Skip to main content

Destroy All Humans! 2 – Reprobed adalah permainan penambah-baikkan untuk permainan berjudul sama yang dikeluarkan pada tahun 2016, ia juga merupakan permainan susulan untuk Destroy All Humans! yang dikeluarkan pada tahun 2005 yang juga menerima versi olahan semula dan sudah dikeluarkan pada tahun 2020 dan anda boleh baca ulasan kami di pautan ini; Ulasan Mini – Destroy All Humans!.

Permainan ini sekali lagi menjadikan Crypto sebagai watak utama, akan tetapi ia bukanlah Cryptosporidium-137 dari permainan pertama sebaliknya klon iaitu Cryptosporidium-138 selepas 137 mati tanpa sebab yang jelas. Crypto pada awalnya merupakan presiden untuk Amerika Syarikat, tetapi selepas ibu kapal Furon dihancurkan oleh Soviet Union, identiti sebenar Crypto sebagai alien terdedah.

Merasakan ancaman Furon tidak lagi kuat, Soviet Union mula merancang untuk menakluk dunia menggunakan dadah. Crypto yang pada awalnya sekadar ingin memastikan mereka terus dapat menguasai Amerika Syarikat memulakan misinya untuk melawan Soviet Union akan tetapi tanpa disedari dia mula terlibat dengan pelbagai konspirasi, lebih daripada awalnya. Pada masa sama, dia juga bertanggungjawab untuk mengembalikan kekuasaan Furon.

Penceritaan secara amnya mempunyai penulisan yang baik, terdapat pelbagai elemen misteri yang menjadikan ia menarik untuk diikuti. Penceritaan yang disampaikan secara tidak langsung menjadikan Crypto sebagai seorang pengintip seperti James Bond. Crypto juga bertemu dengan Natalya Ivanova yang dikatakan agen KGB yang berpaling tadah kepada Soviet Union.

Dinamik antara mereka berdua sangat menjadi dengan Crypto adalah alien yang ‘gatal’, manakala Natalya mempunyai sifat yang lebih matang dan boleh disamakan dengan watak Black Widow dari filem MCU. Namun, dialog serta rekaan watak mungkin ada terasa ketinggalan zaman dengan jenaka dilakukan lebih kepada cringe berbanding lucu. Ia mungkin disebabkan ini adalah permainan olahan semula.

Pemain juga akan ditemukan dengan pelbagai lagi watak, terutama watak jahat yang mempunyai personaliti tersendiri menjadikan permainan ini sangat meriah dengan watak-watak yang menarik.

Bentuk permainan pula, Destroy All Humans! 2 – Reprobed adalah permainan shooter tetapi mempunyai pelbagai elemen yang menjadikan ia unik. Senjata yang digunakan bersesuaian dengan konsep Crypto adalah alien, antara senjata yang digunakan adalah kejutan eletrik, “anal probe” yang berfungsi seperti anda rasakan daripada namanya dan juga senjata yang akan menurunkan meteor ke atas penjahat.

Selain itu, Crypto juga mempunyai kebolehan untuk memasuki mana-mana watak NPC yang boleh digunakan untuk menyamar ataupun sekadar mengelak daripada polis, M16 dan juga KGB. Crypto juga mempunyai kebolehan seperti Psychokinesis, dan juga Mind Flash yang boleh menghentikan sementara serangan dan juga menyembuh. Crypto juga mempunyai piring terbang yang boleh melakukan pelbagai serangan tersendiri.

Senjata yang pelik ini juga menjadi lebih baik dengan kesan visual yang disertakan. Jika menembak menggunakan elektrik akan nampak tulang-tulang di dalam badang, jika menggunakan tembakan api, dapat lihat yang badan mula terbakar dan menjadi abu. Bagi saya ia dilakukan dengan baik, menjadikan pengalaman bermain yang lebih menarik.

Senjata, piring terbang dan juga kebolehan Crypto boleh dipertingkatkan tahapnya antara cara yang digunakan adalah dengan menggunakan kebolehan tersebut untuk melakukan perkara tertentu seperti menggunakan psychokinesis untuk membaling polis ataupun askar. Pemain juga boleh menggunakan Furotech untuk mempertingkatkan senjata.

Furotech ini boleh didapatkan semula jika pemain tidak lagi ingin mempertingkatkan tahap sesuatu senjata, oleh kerana tidak semua senjata ditawarkan secara terus dan hanya didapatkan dengan bermain, ia adalah fungsi yang baik untuk memudahkan mengurus tahap senjata.

Permainan ini juga menghasilkan misi tidak kira yang utama ataupun sampingan agar ia menggunakan segala pelbagai serangan yang boleh dilakukan oleh Crypto yang serba sedikit menjadikan ia terasa berlainan walaupun pada amnya setiap misi terasa sama, di mana Crypto perlu melakukan perkara yang lebih kurang sahaja seperti menyamar menjadi sesuatu watak, memasuki tempat terlarang dan membunuh kesemua penjahat di kawasan tersebut.

Semasa saya bermain separuh permainan lagi saya terasa yang ia sudah berulang, dan ia tidak ditambah baik walaupun sudah mencapai bahagian akhir permainan. Namun, oleh kerana tersedianya pelbagai serangan ini, ditambah lagi dengan kepelbagaian tempat, saya masih lagi tidak terasa bosan semasa bermain. Tambahan, ia bukanlah permainan panjang boleh dihabiskan dalam masa kurang 14 jam, ataupun lebih kurang 20 jam jika ingin melakukan kesemua aktiviti dan mencari kesemua collectible.

Satu perkara yang sedikit mengecewakan adalah pergerakan AI terutama penjahat ada masa tidak baik, ataupun mereka langsung tidak melakukan serangan menjadikan sesi permainan yang mudah. Ia mungkin pepijat yang perlu diselesaikan. Namun, ia bukanlah berlaku dengan kerap dan tidak terlalu memberi kesan kepada pengalaman bermain yang secara amnya agar mudah untuk tahap kesukaran yang kedua iaitu Veteran.

Dari segi grafik pula, saya boleh katakan ia dilakukan dengan baik, dengan setiap watak mempunyai keunikan tersendiri. NPC juga pelbagai akan tetapi tidak lama untuk saya mula menyedari yang kebanyakan NPC adalah rekaan yang berulang, terutama kerana Crypto mempunyai kebolehan untuk memasuki mereka.

Permainan ini juga akan membawa pemain ke lima kawasan seperti Amerika Syarikat pada permulaan, England dan juga Jepun, dan setiap daripadanya dihasilkan mengikut tema bagi negara tersebut dan saya menyukainya. Ia Setiap negara ini akan mempunyai kawasan tersendiri, ia tidak terlalu luas tetapi mencukupi untuk memberi perasaan yang ini adalah permainan dunia terbuka.

Selain itu, Crypto juga mempunyai pelbagai kostum dan setiap daripada satunya nampak sangat-sangat menarik dan boleh menjadikan perkara yang menyeronokkan untuk digunakan di dalam mod foto. Dari segi prestasi pula, ia dapat dimainkan dengan baik, saya hanya menyedari beberapa bahagian sahaja yang terdapat gangguan kelancaran, ia biasanya berlaku di tempat di mana terdapat banyak perkara yang sedang berlaku seperti pertempuran di kawasan yang terbakar.

Akhir kata, Destroy All Humans! 2 – Reprobed adalah satu permainan yang mempunyai pelbagai bahagian dan juga elemen menjadikan ia satu permainan yang sangat seronok untuk dimainkan. Kepelbagaian senjata serta kebolehan menjadikan ia sesi permainan yang tidak membosankan walaupun misi-misi yang disertakan tidak kira sampingan ataupun utama terasa berulang.

Permainan ini diperkuatkan lagi dengan penceritaan, perwatakan dan juga rekaan dunia yang menarik. Kesemua perkara ini menjadikan ia satu pengalaman yang baik secara sendirinya dan ditambah lagi dengan keseronokan menjadi Crypto, ia adalah permainan yang harus dicuba oleh semua.

Penafian: Kod permainan Destroy All Humans! 2 – Reprobed disediakan oleh THQ Nordic untuk tujuan ulasan ini. Ia akan dikeluarkan untuk PlayStation 5, Xbox Series dan PC pada 30 Ogos 2022.

Destroy All Humans! 2 - Reprobed
Destroy All Humans! 2 - Reprobed adalah permainan yang mempunyai penceritaan serta pertempuran menarik yang memfokuskan Crypto, makhluk asing menjadi perisik dan cuba menyelamatkan dunia.
Positif
Kepelbagaian Senjata Dan Kebolehan
Penceritaan Yang Menarik
Rekaan Grafik dan Dunia Yang Berkualiti
Negatif
Misi Yang Berulang
Ada Masa Jenaka Terasa Cringe
8

Leave a Reply