Sejak siri TV She-Hulk diumumkan, ramai persoalkan kenapa Tatiana Maslany dipilih sebagai pelakon untuk siri TV MCU baharu ini. Ini mungkin kerana nama beliau jarang didengari, tetapi bagi mereka yang tidak tahu – Tatiana adalah seorang pelakon yang berbakat.
Beliau banyak terlibat dengan siri TV, menjadi pelakon suara untuk watak animasi dan pernah berlakon dalam beberapa filem. Tetapi untuk aku, aku lebih mengenali Tatiana Maslany dalam siri TV Orphan Black dan disebabkan siri TV ini juga buat aku yakin beliau adalah pelakon terbaik.
Kenapa? Dalam satu sidang media yang Aksiz dapat sertai pada minggu lalu, Kate Cairo dan Jessica Gao iaitu pengarah dan penulis untuk She-Hulk turut mendedahkan kenapa Tatiana Maslany dipilih sebagai pelakon ini. Kenyataan mereka turut membuatkan aku yakin dengan dakwaan aku tadi.
Mereka menyatakan Tatiana adalah seorang pelakon yang sangat berbakat. Disebabkan beliau telah diperhati sejak projek-projek lain, Tatiana diyakini adalah pilihan pelakon yang terbaik. Sudah tentu Kat dan Jessica tidak sebut projek mana, tetapi pada aku ia adalah disebabkan siri TV Orphan Black.
Dalam siri Orphan Black, Tatiana berlakon sebagai 17 watak berbeza kerana beliau adalah klon. Setiap watak ini mempunyai personaliti berbeza dan lakonan beliau sangat mantap, hebat dan memuaskan. Jadi untuk beliau berlakon sebagai She-Hulk adalah terbaik kerana transisi daripada Jessica Walters ke She-Hulk iaitu dua watak berbeza tetapi personaliti yang sama.
Kat dan Jessica turut menyatakan ketika beliau memainkan watak She-Hulk dan kembali ke Jessica dalam satu masa, adalah sangat menarik dan lancar. Beliau selesa dengan diri sendiri dan banyak mengintegrasikan personaliti peribadi dalam watak fiksyen. Malah Ginger Gonzaga yang berlakon sebagai kawan baik beliau iaitu Nikki Ramos turut menyatakan perbualan beliau antara dua watak adalah seperti kawan sebenar dan tidak rasa janggal.
Ketika di set penggambaran, Tatiana Maslany turut mesra dengan Mark Ruffalo. Mereka seperti adik-beradik yang saling membantu, memahami dan menerima idea untuk menjayakan siri TV ini. Dinamik mereka berdua menjadi dan meyakinkan lagi pengarah dan penulis mereka tidak salah pilih pelakon.
Siri TV ini turut menggunakan konsep pecah dimensi tembok keempat atau konsep meta. Watak sedar beliau adalah dalam dunia fiksyen dan berinteraksi dengan penonton. Untuk MCU, ini adalah kali pertama mereka mengimplementasikan perkara ini. Sebelum ini hanya Deadpool ketika di bawah naungan Fox.
Konsep ini adalah penting, kerana ia adalah elemen komik She-Hulk yang terkenal dan ikonik. Implementasi ini amat unik dan walaupun sudah bercakap dengan penonton, ia masih meneruskan jalan cerita siri TV dengan lancar tanpa lari topik. Konsep ini turut mempunyai pelbagai iterasi, seperti pandang kamera dan bercakap dengan penonton atau memanggil editor untuk semak skrip. Tetapi versi pertama dipilih agar nampak menarik dan menyeronokkan.
Pada aku, konsep ini dipilih agar peminat MCU nanti tonton Deadpool versi mereka tidak akan rasa aneh. Apa-apa pun, She-Hulk akan disiarkan di Disney+ Hotstar pada 18 Ogos akan datang.