Industri perfileman Indonesia, kini sedang memfokuskan kepada projek-projek adiwira. Dengan lambakan filem romantik, drama, seram dan politik di sana, mereka ingin cuba beri fokus kepada filem-filem adiwira untuk melihat sehingga mana mereka boleh capai. Selepas semesta Bumilangit diperkenalkan oleh Joko Anwar melalui filem Gundala, kini Satria Dewa Semesta pula diperkenalkan dengan filem pertama oleh Satria Dewa Studio iaitu Satria Dewa: Gatotkaca.
Filem ini diarahkan oleh Hanung Bramantyo dan diterbit oleh Celerina Judisari. Dunia Satria Dewa ini adalah berdasarkan cereka legenda mengenai dewa-dewa yang muncul dalam wayang kulit di Jawa pada suatu ketika dahulu. Dengan filem pertama Gatotkaca, mereka berhasrat untuk kembangkan lagi Satria Dewa Semesta dengan watak seperti Arjuna, Yudhistira, Bharatayudha, Bima, Nakula Sadewa, Srikandi dan Kurusetra. Perancangan mereka adalah untuk mempunyai satu filem setiap tahun sehingga tahun 2027.
Melalui artikel ini, akan aku kongsi pengalaman menonton dan pendapat mengenai Gatotkaca. Adakah ia satu filem yang patut anda tonton dan ikuti atau lupakan sahaja. Selepas menonton beberapa hari lepas, aku agak terkejut dengan apa yang filem ini cuba sampaikan.
Filem ini memfokuskan kepada watak Yuda, iaitu anak kepada Pandega dan Arimbi. Beliau adalah keturunan Pandewa iaitu pahlawan yang menentang Kurawa. Selepas penjahat menyerang rakan baik beliau Erlangga dan turut membunuh Arimbi, Yuda menjadi rapat dengan Agni dan bertemu dengan Dananjaya, Gege serta Ibu Mripat untuk merungkai rahsia di sebalik kematian rakan beliau. Kematian ini berkait dengan banyak kes pembunuhan di Indonesia. Lama kelamaan, Yuda menyedari beliau bukan sahaja keturunan Pandawa yang biasa sebaliknya adalah versi yang paling hebat dengan mewarisi medal Brajamusti yang memberi beliau kuasa luar biasa dan mengubah menjadi pahlawan legenda Gatotikaca.
Yuda dilakonkan oleh Rizky Nazar, Erlangga adalah Jerome Kurnia, Arimbi dilakonkan oleh Sigi Wimala, Agni pula oleh Yasmin Napper, sementara Dananjaya dan Gege dilakonkan oleh Omar Daniel lakonan Ali Fikry. Ibu Mripat dimainkan oleh Yati Surachman, Cecep Arif Rahman sebagai Pandega, Yayan Ruhian sebagai Beceng dan Edward Akbar sebagai Arya.
Satria Dewa: Gatotkaca ini cuba menggunakan formula oleh Marvel Cinematic Studios. Ia nampak menarik, dan mempunyai konsep penceritaan yang ringkas. Perjalanan cerita yang mudah faham disampaikan secara terus, memberikan pengalaman menonton yang menyeronokkan. Seperti MCU, dalam keadaan yang sedang serius pasti akan ada saat lucu yang menjadikan suasana lebih tenang – begitu juga dengan filem ini. Filem ini lebih menceritakan mengenai Satria Dewa Semesta, seperti siapakah Pandawa, Kurawa, Gatotkaca, Aswatama dan sebagainya yang terdapat dalam kisah legenda Mahabharata.
Filem ini banyak menyertakan easter egg sebagai persediaan untuk masa hadapan dengan harapan jika filem ini berjaya, filem lain dalam dunia sama dapat diteruskan. Aku suka apa yang filem ini cuba sampaikan dan jujur aku katakan, aku terhibur tonton dan rasa seronok. Tetapi, filem ini ada sedikit masalah dari segi penulisan skrip yang aku rasakan seperti tidak teratur sehinggakan filem ini tidak jumpa identitinya sendiri.
Adakah ini filem Gatotkaca atau filem mengenai Satria Dewa Semesta. Filem ini tidak konsisten dengan komedi, aksi, drama dan fantasi. Ia kejap cuba menjadi DC, kejap cuba menjadi Marvel dan kejap cuba menjadi diri sendiri. Aku difahamkan ada perubahan skrip dilakukan kerana Covid-19, jadi mungkin kerana itu ia tidak begitu memuaskan. Filem ini tidak mempunyai Gatotkaca yang cukup dan lebih kepada membina dunia dan menceritakan kisah banyak watak yang aku yakin sebenarnya boleh dipecahkan menjadi siri TV sampingan atau filem lain.
Elemen komedi dalam filem ini ada banyak, tetapi seingat aku ketika menonton aku banyak tergelak kepada perkara yang dungu seperti apa yang watak lakukan atau penulisan skrip yang lucu. Apabila terlampau banyak elemen komedi, filem ini sukar untuk dipandang serius.
Prestasi lakonan walau bagaimanapun pada aku cukup memuaskan. Walaupun aku tidak berapa mengenali pelakon-pelakon dalam filem ini, aku tidak mempunyai banyak masalah. Aku yakin mereka berbakat, tetapi jika skrip yang tidak begitu baik, prestasi mereka juga akan kurang memuaskan. Untuk sebuah studio yang kali pertama menghasilkan filem seperti ini dan ada pula halangan Covid-19, aku boleh maafkan dan menerima seadanya kerana ia masih berjaya menghiburkan aku.
Kualiti CGI dalam filem ini juga amat baik dan memuaskan. Malah ia lebih baik bebanding filem Gundala pada tiga tahun lepas, walaupun studio yang sama menghasilkan CGI untuk filem ini. Tetapi mereka bijak, kerana banyak adegan CGI adalah di suasana gelap agar butiran tidak begitu jelas dan nampak realistik. Hanya ada satu adegan aku tidak yakin, iaitu adegan dalam treler di mana dua watak dalam kostum berterbangan.
Untuk koreografi aksi, filem ini mempunyai Yayan Ruhian dan Cecep Arif Rahman yang berlakon sebagai salah seorang Kurawa dan Pandawa iaitu Beceng dan Pandega. Aksi beliau agak hebat dan menarik, rakaman kamera juga baik, tetapi suntingan membuatkan aku tidak puas hati dengan setiap adegan aksi seperti klip video yang dipercepatkan.
Filem ini sudah diumumkan sejak tahun 2020 lagi dan mereka sudah lama bersedia untuk memperkenalkan Satria Dewa Semesta. Namun dengan Covid-19, penundaan berlaku, produk terganggu dan skrip perlu diubahsuai. Tetapi mereka dilihat amat serius dalam dunia filem adiwira ini, kerana sudah merancang banyak filem dengan turut menyertakan easter egg untuk siapa sedia penceritaan dalam projek-projek lain. Satria Dewa Semesta memandang Bumilangit Cinematic Universe sebagai pesaing sihat.
Filem ini memang ada potensi untuk berjaya kerana mempunyai penceritaan yang ringan, ramah dengan penonton dan mudah menarik perhatian orang ramai.
Untuk penceritaan, aku lebih suka cara Gundala disampaikan kerana lebih serius dan konsisten. Tetapi Gundala yang serius sukar untuk menarik perhatian orang ramai, berbanding Gatotkaca yang ringan dan lebih banyak elemen komedi.
Walaupun ada beberapa elemen klise, untuk satu filem Indonesia dengan genre dan tema adiwira selain Gundala – filem ini amat menarik untuk ditonton. Ia juga membuatkan aku rasa semangat untuk terus memberi sokongan kepada filem-filem adiwira Asia Tenggara yang masih tidak banyak. Kualiti CGI yang menarik, memberi harapan untuk dunia yang luas yang banyak potensi pelbagai penceritaan menarik – pada aku ini adalah filem yang anda patut cuba tonton.
Jika anda inginkan sesuatu yang rasa macam sama dengan MCU tetapi disampaikan dengan cara berbeza, ini adalah filem untuk anda. Jika anda rasa majoriti filem DC agak berat, ini juga adalah untuk anda. Melalui filem ini, ia memberikan aku satu persoalan iaitu Adakah Ini Satria Terhebat Seluruh Semesta Adiwira?
Ulasan ini adalah berdasarkan akses awal yang diberikan oleh pihak Horizon Film. Tayangan umum akan bermula 18 Ogos, esok.