Way of the Hunter adalah permainan yang diiklankan sebagai permainan simulasi memburu dan saya boleh katakan ia benar-benar adalah permainan seperti yang diiklankan. Ia adalah permainan yang sepenuhnya ingin memberi pengalaman “sebenar” menjadi seorang pemburu, dan di banyak bahagian ia adalah benar. Oleh itu, jika anda mencari permainan sebegini, Way of the Hunter adalah permainan yang benar-benar akan memberi pengalaman terbaik untuk anda. Jika tidak, hanya jika anda mempunyai tahap kesabaran yang tinggi sahaja.
Permainan ini mempunyai penceritaan, anda menjadi River iaitu seorang pemburu yang melawat kawasan pemburuan datuknya. Penceritaan juga menyentuh mengenai bagaimana River belajar memburu dari datuknya walaupun bapanya sangat tidak menyukainya. Permainan ini juga memfokuskan kepada cara memburu secara beretika. Namun, penceritaan bukanlah fokus utama, dan ia hanya dilakukan sebagai sampingan sahaja untuk memberi perasaan kemajuan di dalam permainan ini.
Dari semasa ke semasa, pemain juga boleh mendapatkan pelbagai misi, yang berkait dengan penceritaan ataupun apabila menjumpai kawasan baharu. Melakukan misi ini boleh membantu untuk pemain membuat keputusan untuk melakukan apa seterusnya, ia juga, terutama pada awalnya, menjadi sebahagian daripada cara permainan untuk mengajar mengenai permainan ini. Melakukan misi-misi ini sudah semestinya permulaan yang baik dan juga bagus untuk pemain kasual, akan tetapi secara keseluruhannya, Way of the Hunter adalah permainan sandbox yang memberi kawasan yang luas untuk pemain memburu.
Pada awalnya, pemain memiliki satu senjata iaitu Rifle yang digunakan oleh datuk River, akan tetapi menggunakan laptop di Hunter Camp, pemain boleh membeli senjata baharu dan permainan ini mempunyai senjata berbeza yang perlu digunakan mengikut haiwan buruan. Pilihan senjata adalah penting untuk menentukan jarak anda ingin menembak dan juga jenis haiwan buruan. Setiap haiwan memerlukan tembakan yang memiliki “hit energy”, jika ia lebih ia akan merosakkan kualiti haiwan tersebut, jika kurang, ia mungkin tidak akan membunuh haiwan tersebut ataupun boleh mengurangkan kualiti juga.
Setiap senjata ini perlu dibeli, bersama dengan peralatan lain seperti binokular dan juga “caller” yang setiap haiwan mempunyai caller tersendiri. Cara untuk mendapatkan wang adalah dengan menyelesaikan misi ataupun memburu sahaja mana-mana haiwan dan menjualnya.
Mencari haiwan untuk diburu juga adalah sebahagian yang menjadikan permainan ini satu simulasi penuh, di peta diperlihatkan di mana haiwan-haiwan biasa dijumpai, akan tetapi untuk ia muncul di peta, pemain perlu terlebih dahulu mencari bukti fizikal seperti tempat haiwan tersebut makan, minum ataupun berehat. Di peta juga sekadar memperlihatkan secara am sahaja kedudukan mereka, pemain masih lagi perlu berjalan dan mengembara untuk mencari haiwan-haiwan tersebut.
Dengan menjumpai bukti-bukti ini, ia juga akan menambah informasi mengenai binatang tersebut seperti masa mereka tidur, makan dan juga minum. Melalui maklumat ini, pemain boleh menjangkakan bila masa terbaik untuk keluar memburu dan juga menunggu di kawasan-kawasan yang dijumpai sebelum ini. Ia juga akan memperlihatkan hit energy dan juga senjata yang sesuai untuk digunakan.
Bercakap mengenai mengembara, terdapat tiga cara untuk mengembara di dalam permainan ini, iaitu dengan kereta, berjalan (berlari) dan juga perjalanan pantas. Oleh kerana, haiwan sangat sensitif dengan bunyi, terlalu menggunakan kereta akan mengakibatkan pemburuan menjadi lebih sukar. Ini menjadikan berjalan adalah cara terbaik untuk mengembara. Kebiasaan saya akan menggunakan kereta untuk bergerak ke satu kawasan yang jauh, dan selebihnya berjalan sebelum melakukan perjalanan pantas ke tempat rehat. Kereta boleh dipanggil semula ke tempat rehat seperti Hunting Lodge ataupun Cabin.
Apabila sudah menjumpai haiwan yang ingin diburu, pemain perlu menggunakan teropong untuk menentukan jarak dan perlu menggunakan tetapan yang tepat di senjata yang digunakan. Cara memburu terbaik adalah dengan menembak organ penting seperti jantung, walaupun menembak di bahagian kepala boleh membunuh secara terus, ia akan mengurangkan kualiti daging, dan juga dikatakan sebagai tidak beretika. Sebaliknya lebih baik ditembak melalui bahagian tepi, terus ke arah jantung.
Selepas tembakan dilakukan, kebiasaannya haiwan tersebut tidak semestinya akan mati terus sebaliknya pemain perlu pergi ke tempat tembakan dan melihat darah. Bergantung kepada jenis darah, ia akan menentukan tembakan tersebut boleh membunuh ataupun tidak, jika ya, ia juga akan menentukan jauh mana haiwan tersebut akan melarikan diri sebelum jatuh mati. Selepas menjumpai haiwan yang mati tersebut, pemain kemudian boleh melihat bagaimana ia ditembak, dan pemain juga boleh memilih untuk jual ataupun melakukan Taxidermy yang boleh menjadikan ia sebagai hiasan.
Sebagai satu permainan video, ia mempunyai beberapa elemen seperti meningkatkan tahap apabila mencapai objektif tertentu. Contohnya, jika berinteraksi dengan bukti-bukti haiwan, akan meningkatkan jarah Hunter Sense. Selain itu, jika berjalan dengan jarak tertentu, akan lebih menyukarkan haiwan untuk melihat ataupun mendengar. Ia adalah baik, akan tetapi tidak “logik” jika bercakap mengenai simulasi, saya lebih gemarkan jika ia bergantung kepada aksesori yang digunakan berbanding sistem Perks ini.
Sebagai permainan simulasi memburu, tidak banyak perkara lain yang ditawarkan di dalam permainan ini, akan tetapi ia menyertakan satu kawasan yang luas, dengan pelbagai flora serta fauna, memberikan pengalaman yang sangat baik. Oleh itu, ia adalah satu permainan yang sangat baik bagi yang meminati genre ini. Saya yang secara sendirinya tidak meminati permainan genre simulasi, merasakan ia adalah pengalaman baharu dan saya merasakan ia adalah permainan yang tidak akan dibuang daripada PC, kerana saya akan dari semasa ke semasa membuka untuk memburu satu atau dua ekor haiwan.
Ada beberapa elemen “simulasi” yang bagi saya menjadikan lebih sukar daripada sepatutnya, contohnya adalah seperti saya katakan di atas setiap haiwan mempunyai jadual tersendiri, akan tetapi satu-satunya cara untuk menggerakkan masa dengan cepat adalah dengan tidur di cabin ataupun hunting lodge, dan juga di unggun api. Oleh itu, jika anda ingin memburu pada pukul 9 malam, perlu kembali ke cabin, gerakkan masa dengan tidur, dan terpaksa berjalan ataupun naik kereta semula ke tempat memburu. Bagi saya adalah lebih baik jika diberikan lebih banyak cara walaupun ia mungkin kurang menjadi simulasi.
Permainan ini juga mempunyai masalah prestasi, saya bermain nya di PC, akan tetapi saya juga ada baca yang masalah prestasi turut berlaku di konsol. Semasa saya bermain tidak kira tetapan apa yang digunakan, ia sering memberi tahap kelancaran yang tidak stabil. Ada masa ia juga akan terkeluar secara tiba-tiba. Saya tidak pasti jika Nine Rocks Games sedang merancang kemaskini untuk mempertingkatkan prestasi, akan tetapi untuk buat masa sekarang, anda boleh jangkakan yang akan mempunyai pelbagai masalah prestasi tetapi tidak terlalu teruk sehinggakan ia tidak boleh dimainkan.
Akhir kata, Way of the Hunter sudah semestinya satu permainan yang dihasilkan secara khusus untuk yang meminati genre ini. Sebagai pemain kasual yang baru mencuba permainan sebegini, ia mempunyai pelbagai elemen yang membuatkan ia terasa bosan, akan tetapi pada masa sama apabila mula memahami mengenai cara ia berlaku, mencari dan memburu haiwan menjadi satu pengalaman yang sangat menarik.
Buat masa ini, ia masih mempunyai masalah prestasi yang sangat jelas, bukan sahaja di PC tetapi juga di konsol, iaitu PlayStation 5 dan Xbox Series. Sebelum ia diperbaiki, anda boleh jangkakan akan menjumpai pelbagai masalah dari semasa ke semasa, tetapi tidak terlalu teruk sehingga menjadikan ia langsung tidak boleh dimainkan.
Penafian: Kod permainan untuk Way of the Hunter disediakan oleh THQ Nordic untuk tujuan ulasan ini. Ia akan dikeluarkan pada 16 Ogos 2022 untuk PlayStation 5, Xbox Series dan PC.