DualSense Edge Diumumkan – Alat Kawalan Boleh Ubah Untuk PS5

PlayStation hari ini ketika acara pembukaan Gamescom telah mengumumkan versi baharu untuk alat kawalan PlayStation 5 iaitu DualSense Edge. Anda boleh tonton video pengumuman di bawah.

DualSense Edge merupakan alat kawalan yang memfokuskan kepada keboleh-ubahsuaian di mana pemain boleh mengubah kadar kawalan untuk stick termasuk juga menukar zon mati untuknya. Selain itu, setiap picu di DualSense Edge boleh ditukar jarak pergerakannya jika pemain ingin input yang lebih pantas ataupun perlahan bergantung kepada jenis permainan.

Dengan tetapan berbeza akan digunakan mengikut permainan yang berbeza, pengguna boleh menetapkan profil berasingan untuk memudahkan ia ditukar.

DualSense Edge juga dilengkapi dengan batang yang boleh ditukar, di mana ia menyertakan tiga pilihan iaitu biasa, tinggi dan rendah. Ini juga secara langsungnya akan memudahkan pengguna untuk menukar batang baharu apabila ia rosak ataupun kurang selesa untuk digunakan.

Di bahagian belakang juga terdapat dua butang yang juga boleh diubah dan ia boleh ditetapkan untuk mengawal apa sahaja kawalan mengikut permainan.

Bersama dengan DualSense Edge di dalam kotak akan menyertakan tiga pilihan batang, dua pilihan butang belakang dan ia juga akan menyertakan kabel USB yang akan diketatkan ke DualSense Edge untuk mengelak ia mudah tertanggal. Ia juga akan hadir dengan beg untuk menyimpan dan memudahkan ia dibawa ke mana sahaja.

Maklumat lanjut mengenai DualSense Edge akan diumumkan dalam masa terdekat termasuk juga tarikh pelancaran dan juga harga.

Sohor Kini