Ulasan Rollerdrome – Shooter Yang Semua Patut Cuba

Rollerdrome adalah permainan terbaru oleh pembangun Roll7 yang lebih dikenali untuk permainan arked papan selaju mereka iaitu OlliOlli dengan permainan terbaru OlliOlli World baru dikeluarkan pada awal tahun ini. Rollerdrome masih mengekalkan tema dari OlliOlli, namun berbanding menggunakan papan selaju, pemain akan menggunakan kasut lereng, tambahan daripada itu ia juga mempunyai senjata menjadikan ia adalah satu permainan shooter.

Namun, ia masih mengekalkan DNA untuk permainan oleh Roll7, walaupun anda perlu menembak atau membunuh kesemua lawan untuk ke peringkat seterusnya, akan tetapi melakukan dengan bergaya masih menjadi fokus utama. Anda boleh sekadar menembak dan menang, akan tetapi permainan ini memerlukan pemain untuk melakukan pelbagai gaya sambil melakukannya.

Pemain akan bermain sebagai Kara Hassan iaitu atlit baharu di dalam Rollerdrome iaitu satu kejohanan yang memerlukan peserta untuk bertempur dengan “house agent” di pelbagai arena menggunakan kasut lereng. House agent ini akan hadir dengan pelbagai bentuk sama ada tentera biasa dengan senjata seperti kayu, sniper, ataupun dengan perisai terdapat juga robot yang boleh menghilangkan diri.

Kara Hassan akan mendapat 4 senjata untuk digunakan, akan dibuka selepa melalui sejumlah peringkat. Senjata yang disediakan adalah pistol, shotgun, rocket launcher dan laser. Setiap senjata ini akan mempunyai kekurangan serta kelebihan tersendiri, bergantung kepada penjahat yang sedang ditembak.

Contohnya, terdapat penjahat yang apabila ditembak ia akan mengeluarkan perisai, oleh itu walaupun shotgun ataupun rocket launcher akan memberikan kesan yang lebih kuat, akan tetapi ia akan memberi masa untuk penjahat tersebut mengeluarkan perisai, manakala pistol walaupun memberi serangan yang sedikit tetapi mempunyai peluru yang lebih banyak serta tembakan yang lebih cepat membolehkan pemain untuk membunuh penjahat tersebut sebelum ia dapat mengeluarkan perisai.

Itu adalah antara strategi yang pemain akan belajar dari semasa ke semasa, dan tidak kesemua perkara ini akan diperlihatkan semasa tutorial, sebaliknya pemain perlu cuba cara berbeza untuk mendapatkan strategi yang terbaik.

Kara Hassan akan sentiasa bergerak, pemain hanya perlu ke-depan pada permulaan dan akan bergerak secara automatik dan pemain boleh mengawal ke kiri dan ke kanan, sambil melompat dan juga mengelak. Kawalan adalah ringkas akan tetapi sedikit janggal pada permulaan kerana pergerakan kamera dan pemain menggunakan dua analog berlainan.

Mengelak juga adalah ringkas kerana ia menggunakan satu butang sahaja akan tetapi masih mencabar kerana penjahat akan melakukan serangan yang bertubi-tubi dan akan hadir dari pelbagai sudut. Pemain akan diberikan klu visual seperti anak panah dan juga garisan untuk membantu, ia juga akan bertukar warna apabila semakin menghampiri.

Mengambil dari OlliOlli, pemain juga boleh melakukan pelbagai gaya menggunakan kasut lereng, seperti melakukan pusingan ataupun mengeser, selain memberi markah gaya, melakukan gaya-gaya ini juga akan menjadi cara untuk pemain mengisi semula peluru. Bercakap mengenai peluru, ia berkongsi inventori yang sama. Contohnya jika pemain menembak rocket launcher sehingga habis, senjata-senjata lain juga tidak akan mempunyai peluru.

Saya lebih menyukai jika setiap senjata mempunyai inventori tersendiri, agar membolehkan saya untuk dengan mudahnya bertukar-tukar senjata apabila kehabisan peluru akan tetapi ia mungkin dilakukan untuk menggalakkan lagi pemain melakukan gaya-gaya ini.

Lebih memudahkan permainan, dan juga menjadikan ia lebih nampak cool, fungsi Reflex Time disertakan yang akan memperlahankan masa, ia sangat berguna untuk melakukan serangan berterusan terutama seperti saya katakan sebelum ini, pergerakan adalah secara automatik.

Di dalam kempen utama permainan, Kara Hassan perlu melalui empat peringkat iaitu Peringkat Pembukaan yang mempunyai 4 Arena, Peringkat Suku dan Separuh yang mempunyai tiga Arena dan Peringkat Akhir mempunyai 1 arena sahaja. Sesetengah arena juga mempunyai satu tambahan arena untuk perlawanan bos.

Ini menjadikan 11 arena kesemuanya untuk kempen utama, setiap arena ini akan mengambil purata masa 5-6 minit untuk dihabiskan, akan tetapi setiap arena ini akan mempunyai Challenges tersendiri, yang kebiasaan memerlukan pemain untuk melakukan gerakan tertentu, ataupun mengumpul token dan juga mendapat sejumlah markah akhir. Melakukan kesemua challenges boleh mengambil sehingga 20 minit untuk dilakukan oleh itu saya boleh katakan ia akan mengambil lebih kurang 4 jam untuk dihabiskan

Adakah perlu challenges ini diperlukan? Ya dan tidak. Secara lalai, walaupun sudah memenangi kesemua arena di satu peringkat, pemain masih lagi perlu melakukan challenges yang mencukupi untuk ke peringkat seterusnya. Ia juga tidak kerana keperluan ini boleh ditutup di bahagian tetapan, namun saya sangat tidak mengesyorkannya. Saya tidak mengesyorkannya kerana ini akan mengurangkan motivasi pemain untuk mencuba arena yang sama berkali-kali untuk mencuba cara dengan lebih baik ataupun mendapat skor yang lebih tinggi.

Tambahan daripada itu, walaupun permainan ini mempunyai penceritaan yang menarik tetapi ia sekadar perkara sampingan sahaja, oleh itu, saya tidak merasakan perlu terburu-buru untuk menghabiskan permainan ini sekadar ingin mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya bagi penceritaan. Permainan ini juga akan menjadi sangat pendek jika tidak memfokuskan kepada challenges dan juga skor.

Tetapi jika pemain ingin menghabiskan dengan cepat ataupun ingin melakukan satu arena dengan lebih mudah, Rollerdrome mempunyai sistem Assists yang sangat baik, pemain boleh menjadi Invincible, ataupun mengurangkan kesan tembakan, boleh mendapatkan peluru tanpa had, dan juga menggunakan reflex time secara berterusan. Seperti saya katakan sebelum ini, pemain juga boleh menutup keperluan challenges untuk ke peringkat seterusnya.

Fungsi ini akan menjadikan permainan ini lebih mudah dan sedikit bosan, akan tetapi ia sudah semestinya akan membantu pemain untuk membiasakan diri dengan kawalan permainan ini dengan lebih mudah. Bagi saya, ia adalah fungsi yang sangat baik untuk disertakan dan harus diikuti oleh lebih banyak permainan.

Selepas menyelesaikan kempen utama, pemain akan diberikan pula satu lagi kempen baharu iaitu “Out for Blood”, mengikut penceritaan ia adalah tahun kedua untuk Kara Hassan di dalam Rollerdrome, tetapi dengan cabaran yang lebih sukar dengan penjahat akan melakukan serangan yang lebih kuat. Ia akan memberikan tambahan masa lagi untuk permainan ini jika sudah menghabiskan kempen utama.

Selain sesi tembak menembak, dan boleh melakukan pelbagai gaya dengan kasut lereng, grafik permainan ini juga membantu memberikan elemen yang menarik kepada permainan ini. Terutama dengan penggunaan warna, kerana semasa pertempuran permainan ini boleh menjadi sangat sibuk dan penggunaan warna serba sedikit membantu untuk memastikan pemain masih lagi mengetahui apa yang berlaku.

Dari segi kelancaran dan prestasi pula, saya juga tidak menjumpai sebarang masalah sepanjang beberapa jam saya bermain, dan ia dapat dimainkan dengan baik. Saya bermain di PlayStation 5 dan merasakan ia juga boleh dimainkan dengan baik di PlayStation 4 dan juga PC.’

Akhir kata, Rollerdrome adalah permainan aksi yang pada permukaannya tampak ringkas akan tetapi apabila pemain mula bermain, pelbagai lapisan lagi akan mula diperlihatkan menjadikan ia satu permainan menembak yang sangat menyeronokkan. Di tambah dengan penggunaan gaya melalui kasut lereng bukan sahaja menjadikan permainan ini lebih bergaya akan tetapi ia juga satu mekanik yang dilakukan dengan baik.

Secara keseluruhan ia adalah permainan yang boleh dihabiskan di dalam masa yang singkat sahaja, akan tetapi jika ingin menyelesaikan kesemua cabaran yang disertakan, serta jika ingin menjadi pemain terbaik melalui sistem leaderboard yang disediakan, permainan ini boleh dimainkan secara berterusan untuk satu masa yang lama.

Penafian: Kod permainan Rollerdrome disediakan oleh Private Division untuk tujuan ulasan ini. Rollerdrome sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5 dan PC.

Rollerdrome
Rollerdrome adalah permainan aksi yang pada permukaannya tampak ringkas akan tetapi apabila pemain mula bermain, pelbagai lapisan lagi akan mula diperlihatkan menjadikan ia satu permainan menembak yang sangat menyeronokkan.
Positif
Bentuk Permainan Yang Menyeronokkan
Grafik Dan Prestasi Yang Baik
Tetapan Assists Yang Bagus
Negatif
Mungkin Terlalu Ringkas
Ada Masa Ia Mempunyai Kesukaran Yang Menjengkelkan
8

Sohor Kini