsi dengan baik, ia boleh ditutup melalui tetapan untuk ‘Parties & chats’.

Fungsi seterusnya adalah pemain kini boleh membuka terus sesuatu permainan semasa melihat tangkapan skrin ataupun rakaman klip untuk mana-mana permainan di Xbox.

Contohnya jika pengguna melihat gambar tangkapan skrin permainan Forza Horizon 5 rakan, satu pautan akan disertakan di bawah gambar tersebut untuk terus membukanya secara terus jika menggunakan fungsi Cloud.

Ia boleh digunakan di mana-mana platform yang menyokong fungsi Xbox Cloud seperti pelayar di telefon pintar dan juga PC.

Sohor Kini