Deadline telah melaporkan yang PlayStation Productions sedang merancang untuk hadir dengan filem aksi nyata berdasarkan permainan oleh Bend Studios iaitu Days Gone. Sam Heughan dilaporkan akan membawa watak utama Deacon St. John dan Sheldon Turner akan menjadi penulis.
Perkara ini juga telah disahkan oleh Sam Heughan sendiri melalui satu ciapan di Twitter peribadi beliau. Sam Heughan sebelum ini terlibat dengan siri Outlander dan juga filem Bloodshot.
Namun, pilihan pelakon tersebut tidak diterima dengan baik oleh pengarah permainan untuk Days Gone iaitu Jeff Ross mengatakan yang beliau kecewa kerana Sam Witwer, pelakon suara untuk Deacon di dalam permainan tidak dipilih sebagai pelakon untuk filem tersebut.
Cory Barlog iaitu pengarah untuk permainan God of War juga mengeluarkan kenyataan yang sama dengan mengatakan “Sam Witwer adalah Deacon”.
Manakala Sam Witwer mengeluarkan ciapan jenaka apabila mengatakan yang dia terlibat dengan adaptasi permainan video untuk Outlander, iaitu siri TV lakonan Sam Heughan.