Siri TV The Sandman adalah adaptasi aksi nyata pertama untuk komik popular oleh Neil Gaiman. Ia mula disiarkan di Netflix secara eksklusif pada awal Ogos. Siri TV ini mengisahkan Dream iaitu dewa mimpi yang ditangkap dan segala makhluk mimpi ngeri bebas menghuru-harakan dunia nyata. Selepas Dream bebas, barulah beliau cuba mengembalikan semula kepada keadaan asal.
The Sandman turut berjaya menjadi siri TV paling popular di Netflix. Sebelum ini, siri TV Lucifer juga pernah popular yang mana watak Lucifer Morningstar itu diadaptasi daripada komik Sandman.
The Direct baru-baru ini mendedahkan yang Neil Gaiman turut pernah berbincang bersama Kevin Feige untuk filem Doctor Strange. Tetapi idea beliau ketika itu telah ditolak. Neil turut berbincang idea bersama Guillermo Del Toro untuk filem berkenaan sekitar tahun 2007.
Menurut sumber, idea beliau ditolak kerana ketika itu Marvel Studios ingin fokus kepada watak teras dalam dunia Marvel terlebih dahulu. Idea mereka adalah untuk menceritakan kisah pengembaraan Doctor Strange yang bermasalah seperti lesen doktor telah ditarik, menjadi kaki minum dan kemudian barulah berlatih menjadi ahli sihir terhebat untuk kembali membentuk diri.
Kisah Doctor Strange ini dikatakan berlaku pada hujung 1920-an ke awal 1930-an dan sudah mendiami di Greenwich Village selama 90 tahun. Selepas idea ini ditolak, ia turut dilupakan kerana Marvel Studios memilih Scott Derickson sebagai pengarah filem pertama dengan Benedict Cumberbatch sebagai pelakon utama pada tahun 2016.