Apple Arcade telah mengumumkan senarai permainan baharu yang akan disertakan di perkhidmatan tersebut sepanjang bulan September ini. Terdapat 5 permainan dengan 4 adalah Arcade Originals dan 1 App Store Greats.

Permainan Arcade Originals yang akan tiba adalah Hanx101 Trivia oleh BlueLine Studios yang akan dilancarkan pada 2 September ini. Ia adalah permainan teka-teki dengan kerjasama bersama pelakon terkenal iaitu Tom Hanks.

Seterusnya adalah Horizon Chase 2 iaitu permainan susulan untuk Horizon Chase yang merupakan permainan lumba kereta oleh Aquiris Game Studio. Ia akan dilancarkan pada 9 September ini secara eksklusif di Apple Arcade sebelum turut dikeluarkan di platform lain pada tahun 2023.

Garden Tails: Match and Grow pula adalah permainan tekaria match 3 yang dibangunkan oleh PlayDots. Permainan ini juga akan menyertakan elemen berkebun. Ia akan dilancarkan pada 16 September.

Shovel Knight Dig pula adalah permainan sampingan untuk Shovel Knight iaitu permainan 2D platformer yang dibangunkan oleh Yacht Club Games. Ia mengekalkan bentuk permainan Shovel Knight akan tetapi dengan grafik yang lebih berwarna terang. Ia akan dilancarkan pada 23 September 2022.

Manakala bagi permainan App Store Greats pula adalah Gris+ iaitu permainan pengembaraan yang diterbitkan oleh Devolver Digital. Ia sudah dikeluarkan untuk konsol, PC, peranti pintar sebagai permainan berbayar dan akan dilancarkan Apple Arcade pada 30 September 2022.

Apple Arcade ditawarkan dengan harga RM19.90 yang boleh dikongsi dengan 5 orang keluarga, ia juga boleh diperoleh melalui langganan Apple One yang juga menyertakan Apple Music dan Apple TV+ dengan harga RM19.90 untuk pelan individu dan RM33.90 untuk pelan keluarga.

Anda juga boleh baca 10 permainan menarik untuk anda cuba jika memiliki langganan Apple Arcade ataupun bercadang untuk mendapatkannya: 10 Permainan Baharu Di Apple Arcade Yang Menarik.

Sohor Kini