Fast & Furious bermula sebagai filem lumba kereta haram dan misi rompakan. Francais filem ini berkembang dengan penceritaan konspirasi jenayah, watak utama menjadi adiwira untuk negara dan turut ada yang pergi ke angkasa. Satu peralihan yang aneh, tetapi masih digemari ramai. Sedar dengan populariti filem ini, Netflix kini hadir dengan satu filem Korea Selatan dengan judul Seoul Vibe.
Walaupun bukan satu adaptasi rasmi, tetapi mempunyai konsep penceritaan yang lebih kurang sama. Bezanya, filem ini berlaku pada tahun 1988 sebelum acara Olimpik. Sebuah filem yang agak menarik yang menyertakan kereta-kereta klasik, aksi drift yang ok, serta watak-watak yang nampak menarik. Persoalannya, adakah ini alternatif kepada Fast & Furious? Patut ke anda tonton? Best ke? Ini pendapat aku mengenai filem ini.
Penceritaan
Seoul Vibe berlaku pada tahun 1988, di saat dunia sedang menantikan acara sukan Olimpik bermula. Mekanik dan pakar lumba kereta/drift dari Sanggye-dong yang menggelar diri mereka sebagai Supreme Team dipilih oleh pendakwa raya untuk membantu menumpaskan aktiviti pengubahan wang haram oleh seorang VIP. Jika Supreme Team ini setuju, mereka akan bertugas mengedarkan wang-wang haram dan pelbagai barangan untuk VIP ini dan pendakwa raya tersebut akan memadamkan rekod jenayah mereka.
Filem ini menyertakan Yoo Ah-in sebagai ketua kumpulan yang memainkan watak pakar drift, Dong-wook. Bersama-sama dengan beliau adalah John, Bok-nam, Yoon Hee, Joon-gi lakonan Ko Kyung-pyo, Lee Kyoo-hyung, Park Ju-hyun dan Ong Seong-wu. Pendakwa raya yang memilih mereka adalah Ahn lakonan Oh Jung-se yang bekerja di bawah ketua pendakwa raya Jung Woong-in. Penjahat dalam filem ini iaitu VIP dan orang kanan beliau adalah President Kang dan Director Lee lakonan Moon So-ri dan Kim Sung-kyun.
Best atau sekadar salinan filem lain?
Filem ini bermula dengan Park Joon-gi dan Park Dong-wook yang bekerja sebagai pengedar senjata di Arab Saudi yang kembali ke Korea Selatan. Ia memperlihatkan hubungan erat mereka berdua dan betapa hebatnya skil memandu Dong-wook. Ia kemudian terus memperkenalkan Moon Bok-nam, Park Yoon-hee dan John-woo yang boleh dikatakan mereka semua adalah sekeluarga. Menggunakan konsep hidup mati bersama, sering memberi nasihat dan ada ketua kumpulan yang membimbing mereka semua.
Hidup mereka mula berubah apabila Ahn datang untuk mendakwa mereka semua yang mempunyai rekod jenayah. Bermula pada itu, setiap seorang ahli kumpulan Supreme Team ini semakin erat dan rancak bekerjasama untuk memastikan masa hadapan masing-masing cerah.
Filem ini mempunyai penceritaan yang sangat ringkas, tetapi penyampaian agak perlahan. Membuatkan aku mudah rasa bosan untuk teruskan tonton, tetapi kerana ingin saksikan satu iterasi Fast & Furious Korea Selatan aku cuba untuk tonton sampai habis. Dengan permulaan yang tidak begitu konsisten, filem ini semakin lama menjadi semakin seronok dan mendebarkan.
Ia bukan sekadar satu salinan Fast & Furious, kerana mempunyai keunikan yang tersendiri. Paling utama adalah, filem ini berlaku pada tahun 1988 dengan kurang teknologi serta banyak kereta klasik hebat. Untuk sebuah filem yang dalam treler memperlihatkan banyak aksi lumba dan drift, elemen ini tidak mencukupi dan jika ada pun ia tidak cukup mendebarkan. Ada bahagian tidak nampak begitu realistik dan ada pula tidak memperlihatkan aksi secara keseluruhan dengan banyak potongan ke sudut-sudut yang tidak menarik untuk filem yang memfokuskan kenderaan.
Untuk elemen debaran seperti apabila mereka berhadapan dengan penjenayah, adegan aksi dan sebagainya – Seoul Vibe tidak memberikan aku vibe yang yang aku mahukan. Banyak yang mudah diramal dan klise dengan penceritaan yang tidak konsisten serta tidak mencukupi. Semasa tonton, aku boleh rasa ada sesuatu yang kurang walaupun filem ini mempunyai durasi lebih 2 jam.
Watak antagonis juga tidak cukup menggerunkan, mereka semua nampak lebih kepada acah-acah. Pada aku mereka sepatutnya lebih serius untuk memberi rasa gerun dan gementar untuk watak-watak utama yang diugut atau dalam bahaya.
Seperti Fast & Furious, filem ini turut mempunyai elemen komedi dan kumpulan pesaing. Dalam filem ini kumpulan pesaing yang ada dalam filem ini juga muncul lebih sebagai cameo sedangkan mereka mempunyai potensi yang banyak. Mereka jugalah antara watak lucu yang menceriakan keadaan apabila Supreme Team dalam saat rumit.
Filem ini juga tidak mempunyai satu penceritaan yang jelas, seperti untuk jadi komedi atau aksi atau konspirasi jenayah atau juga satu filem drift. Tidak ada masalah pada aku untuk bercampur jika cara penyampaian konsisten dan menggunakan setiap watak dengan baik. Perkembangan watak juga tidak begitu menarik, kerana ia tidak memberi aku satu emosi untuk memberi sokongan atau rasa kesian jika sesuatu berlaku.
Kualiti hebat, tapi tidak puas
Filem ini nampak cantik, warna yang menarik, dan kelihatan cukup berkualiti. Aku tidak begitu kenal dunia Korea Selatan ketika 1988, tetapi filem ini nampak cukup klasik dengan pakaian, kenderaan, tema keseluruhan dan juga muzik yang digunakan. Aku suka muzik dalam filem ini, ia seronok dan memang kayan. Masalah aku adalah pergerakan kamera ketika adegan kereta berlumba dan aksi drift. Ia bercampur CGI dan praktikal, CGI nampak boleh tahan – praktikal nampak hebat tetapi kamera seperti aku katakan tadi tidak memberikan pengalaman menonton yang menyeronokkan. Ini membuatkan aku tidak mempunyai pengalaman menonton yang memuaskan sedang filem ini ada potensi untuk menjadi lebih menarik.
Kesimpulan
Filem ini pada aku sesuai untuk mereka yang minat dengan francais Fast & Furious. Filem Fast & Furious sudah menjadi semakin mengarut berbanding sebelumnya, Seoul Vibe walaupun bukan satu filem yang terbaik – tetapi apa yang ingin cuba disampaikan itu boleh nampak. Ia tidak mengarut, masih ke arah tema sebenar. Jika filem ini dijadikan sebagai francais, aku tidak akan terkejut sekuel akan melibatkan rompakan dengan lebih banyak watak dan akan ada ahli “keluarga” yang berpaling tadah.
Bagi yang berminat, Seoul Vibe akan disiarkan di Netflix pada hari Jumaat ini – 26 Ogos. Jika anda sudah bosan dengan Fast & Furious, ini mungkin alternatif terbaik yang anda boleh tonton di Netflix.
Ulasan ini berdasarkan akses awal yang diberikan oleh Netflix kepada Aksiz.