Tencent Ganda Pegangan Mereka Di Dalam Ubisoft

Pada awal bulan lepas, telah dilaporkan yang Tencent membuat bidaan untuk menjadi pemegang saham terbesar di dalam Ubisoft, hari ini perkara tersebut telah diumumkan akan tetapi ia bukan satu pengambil-alihan secara terus.

Melalui pengumuman terbaru (dilaporkan oleh Bloomberg), Tencent boleh menambah pegangan mereka dari 4.5% kepada 9.99% di dalam Ubisoft, namun selepas itu Tencent tidak boleh menambah pegangan mereka di dalam Ubisoft untuk 8 tahun dan tidak boleh jual pegangan mereka dalam masa 5 tahun dengan Guillemot Brothers Ltd mempunyai hak untuk ditawarkan terlebih dahulu.

Pelaburan terbesar oleh Tencent adalah sebanyak $198 juta untuk mendapat pegangan sebanyak 49.9% di dalam Guillemot Brothers Ltd iaitu syarikat keluarga Guillemot yang merupakan pengasas untuk Ubisoft, dan Yves Guillemot adalah pengerusi dan juga CEO untuk studio permainan tersebut.

Guillemot Brothers Ltd merupakan pemegang saham terbesar di dalam Ubisoft iaitu sebanyak 18.5% dengan gabungan bersama Tencent, pegangan mereka kini boleh meningkat sehingga 29.9%. Namun, Ubisoft mengatakan yang jika ada pelabur yang ingin melakukan pengambil-alihan secara terus ia masih boleh dilakukan.

Yves Guillemot di dalam surat kepada pekerja Ubisoft telah mengatakan yang walaupun pelaburan besar oleh Tencent ini, syarikat teknologi dari China tersebut tidak akan mempunyai hak untuk melakukan sebarang keputusan secara terus di dalam Ubisoft, Tencent juga tidak akan menyertai Lembaga Pengarah Guillemot Brothers Ltd ataupun Ubisoft di mana mereka akan terus beroperasi seperti biasa.

Sohor Kini