Epic Games Store telah mengumumkan senarai permainan yang akan ditawarkan secara percuma sebagai tawaran mingguan mereka. Tawaran minggu ini didahului dengan Shadow of the Tomb Raider diikuti dengan Submerged: Hidden Depths dan juga barangan di dalam permainan untuk Knockout City, tawaran ini adalah sehingga 8 September 2022.

Shadow of the Tomb Raider adalah permainan ketiga untuk trilogi baharu bagi permainan Tomb Raider, ia dibangunkan oleh Eidos Montreal dan diterbitkan oleh Square Enix. Ia mungkin adalah permainan terakhir Tomb Raider oleh Square Enix, selepas IP untuknya dijual kepada Embrace Group bersama dengan Crystal Dynamics.

Anda boleh baca ulasan kami di pautan ini; Ulasan Shadow of the Tomb Raider – Bentuk Permainan Yang Menarik Terganggu Dengan Prestasi Permainan.

Muat turun: Shadow of the Tomb Raider Definitive Editon

Submerged: Hidden Depths adalah permainan pengembaraan oleh Uppercut Games yang sudah dikeluarkan untuk pelbagai platform sejak tahun 2020 lagi. Permainan ini memfokuskan kepada pengembaraan dan tidak mempunyai sebarang pertempuran.

Muat Turun: Submerged Hidden Depths

Knockout City adalah permainan multi-pemain dodgeball yang dibangunkan oleh Velan Studios, ia adalah permainan percuma tetapi jika anda memasang dan bermain permainan ini melalui Epic Games Store, pemain akan mendapat berkas Armazillo secara percuma.

Muat Turun: Knockout City

Selepas tawaran ini berakhir iaitu pada 8 September, ia akan digantikan dengan dua tawaran iaitu permainan Hundred Days – Winemaking Simulator dan juga barangan untuk Realm Royale Reforged.

Sohor Kini