Skip to main content

Saints Row adalah satu nama yang tidak asing lagi bagi peminat permainan dunia terbuka ataupun siri ini secara khususnya. Selepas 7 tahun tanpa permainan baharu, siri ini kembali dan ia adalah permulaan semula. Dengan siri Saints Row telah berkembang menjadi sesuatu yang luar daripada dunia ini, secara literalnya, Deep Silver dan Volition ingin membawa kembali siri ini ke bumi dan saya boleh katakan ia adalah permulaan yang baik walaupun terasa masih di takuk yang lama.

Di dalam permainan ini, ia tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan kumpulan Saints Row sebelum-sebelum ini dan menggunakan watak baharu iaitu watak yang akan dihasilkan oleh pemain sendiri bersama dengan tiga rakan serumahnya iaitu Kev, Eli dan juga Neenah. Mereka berada di bandar Santo Ileso, bandar rekaan yang boleh dikatakan mengambil inspirasi daripada Las Vegas. Bandar ini dikawal oleh tiga kumpulan iaitu The Idols, Panteros dan Marshall Defense Industries yang merupakan kumpulan tentera upahan.

Kev dan Eli merupakan sebahagian daripada kumpulan The Idols, Neenah pula adalah sebahagian daripada Panteros manakala watak pemain merupakan rekrut baharu di dalam Marshall Defense Industries. Namun, selepas satu kejadian yang mengakibatkan mereka semua tidak lagi mempunyai perhubungan dengan mana-mana geng tersebut, mereka mengambil keputusan untuk membentuk kumpulan tersendiri dan menjadikan satu gereja usang sebagai ‘ibu pejabat’. Gereja tersebut merupakan peninggalan Saint dan mereka mengambil keputusan untuk menggunakan semula nama dan juga logo bagi The Saints.

Sebagai satu permainan dunia terbuka, Saints Row mempunyai penceritaan yang memuaskan, ia juga masih mengekalkan kebanyakan cara penulisan untuk permainan-permainan sebelum ini walaupun masih orang kata “di bumi” dan tidak terlalu mengarut. Ia mempunyai banyak adegan jenaka yang mencuit hati, membentuk perwatakan yang menarik untuk watak pemain dan juga tiga rakannya. Perkara yang mengecewakan adalah kesemua watak jahat di dalam permainan ini tidak dilakukan sebaik watak utama, kebanyakan daripada mereka terasa sangat biasa, cliche dan tidak membawa sesuatu yang baharu, namun masih mencukupi untuk membuatkan saya mengikut penceritaan dengan penuh minat.

Sebagai satu kumpulan baharu, mereka ingin menguasai bandar dengan membuka pelbagai perniagaan di keseluruhan bandar Santo Ileso, bagi mengisi dunia terbuka, yang bagi saya tidaklah terlalu luas, kebanyakan aktiviti adalah memfokuskan kepada perniagaan-perniagaan ini. Pemain boleh memilih daripada beberapa pilihan perniagaan yang ingin dibuka di plot-plot kosong yang terdapat di keseluruhan bandar. Antara perniagaan yang boleh dilakukan adalah membuka kedai cuci baju, untuk menjadi tempat membuang bukti, ataupun membuka klinik untuk menjadi tempat memalsukan insurans dan pelbagai lagi.

Membuka perniagaan ini akan memberi pulangan wang secara pasif di mana pemain boleh melihatnya melalui aplikasi Cash App di dalam permainan ini. Pemain boleh menambah jumlah pulangan setiap jam dengan melengkapkan Criminal Venture untuk setiap tempat perniagaan tersebut, melengkapkan Criminal Venture memerlukan dua perkara iaitu menyelesaikan Threats di kawasan perniagaan tersebut, kebiasaannya memerlukan pemain untuk bertempur dengan geng lawan dan juga menghancurkan van risikan polis. Perkara seterusnya adalah melakukan kesemua misi untuk tempat perniagaan tersebut yang biasanya memerlukan pemain untuk melakukan aktiviti yang berkait dengan perniagaan.

Contohnya adalah Shady Oaks iaitu perniagaan klinik yang dibuka, pemain perlu melakukan beberapa penipuan insurans dengan sengaja mendapat kecederaan di lalu lintas, ini dilakukan dengan permainan mini di mana pemain akan dilanggar sehingga mencapai jumlah insurans yang dikehendaki. Lebih lama pemain dilanggar tanpa bangun, lagi banyak gandaan insurans yang diberikan. Perniagaan akan mempunyai permainan mini yang lain ataupun tugasan yang berbeza.

Selain itu, pemain juga boleh lakukan Side Hustle yang juga mempunyai aktiviti sampingan tersendiri ataupun menjadi pembunuh upahan melalui aplikasi Wanted. Kesemua perkara ini dilakukan untuk mendapatkan wang dan juga XP. Wang di dalam permainan ini boleh dikatakan sebagai bahagian penting dengan ia perlu digunakan untuk membeli senjata berbeza, membuka tempat perniagaan baharu yang akan terus menjadi lebih mahal dan juga membeli barangan kosmetik.

Walaupun ia adalah penting, sepanjang saya bermain sehingga habis saya tidak pernah merasakan tidak mempunyai wang mencukupi, melainkan jika ingin meningkatkan tahap senjata ataupun kenderaan, yang bagi saya tidak diperlukan untuk menghabiskan permainan ini. Ini juga menyebabkan melakukan aktiviti-aktiviti sampingan ini sedikit membosankan, terutama kesemuanya boleh dikatakan memfokuskan kepada dua perkara iaitu menembak dan memandu.

Ia adalah perkara yang sudah diulangi oleh kebanyakan permainan dunia terbuka yang berasaskan bandar, tidak kira dari Grand Theft Auto, Watch Dogs ataupun permainan Saints Row yang sebelum ini. Oleh itu, saya boleh katakan pengisian dunia terbuka di dalam permainan ini adalah mengecewakan. Saya lebih berharap sebagai permainan baharu, Saints Row membawa perkara yang unik ke dalam permainan, sebaliknya ia adalah pelbagai bentuk permainan yang sudah tiba sebelum ini dikumpul semula di dalam permainan ini. Ia seronok untuk dilakukan pada awalnya, tetapi terasa berulang kemudian yang akhirnya akan membuatkan saya kurang berminat untuk melakukannya sebaliknya ingin sekadar terus melakukan misi utama dan menghabiskan permainan ini, yang nasib baiknya tidak memerlukan untuk pemain melakukan kesemua Criminal Ventures.

Bercakap mengenai misi utama, bagi saya ia dilakukan dengan baik mempunyai variasi yang mencukupi untuk menjadikan ia seronok dilakukan walaupun pada asasnya ia kembali kepada dua fokus utama iaitu menembak dan memandu. Terdapat misi yang memfokuskan kepada penceritaan utama dan ada misi yang berkait dengan Kev, Eli dan juga Neenah dengan melakukannya ia akan menambah keupayaan mereka. Misi-misi bersama mereka juga adalah antara yang terbaik di dalam permainan ini dengan pelbagai variasi dan penceritaan yang tersendiri.

Melakukan misi utama ini akan mengambil lebih kurang 15 jam ataupun kurang, dan satu-satunya bahagian yang akan memerlukan pemain untuk melakukan perkara seperti Criminal Ventures dan membuka perniagaan adalah sebelum memasuki misi utama yang terakhir, dan ia diperlukan dengan jumlah yang sedikit sahaja.

Oleh itu, jika anda tidak merancang untuk 100% permainan ini, jangan terlalu risau dengan perkara sampingan yang boleh menjadi bosan dan fokus sahaja kepada misi utama walaupun saya merasakan ia sedikit merugikan, namun ia adalah kelemahan pada permainan ini yang kurang memberi motivasi dan pengisian yang lebih menarik untuk dilakukan dan terasa ia di takuk yang lama untuk permainan dunia terbuka.

Pertempuran di dalam permainan ini adalah memfokuskan kepada menembak menggunakan pelbagai senjata, dan sekali lagi ia adalah seperti mana-mana permainan dunia terbuka menembak di luar sana. Antara perkara yang ‘unik’ adalah Skills dan Finisher, skill boleh didapatkan dengan meningkatkan tahap dan ia kebiasaan gerakan yang boleh diletakkan di empat butang. Skill adalah seperti mendapat perisai ataupun melakukan serangan menggunakan Revolver. Manakala Finisher boleh dilakukan apabila memenuhi momentum, ia adalah gerakan yang membunuh secara terus dan animasi adalah mempunyai beberapa yang akan dipilih secara rawak.

Pemanduan juga adalah baik sahaja, setiap kereta tidak kira jenis terasa sama sahaja cara pemanduannya, ia mencukupi untuk pemain bergerak dari A ke B, pilihan kereta juga banyak tetapi kesemuanya sekadar rekaan sahaja kerana setiap pemanduan terasa sama sahaja. Permainan ini juga menjadikan kosmetik sebagai fokus utama di mana pemain boleh menghias diri sendiri dengan pelbagai pakaian yang ditawarkan dan juga boleh mengubah-suai setiap jenis kereta yang ada. Ia benar-benar membawa apa yang menarik untuk Saints Row dan saya boleh dikatakan di lakukan dengan lebih baik.

Bagi grafik pula, di PlayStation 5 ia mempunyai 5 pilihan grafik iaitu 1080p Ultra Quality, 1080p Max Framerate, 1440p High Quality, 1440p High Framerate dan 4K. Ia bergantung kepada monitor ataupun TV yang anda guna untuk memilih resolusi akan tetapi saya merasakan pilihan terbaik adalah 1080p Max Framerate yang memberikan kelancaran terbaik. Saya mencuba 4K dan ia bukan pengalaman yang baik, ada masa kadar kelancaran menjadi terlalu rendah. Manakala 1080p Ultra Quality pula tidak memberikan penambah-baikkan grafik yang ketara berbanding versi Max Framerate tetapi terdapat beberapa masalah kelancaran. Anda juga boleh menggunakan 1080p Ultra Quality dan menutup Ray-Tracing untuk mengurangkan masalah tersebut tetapi tidak ingin menggunakan Max Framerate.

Secara amnya, grafik di dalam permainan ini adalah baik sahaja, rekaan bandar adalah menarik tetapi tidak banyak perbezaan berbanding permainan sebelum ini. Rekaan adegan adalah baik tetapi tidak sangat menawan jika ingin dibandingkan dengan permainan dunia terbuka seperti Horizon Forbidden West ataupun Marvel’s Spider-man.

Saints Row juga dipenuhi dengan pelbagai masalah teknikal, masalah grafik seperti kereta tiba-tiba terbang, ataupun pemain tersangkut di bahagian tertentu bangunan, ada terjadi, akan tetapi ia bukan masalah utama. Sebaliknya yang sering terjadi adalah saya tersangkut di bahagian skrin pemuatan, ataupun misi tidak dapat diselesaikan kerana saya tidak dapat membuka sesuatu tempat, ataupun perkara yang sepatutnya berlaku tidak berlaku. Saya tidak pernah terkeluar secara tiba-tiba akan tetapi banyak kali perlu keluar secara sendiri kerana tersangkut. Setakat ini saya tidak ada menerima sebarang kemaskini oleh itu, masalah-masalah ini mungkin tidak akan diselesaikan semasa pelancarannya kelak.

Akhir kata, Saints Row adalah satu permulaan semula yang baik untuk siri ini akan tetapi ia masih berada di takuk lama dan gagal untuk membawa sesuatu baharu kepada genre permainan dunia terbuka. Banyak elemen di dalam permainan ini adalah apa yang sudah ditawarkan oleh mana-mana permainan dunia terbuka yang lain termasuk juga Saints Row yang sebelum ini. Ia juga mempunyai pelbagai masalah teknikal yang akan memerlukan saya membuka dan menutup semula permainan, saya berharap ia adalah masalah yang akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Walaupun begitu, Saints Row masih lagi permainan yang seronok untuk dimainkan, dengan penceritaan yang baik serta barangan kosmetik dan pengubah-suaian kenderaan yang boleh menjadikan ia satu permainan anda sendiri. Jika misi dan aktiviti sampingan berulang tidak menjadi masalah, ia adalah permainan yang anda akan mempunyai masa yang baik bermain.

Penafian: Kod permainan Saints Row disediakan oleh Plaion (sebelum ini dikenali sebagai Koch Media) untuk tujuan ulasan ini. Saints Row akan dilancarkan pada 23 Ogos 2022 untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC.

Saints Row
Saints Row adalah permulaan semula yang baik untuk siri ini, akan tetapi masih mengekalkan banyak elemen lama permainan dunia terbuka. Jika ia bukan satu masalah, ia adalah permainan yang masih lagi seronok untuk dimainkan.
Positif
Penulisan Penuh Jenaka
Misi-Misi Yang Pelbagai Dan Menarik
Negatif
Aktiviti Sampingan Berulang
Pelbagai Masalah Teknikal
7

Leave a Reply

Final Score