Amazon Dikatakan Sudah Membuat Tawaran Untuk Mengambil-Alih EA

Kemaskini: USA Today telah mengemaskini laporan mereka yang mengatakan GLHF telah mengeluarkan satu laporan yang tidak menepati piawaian editorial mereka. Mereka telah membuang laporan yang mengatakan Amazon telah membuat tawaran.

Manakala CNBC juga telah mengeluarkan laporan yang mengatakan Amazon tidak akan membuat sebarang tawaran untuk mengambil-alih EA, dan laporan oleh GLHF tersebut adalah tidak tepat.

Artikel Asal: GLHF hari ini melaporkan yang Amazon telah membuat tawaran rasmi untuk mengambil alih EA (dilaporkan oleh USA Today) dan pengumuman mengenainya akan dilakukan dalam masa terdekat.

Selepas pengambil-alihan syarikat-syarikat besar seperti Activision Blizzard oleh Microsoft, Bungie oleh Sony, EA dikatakan sebagai syarikat seterusnya yang berpotensi untuk diambil-alih dan jika laporan ini tepat, ia mungkin akan menjadi satu lagi pembelian gergasi di dalam industri permainan video.

Buat masa ini, masih tiada pengesahan oleh pihak Amazon mahupun EA, namun oleh kerana Amazon dan EA merupakan syarikat yang dipasarkan di bursa saham, perkara sebegini perlu diumumkan dengan segera agar tidak menjadi masalah.

Amazon sejak beberapa tahun lepas melalui Amazon Games Studios telah melibatkan diri di dalam industri permainan video, akan tetapi mereka masih tidak mempunyai projek yang benar-benar berjaya. Crucible dihentikan pembangunan walaupun masih di peringkat beta, manakala New World menerima sambutan yang baik pada awal pengeluaran akan tetapi kurang mendapat sambutan lepas itu.

Manakala EA pula dikatakan sedang mencari pembeli sejak bulan Mei lepas, termasuk juga berbincang berkenaan hal ini bersama pihak NBC Universal untuk bergabung syarikat – selain turut berbincang untuk menjual kepada Disney, Apple dan Amazon.

Oleh itu, pengambil-alihan ini mungkin satu perkara yang baik untuk kedua-dua syarikat. Selepas laporan ini dikeluarkan, saham Amazon dan EA sedang memperlihatkan peningkatan.

Sohor Kini