Ulasan Beast – Filem Singa Yang Perlukan Lebih Singa

Beast adalah filem survival thriller yang diarahkan oleh Baltasar Kormakur yang terkenal dengan filem seperti 2 Guns dan juga Everest. Pelakon utama untuk filem ini adalah Idris Elba yang membawa watak Dr. Nate Samuels. Di dalam filem ini, dia melawat satu kampung di Afrika Selatan yang merupakan kampung asal isterinya yang baru sahaja meninggal dunia di dalam usaha untuk memperbaiki hubungan dia dengan dua anak remaja perempuan mereka iaitu Meredith Samuels lakonan Iyana Halley dan Norah Samuels lakonan Leah Sava Jeffries.

Di kampung tersebut mereka bersama dengan Martin Battles lakonan Sharito Copley yang menetap di sana dan bekerja dengan pasukan keselamatan. Dalam satu perjalanan yang sepatutnya “lawatan pelancongan” menjadi kelam kabut apabila mereka diserang oleh seekor singa yang mengganas. Sepanjang filem ini, ia adalah mengenai bagaimana mereka cuba menyelamatkan diri walaupun tidak mempunyai kemahiran.

Sebagai satu filem thriller, ia adalah filem yang baik akan tetapi sebagai filem survival ia mempunyai pelbagai kekurangan. Saya boleh bandingkan filem ini lebih kepada filem seperti Anaconda ataupun The Shallow lakonan Blake Lively berbanding filem The Revenant lakonan Leonardo DiCaprio. Ia mempunyai banyak bahagian yang memberi perasaan cemas dan takut, tetapi kebanyakan daripada bahagian tersebut dilakukan menggunakan “jalan pintas” bahkan saya merasakan ia kurang menggunakan subjek utama filem ini iaitu singa itu sendiri.

Di dalam filem ini, ia banyak menggunakan teknik yang sudah menjadi kebiasaan bagi filem thriller, seperti rakaman dekat, dengan watak memenuhi skrin, kamera berada di sudut yang janggal dengan ia bergerak lebih perlahan berbanding watak, kesemua ini untuk memberikan perasaan yang lemas kepada penonton. Teknik tersebut berjaya mencapai apa yang diinginkan, akan tetapi oleh kerana ia dilakukan dengan terlalu kerap, saya merasa kurang menarik dan apabila perkara yang menakutkan benar-benar berlaku kesannya sudah menjadi kurang.

Satu lagi teknik yang digunakan adalah watak-watak utama sering melakukan keputusan yang secara jelasnya salah, ia adalah perkara yang biasa di dalam genre sebegini, akan tetapi di dalam Beasts ia dilakukan dengan terlalu kerap dan ada masa saya menjadi kurang menarik dengan apa yang sedang berlaku.

Saya ada mengatakan yang filem ini kurang menggunakan singa, walaupun perkara utama yang menjadi kekacauan di dalam filem ini adalah singa tersebut, akan tetapi ia digunakan dengan kurang menarik. Ia hanya keluar dari semasa ke semasa sahaja, apabila keluar ia adalah adegan yang tidak panjang dan penonton akan diperlihatkan kesan daripada serangan tersebut berbanding memperlihatkan cara singa itu menyerang sehinggalah bahagian akhir sahaja.

Oleh kerana saya secara peribadi tidak terlalu menyukai filem-filem sebegini, terutama yang menggunakan teknik yang saya katakan di atas, ia membuatkan saya kurang seronok menonton filem ini tetapi bagi anda yang inginkan perasaan cemas, dan rasa takut, filem ini akan memberikan perasaan tersebut dan terdapat juga beberapa adegan yang akan benar-benar membuatkan saya terkejut.

Filem ini juga cuba untuk memberi perwatakan kepada watak-watak, terutama di antara Dr Nate dan anak-anaknya, bersama dengan Martin Battles akan tetapi penceritaan disampaikan dengan kurang berkesan dan ada masa ia berlaku dalam keadaan yang sangat janggal. Terdapat juga beberapa elemen penceritaan yang disampaikan bagaikan ia perkara yang penting tetapi tidak mempunyai sebarang kesinambungan selepas itu yang membuatkan saya tertanya-tanya.

Penulisan di dalam filem ini juga adalah ringkas sahaja, dan penyampaian pula adalah baik akan tetapi ia mempunyai masalah suntingan filem yang aneh. Ada masa satu adegan dilakukan yang mempunyai kesan yang sepatutnya dipanjangkan sedikit untuk memberi reaksi emosi kepada penonton, sebaliknya ia dipotong dan ditukar dengan adegan baharu yang mempunyai elemen emosi yang berbeza. Bagi saya ia sangat mengganggu pengalaman saya menonton dan seharusnya boleh dilakukan dengan lebih kemas untuk membantu penonton berhubungan dengan watak-watak yang ada.

Sebagai filem yang berlaku di Afrika Selatan, dan memfokuskan kepada kawasan safari, filem ini juga gagal untuk memperlihatkan keindahan kawasan tersebut, selain daripada beberapa adegan pendek. Ada satu adegan di mana mereka di atas kapal terbang, dan melihat keindahan diluar, berbanding penonton dapat melihat juga, ia sekadar memperlihatkan watak-watak yang bagi saya pemilihan yang pelik dan kurang memberi impak terutama sebagai permulaan. Manakala penggunaan CGI pula, terutama untuk singa-singa boleh dikatakan baik, akan tetapi akan ada beberapa bahagian yang ia sangat nampak merupakan satu CGI berbanding singa yang betul.

Akhir kata, Beast adalah satu filem survival thriller yang lebih memfokuskan kepada thriller berbanding elemen survival, selain itu elemen thriller juga dilakukan dengan cara-cara yang kurang menarik seperti penggunaan kamera dan juga suntingan. Ia adalah baik untuk bahagian awal, akan tetapi menjadi terlalu berulang selepas itu. Ini memberikan beberapa adegan yang mendebarkan dan seram akan tetapi banyak bahagian ia kurang menjadi. Tambahan pada itu, ia juga menggunakan watak-watak utama yang sering melakukan keputusan yang salah untuk menggerakkan penceritaan.

Ia menjadi tambah kurang menarik apabila watak-watak di dalam filem ini kurang dikembangkan dengan baik dan setiap watak terasa sangat mendatar, selain memberikan perasaan geram kerana sering melakukan keputusan yang salah. Ada beberapa adegan yang dilakukan untuk memberi serba sedikit penceritaan, tetapi ia dilakukan pada keadaan yang janggal dan kurang memberi impak emosi. Namun, jika anda inginkan filem yang thriller, ia masih lagi filem yang baik untuk ditonton.

Penafian: Tayangan awal untuk Beast disediakan oleh UIP Malaysia untuk tujuan ulasan ini.

Beast
Beast adalah filem survival thriller manusia melawan amukan singa, yang memberikan perasaan mendebarkan akan tetapi lebih bergantung kepada teknik filem berbanding menggunakan singa itu sendiri.
Positif
Beberapa Adegan Yang Mendebarkan
Kawasan Yang Cantik
Negatif
Lebih Bergantung Kepada Teknik Filem Untuk Thriller
Penceritaan Kurang Menarik
Suntingan Filem Yang Menganggu
6

Sohor Kini